20.9.09

KHUTBAH HARI RAYA




KHUTBAH KHAS
AIDUL FITRI 

“ RAIKAN SYAWAL DENGAN KEINSAFAN DAN KESEDERHANAAN ”




* اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ,     * اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ

* اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ,      * وَللهِ الْحَمْدُ

اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاَ. لاَ اِلَهَ إِلاَّّ اللهُ وَحْدَهُ, صَدَقَ وَعْدَهُ, وَنَصَرَ عَبْدَهُ, وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ الله ُ وَحْدَهُ َلا شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَالتَّابِعِينَ وَتَابِعِى التَّابِعِينَ لَهُمْ  بِإِحْسَانٍ إِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله! إِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.


MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Pada hari yang mulia ini, semua umat Islam di seluruh dunia menyambut kedatangan 1 Syawal dengan seruan takbir dan tahmid sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan bagi kita semua kerana telah berjaya menempuh satu ujian, iaitu menunaikan kewajiban berpuasa Ramadhan selama sebulan dengan penuh kesabaran dan ketaatan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ



MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIKASIHI SEKELIAN,

Idul Fitri merupakan suatu anugerah istimewa dari Allah kepada umat Islam setelah sebulan berpuasa, ini bersesuaian dengan Islam sebagai agama fitrah, di mana 1 Syawal, umat Islam akan kembali kepada fitrah seolah-olah diri mereka bersih seumpama bayi yang baru dilahirkan kerana menunaikan ibadat puasa Ramadhan dan ditambah dengan ibadat-ibadat sunat yang lain seperti solat tarawih, bertadarus al-Quran, berqiamullail, bersedekah, berdoa dan sebagainya dengan penuh keinsafan dan keikhlasan kepada Allah s.w.t., maka ini semua akan dapat melebur dan membersihkan diri dari dosa-dosa yang lalu.

Di samping itu,  tidak ada yang lebih menggembirakan kita semua apabila puasa yang kita laksanakan diterima oleh Allah s.w.t., maka pada hari ini kita tambahkan lagi kegembiraan tersebut dengan ucapan pujian dan kesyukuran kepada Allah dengan solat sunat Hari Raya, bersedekah, mengeratkan hubungan silaturahim melalui amalan ziarah dan sebagainya. Inilah pengisian penting di hari raya dan inilah juga yang dimaksudkan dengan kegembiraan bagi orang-orang yang berpuasa. Ditambah lagi  kegembiraan dengan janji pahala dari Allah s.w.t. kepada hamba-Nya yang menghidupkan hari Raya dengan amalan sunat dan menghindari dari melakukan perkara-perkara maksiat dan dosa.

اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIHORMATI SEKELIAN,

Dalam kegembiraan menyambut 1 Syawal kita umat Islam sepatutnya menyambut dan menghayatinya dengan dua keadaan. Keadaan pertama ialah kegembiraan kerana telah berjaya mengharungi ujian dan tarbiah Ramadhan dengan jayanya serta berpeluang merayakan kejayaan tersebut pada hari ini. Manakala keadaan kedua ialah kesedihan kerana berlalunya bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan serta belum pasti lagi kita akan diberi peluang untuk bertemu dengan bulan Ramadhan pada tahun yang akan datang. Maka diharapkan dengan penghayatan ini semakin bertambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Firman Allah dalam surat al-A’raf : 31


Maksudnya : “ Wahai anak-anak adam! pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat ( atau mengerjakan sembahyang ) dan makanlah serta minumlah dan janganlah pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas ”.


Selain itu, diharapkan dengan kedatangan Syawal serta berlalunya Ramadhan bersama-sama proses tarbiah mampu menjadi bekalan bagi menghadapi bulan-bulan seterusnya. Gunakanlah segala hasil tarbiah Ramadhan untuk menyemarakkan lagi semangat beribadah dan bermujahadah. Pastikan kita sentiasa berterusan mengunjungi masjid dan surau  untuk menunaikan solat berjamaah, mengikuti kelas-kelas pengajian, tadarus al-Quran dan amalan-amalan kebajikan sehingga dapat membentuk diri dan umat Islam yang mantap iman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Insya’Allah, akan diperolehi pertolongan dan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Islam.

اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ


MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Gema takbir membesarkan Allah s.w.t. dan tahmid memuji Allah yang dikumandangkan bersama-sama meyakinkan kepada kita semua bahawa umat Islam mampu bersatu dan kembali berada di bawah satu panji Islam, menyembah Allah yang satu, membaca dan mengamalkan al-Quran yang satu dan melupakan seketika soal perbezaan pendapat dan pandangan. Masing-masing bergembira menyambut kedatangan hari yang berbahagia ini setelah sebulan mereka menahan godaan nafsu semasa menunaikan ibadat puasa.

Namum begitu, kita merasa amat dukacita dimana terdapat umat Islam di beberapa pelusuk dunia pada hari ini tidak dapat menyambut hari raya sebagaimana sepatutnya, kerana mereka dihimpit dan dibelenggu dengan peperangan, penderitaan, ditimpa pelbagai musibah, kemiskinan dan bermacam lagi. Bahkan sepanjang Ramadhan yang baru sahaja berlalu, mereka hanya mampu berpuasa ala kadar sahaja, apa yang penting mereka perlu meneruskan hidup agar lebih baik lagi. Mereka berpuasa dan menyambut hari raya dalam suasana dihimpit oleh ketakutan, kekurangan dan serba kedhaifan, Maka sempena bulan yang mulia ini, kita sebagai umat Islam segeralah membantu samada dari segi tenaga, ubat-ubatan, kewangan dan sebagainya kepada mereka yang memerlukan.

HADIRIN MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIHORMATI SEKELIAN,

Islam telah mensyariatkan kepada kita semua, agar menyambut hari raya mengikut peraturan sebagaimana yang ditetapkan semoga hari raya yang kita sambut menjadi ibadah yang mendapat ganjaran pahala dari Allah s.w.t. Selain itu, Islam juga menganjurkan umatnya agar mengambil kesempatan di hari raya ini untuk memupuk perasaan kasih mesra antara satu sama lain, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa, kaum keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat yang ada di sekeliling kita tanpa mengira kedudukan, fahaman dan usia. Disamping mengambil kesempatan di hari yang mulia ini untuk bermaaf-maafan, mengucapkan selamat sejahtera antara satu sama lain dan sebagainya yang mungkin jarang sekali dapat kita lakukan di masa-masa yang lain di luar musim perayaan seumpama ini.

Selain itu, etika berhari raya seperti yang dianjurkan dalam Islam hendaklah dipatuhi, diantaranya :

  1. Sentiasa menghidupkan amalan bertakbir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah pada malam dan pagi hari raya.
  2. Mengamalkan budaya ziarah menziarahi bagi mengerat hubungan silaturahim dan bermaf-maafan antara satu sama lain.
  3. Menggalakkan amalan bersedekah kepada golongan yang memerlukan bagi mengembirakan mereka.
  4. Memakai pakaian yang baru, cantik dan bersih.
  5. Mengelakkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh agama.

Oleh yang demikian, alangkah rugi serta amat dukacita sekiranya terdapat di kalangan umat Islam pada hari ini yang meraikan hari raya tanpa mengikut panduan yang digariskan oleh Islam. Di antaranya ialah seperti lalai dengan hiburan sehingga lupa untuk bertakbir dan bertasbih kepada Allah s.w.t, melakukan pembaziran dalam berbelanja sehingga menyebabkan terpaksa menanggung hutang dan sebagainya. Lebih malang lagi, jika Hari Raya disambut dengan aktiviti maksiat dan mungkar.

اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ

KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Dalam keseronokan kita meraikan hari raya, satu aspek yang tidak kurang pentingnya untuk dihayati ialah menyambutnya dengan cara yang sederhana terutamanya dalam keghairahan kita membuat persiapan perbelanjaan yang melibatkan kos penyediaan kuih muih, mengadakan perbelanjaan yang lebih selepas 1 Syawal dan sebagainya. Walaupun kita disunatkan berhias dan bergembira pada hari raya tetapi ia bukan bermakna kita boleh berlebih-lebihan melampaui batasan kemampuan diri, sebaliknya kita perlu bersederhana dan berbelanja mengikut kadar kemampuan masing-masing. Janganlah kita terlalu mengikut kehendak hawa nafsu dengan sikap ingin menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah, sehingga  kita sanggup berhutang, yang akhirnya kita dibebani hutang dan tidak mampu untuk membayarnya. Perbuatan ini sebenarnya dibenci oleh Allah s.w.t. dalam  firman-Nya ;


Maksudnya : “ Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya ”.                               
( Surah al-Isra’ : 26 – 27 )

Akhirnya, bersempena pada hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita bersihkan jiwa dengan kembali kepada fitrah sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Selain itu, kita juga hendaklah mengawasi diri dan keluarga kita dari perkara-perkara yang melalaikan kerana ianya boleh mencacatkan suasana menyambut hari raya berdasarkan tuntutan Islam serta sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah s.w.t.

Firman  Allah dalam surah Ibrahim, ayat  : 7


Maksudnya :“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras ”.


بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...