12.9.09

SEMARAKKAN AMALAN IKTIKAF



Oleh MOHD SHAUKI ABD MAJID
Sedar atau tidak, amalan iktikaf di masjid pada bulan Ramadan bagi sesetengah kalangan masyarakat Islam di Malaysia sudah menjadi tidak begitu popular lagi. Padahal al-Quran menyebutnya beberapa kali, walaupun tidak dalam bentuk kutiba (diwajibkan - seperti dalam perintah puasa, qishash, dan wasiat) atau fi’il amr (kata kerja perintah - seperti solat, haji, berperang, dan sebagainya). Dalam kitab-kitab hadis juga banyak membicarakan bab khusus tentang iktikaf ini.
Wahbah az-Zuhaili, guru besar fiqh Universiti Damsyik merumuskan bahawa yang menjadi tujuan iktikaf itu adalah membersihkan hati dengan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t serta menghentikan aktiviti keduniaan pada waktu-waktu tertentu semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Oleh hal yang demikian itu, dianjurkan iktikaf dilakukan dalam keadaan berpuasa, bagi mendekatkan lagi diri kepada Allah s.w.t.
Ketika Nabi Ibrahim a.s berjaya menunaikan beberapa perintah Tuhan, termasuk di antaranya mendirikan Baitullah (Kaabah) bersama puteranya, Ismail- Tuhan lalu memerintahkan kepada kedua-duanya agar tetap menyucikan rumah Allah tersebut bagi melaksanakana tiga kegiatan ibadah. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam (tempat berdiri) Ibrahim sebagai tempat solat. Dan kami telah membuat janji dengan Ibrahim dan Ismail agar menyucikan rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk, dan yang sujud.” (al-Baqarah: 125)
 
Ayat ini jelas menyebut bahawa salah satu fungsi tempat ibadah ialah iktikaf. Namun, kini di manakah fungsi itu berada? Hampir kita tidak menemuinya lagi. Bahkan ada sebahagian pengurus masjid melarang orang untuk beriktikaf. Iktikaf mereka dibolehkan, tetapi dalam pengertiannya yang sangat sempit, iaitu sekadar berdiam sejenak. Padahal Nabi jelas telah mencontohkan iktikaf selama sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan. Menerusi surah al-Baqarah telah diterangkan secara terperinci pelaksanaan puasa beserta hal-hal yang berkaitan dengannya juga jelas berhubung kait dengan masalah iktikaf ini. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
 
“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu. Mereka adalah pakaian bagi kamu dan kamu (juga) pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan diri, kerana itu Dia menerima taubat dan memaeafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang Allah telah tetapkan bagi kamu; makan minumlah hingga terang bagi kamu (perbezaan antara) benang putih dan benag hitam, di waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam. Tetapi janganlah kamu mencampuri mereka (isteri kamu) sementara kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah larangan Alah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikanlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada manusia, mudah-mudahan mereka bertakwa.” (al-Baqarah: 187)
 
Membicarakan persoalan ini, banyak hadis Nabi dapat kita temui dalam kitab Bukhari-Muslim yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar, Anas, dan Aisyah seperti berikut ini:
 
“Bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w melakukan iktikaf di sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sejak tiba di Madinah sehingga baginda wafat.” (Riwayat. Bukhari-Muslim)
 
Riwayat lain menyebutkan:
 
“Sesungguhnya Nabi s.a.w melakukan iktikaf di sepuluh hari kedua daripada bulan Ramadan dan sepuluh hari terakhir bulan tersebut. Baginda terus melakukan amalan ini hingga akhir hayatnya. Kemudian amalan tersebut dilanjutkan oleh isteri-isteri baginda.”
 
(Kalau hadis ini benar, bererti ada dua kemungkinan waktu iktikaf Nabi s.a.w. Pertama, baginda beriktikaf selama dua puluh hari terakhir daripada bulan Ramadan. Kedua, Nabi s.a.w kadangkala melakukannya di sepuluh hari kedua dan kadangkala pula di sepuluh hari terakhir)
 
Nabi s.a.w menganjurkan sambil mengamalkan iktikaf di masjid dalam kerangka perenungan dan menyucian jiwa. Masjid adalah tempat suci. Segala aktiviti kebajikan bermula di masjid. Di masjid pula seseorang diharapkan merenung tentang diri dan masyarakatnya, serta dapat menghindar daripada hiruk-pikuk yang menyesakkan jiwa dan fikiran bagi memperoleh tambahan pengetahuan dan pengayaan iman. Itulah sebabnya ketika melakukan iktikaf, dianjurkan untuk memperbanyakkan doa dan bacaan al-Quran, atau bacaan-bacaan lain yang dapat memperkaya iman dan takwa.
 
Memang iktikaf boleh dilakukan di mana sahaja. (Sebelum diangkat menjadi Rasul, Nabi Muhammad s.a.w melakukannya gi Gua Hira). Bagaimanapun, berdasarkan sunnah yang ditunjukkan Nabi s.a.w di sepanjang hidup baginda di Madinah, baginda terus melakukannya di masjid.
 
Penekanan masjid sebagai tempat iktikaf menjadi amat penting mengingatkan tempat tinggal Nabi s.a.w sesungguhnya bersambung dengan masjid. Ertinya, seandainya masjid tidak begitu penting dalam hal tempat, maka Nabi s.a.w boleh sahaja memperbanyak (melakukan dengan tekun) ibadah di masjid, tetapi kemudian istirahat dan tidur di rumah. Namun, nyatanya Nabi tidak melakukan itu. Itu tandanya bahawa masjid adalah satu-satunya tempat yang boleh digunakan untuk iktikaf. Tentu saja selama masjid tersebut memiliki kemudahan yang memungkinkan orang untuk tinggal beberapa hari di situ; misalnya tandas, bilik mandi, bilikpersalinan atau tempat menukar pakaian, dan sebagainya.
 
Ingatlah bahawa iktikaf bukannya wahana untuk berdiskusi, apalagi untuk berbual kosong. Juga bukan tempat istirahat atau tidur. Tidur dilakukan untuk sekadar menjaga keadaan tubuh agar tetap sihat. Iktikaf adalah wahana untuk bersungguh-sungguh dalam mengintrospeksi diri atau ber-fastaniqul khairat (berlumba-lumba) dalam memperbanyakkan ibadah.
 
Pernahkah kita terfikir untuk mengambil cuti bekerja untuk beriktikaf? Pertanyaan ini tampak ganjil. Namun, ganjil bukan bererti salah. Banyak perkara yang selalunya dianggap ganjil tetapi kini diterima sebagai suatu kebenaran. Sebelum ini kita hanya mengambil cuti rehat ketika untuk bersama keluarga. Demikian juga ketika untuk balik kampong menjelang hari raya. Itu sama sekali tidak salah. Apa yang penting semua itu boleh memberi kebahagiaan kepada diri dan keluarga. Namun, jika difikir-fikir secara mendalam, apakah semua ini tidak boleh dilakukan sebelum hari raya sehingga harus mengorbankan momentum ibadah yang amat penting dan yang hanya datang sekali dalam setahun itu? Mengunjungi orang tua dan sanak keluarga boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Namun, iktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan tidak dapat dipindah pada waktu yang lain.
Dalam hal ibadah ini, kita harus mencontohi Nabi s.a.w. Pernahkah kita mendengar Nabi dan para sahabat membuat persiapan untuk pulang ke kampungnya di Mekah menjelang Aidil Fitri? Nabi juga manusia biasa, pasti ada kerinduan kepada kampung halaman dalam diri baginda. Tetapi mengapa baginda memilih untuk tinggal di masjid? Ini adalah kerana alasan spiritual dan iktikaf merupakan sebahagian daripada syariat. Seandainya kita dan keluarga pernah merasakan betapa indah ibadah ini (iktikaf), nescaya kita akan berlumba-lumba memohon cuti untuk melaksanakan ibadah iktikaf itu.
Malam Qadar yang ditemui atau yang menemui Nabi s.a.w pertama kali baginda menyendiri di Gua Hira, merenung tentang diri sendiri dan masyarakat, saat jiwa baginda telah mencapai tingkat kesucian, turunlah Ar-Ruh (Jibril) membawa ajaran dan membimbing baginda sehingga terjadilah perubahan keseluruhan dalam perjalanan hidup baginda, bahkan perjalanan hidup umat manusia. Kerana itu pula baginda mengajarkan kepada umatnya, dalam rangka menyambut kehadiran Lailatul Qadar itu, antara lain adalah melakukan iktikaf.
Mengapa Nabi s.a.w memilih iktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan, bukan pada sepuluh hari terawal. Alasannya, mungkin berkaitan dengan kedudukan puasa Nabi s.a.w yang kian hari kian meningkat dan alasan kedua kerana ia berkaitan dengan Lailatul Qadar. Sebenarnya untuk mendapatkan Lailatul Qadar tidak cukup dengan kesungguhan beribadah pada malam itu sahaja. Ibadah harus dirintis dari awal. Sehnigga kita bersedia dari segi persiapan rohani untuk menerima kedatangannya.
Meskipun iktikaf dapat dilakukan pada bila-bila masa sahaja, dan dalam waktu beberapa lama – bahkan pada pandangan Imam Syafie, walau sesaat selagi disertai niat yang suci – namun Nabi s.a.w sering melakukannya pada sepuluh hari dan malam terakhir bulan puasa. Di sinilah baginda bertadarus, merenung diri sambil berdoa.
Salah satu doa yang sering baginda baca dan hayati terkandung dalam surah al-Baqarah, yang bermaksud
“Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada seksa neraka.” (al-Baqarah: 201)
Doa ini bukan sekadar bererti permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan kebajikan akhirat, tetapi ia lebih-lebih lagi bertujuan untuk memantapkan langkah dalam usaha meraih kebajikan, kerana doa mengandung erti permohonan yang disertai usaha. Permohonan itu juga bererti usaha untuk menjadikan kebajikan dan kebahagiaan yang diperoleh dalam kehidupan dunia ini, tidak hanya terbatas di dunia, tetapi berkesinambungan hingga ke hari kemudian kelak.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...