29.7.10

Keluar Dari Kelemahan Diri

Begitulah kata-kata orang tua dahulu. Kata-katanya mudah, perbandingannya jelas tetapi penuh dengan pengertian yang mempunyai maksud yang dalam serta bersulamkan pengalaman. Nak raih kejayaan bukannya mudah, perlu ada susah, mesti ada payah. Itulah harga sebuah kejayaan. Semua orang hendak berjaya, nakkan kemajuan, ingin kelemahan dan kekurangan hilang daripada diri masing-masing.
Tegasnya kita semua inginkan perubahan ke arah kebaikan dan juga kemajuan. Kesalahan, kekurangan dan kelemahan memang menjadi sifat dan pakaian kita seharian. Itu kena kita akui. Kita bukan tuhan tetapi hamba yang banyak kelemahan. Cuma masalahnya , kadangkala kita terlalu menjadikan kelemahan dan kekurangan sebagai batu penghalang untuk meneroka kejayaan. Putus asa, kecewa dan berbagai-bagai lagi rasa negatif yang menyelubungi hati, itulah punca kurangnya dorongan untuk maju ke hadapan. "Gagal sebelum gagal adalah gagal yang sejati. Belum pergi sudah pulang."
Remaja harus berfikiran positif dan optimis. Usia muda remaja penuh bertenaga, jangan dipersiakan dengan gelombang perasaan yang tidak menentu. Daya kreativiti yang tinggi di waktu itu perlu dipergunakan sepenuhnya mencari jalan mengungkai masalah, bukan menambahkan masalah lagi. Berdepanlah dengan masalah dan kekurangan, jangan melarikan diri daripadanya. Biar orang melihat kita tenang berdepan dengan masalah, jangan kita sendiri tidak mahu langsung fikir tentang masalah itu. Kelemahan diri perlu diperbaiki.
Firman Allah : " Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada di dalam diri mereka sendiri."
Itulah sebaiknya dari bertindak menyalahkan orang lain dan keadaan, lebih baik menyalahkan diri sendiri. Kalau kita sibukkan diri kita memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada, maka kita sudah tidak ada masa untuk memikirkan kelemahan dan kekurangan orang lain. Bukankah itu juga satu kejayaan. Kerana itu janganlah kita jadikan ujian dan masalah kekurangan dan kelemahan diri kita sebagai penghalang untuk kita terus maju. Jesteru itu kita perlu mengemaskinikan jalan berfikiran dan sikap hidup kita berpandukan faktor berikut :
a) Punya matlamat hidup yang jelas.
b) Menempuh jalan yang tepat dan benar.
c) Punya kepintaran.
d) Tinggi cita-cita dan kuat kemahuan.
e) Punya keyakinan diri
f) Tahan hati.
Punya Matlamat Hidup
Boleh dikatakan 95 peratus daripada manusia yang berjalan di atas muka bumi ini tidak punya matlamat hidup yang jelas. Hidupnya hanya memenuhi kehidupan yang ada. Ianya samar-samar diruang fikiran hingga kerana itu fikiran jadi berserabut dan tak tahu ke mana hala hendak dituju. Akhirnya hidup tidak menentu, waktu terbuang begitu sahaja. Kita jangan begitu, tentukan sejelas-jelasnya matlamat hidup yang sebenarnya. Kalau kita letakkan matlamat hidup kita hanya untuk mencari dunia, nescaya kita tidak akan bahagia kerana dunia lagi di kejar, lagi ia lari jauh daripada kita. Kerana itu untuk bahagia kita kena menjadi hamba Allah dan mendekati agamaNya dengan pimpinan guru, lantas memahami, mengamalkan serta menghayati segala ajaran Islam untuk mengamalkannya.
Jalan Yang Tepat Dan Benar
Bila matlamat jelas, jalan menujunya pula mesti jelas. Matlamat hidup kita adalah untuk menjadi hamba Allah dan khalifahNya di atas muka bumi. Dan jalannya hanyalah Islam. Tidak ada jalan yang lain selain dari Islam untuk kita mengenal Allah dan mengecap kebahagiaan yang abadi di akhirat. Dan apabila disebut Islam, maka tidak terpisah ianya daripada ilmu yang menerangkan soal syariat dan tata cara hidup menerut Islam.
Pintar
Kuat tanpa kepintaran tidak menjadi apa-apa. Musuh sentiasa mencari peluang dan ruang untuk memukul kita. Sama ada musuh itu lahir seperti orang kafir, munafik dan fasik atau musuh yang batin seperti syaitan dan hawa nafsu. Orang yang pintar di dalam Islam itu ialah mereka yang banyak mengingati mati dan hari akhirat. Bila akal pintar, kita tidak mudah ditipu, pandai menyelesaikan masalah dan pandai mengelak apabila di datangi kesusahan.
Kuat Kemahuan
Bila sudah lama menempuh ujian, akan datang rasa jemu. Mulalah hati ini akan menjadi lemah. Keupayaannya mengharungi ujian dan cabaran hidup merosot. Kerana itu perlu kepada kemahuan yang tinggi dan cita-cita yang jelas agar usaha tidak terhenti di pertengahan jalan. Kuat kemahuan ini berkait rapat dengan optimis dengan masa akan datang.
Keyakinan Diri
Semua itu tidak akan menjadi jikalau tidak ada keyakinan diri. Masih mahu bergantung dengan orang lain. Maknanya kita masih terjajah. Nak buat sesuatu takut orang kata. Puncanya adalah kerana akal dan jiwa yang tidak merdeka. Tidak menjadi hamba Allah tetapi menjadi hamba nafsu takut, lalu takut dengan selain dari Allah. Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik di dalam menanamkan keyakinan diri. Beliau adalah anak yatim dan miskin, didik dengan kepayahan dan kesusahan untuk memikul tugas yang besar iaitu menyelamatkan umat manusia dari kesesatan dan menyembah Allah yang esa. Akhirnya dengan keyakinan yang ada, baginda menjadi manusia yang hebat memikul tugas kerasulan menyampaikan risalah Tuhan.
Tahan Hati
Tidak ada perkara yang berharga yang mudah untuk kita perolehi. Bila hendak tempuh kebaikan, mesti tempuh kesusahan dahulu. Susah walau bagaimanapun pasti akan terasa di hati. Jadi hati mesti teguh dan tahan. Walaubagaimana pukulan dan hentakan ujian. Hati hanya boleh kuat dengan iman yang kuat dan padu. Untuk dapatkan iman perlu usaha sungguh-sungguh, setiap masa dan setiap ketika.
Kesimpulannya dunia menyediakan ruang untuk mereka yang mahu berusaha tanpa mengenal erti putus asa dan kalah di dalam perjuangan. Kerana yang menjayakan hakikatnya bukan manusia tetapi Allah s.w.t. Kita hanya berusaha, Allah yang menentukan. Oleh itu berdoalah banyak-banyak agar Allah bantu kita meningkatkan diri kita. Amin Ya Rabbal Alamin.


sumber : http://permai1.tripod.com/motivasi1.html

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...