12.8.10

Aktifkan Puasa Anda

RAMADAN menyebabkan sebilangan daripada umat Islam 'alergi' terhadap perkataan aktif, cergas, senaman, riadah dan bermacam lagi perkataan yang membawa kepada pergerakan otot. Boleh dikatakan tempoh berpuasa telah menjadi waktu beristirehat, mengurangkan aktiviti fizikal serta memperbanyakkan tidur, sama banyak atau lebih daripada peningkatan ibadah.

Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Saiful Adli Suhaimi menyatakan badan manusia sememangnya tidak dinafikan akan menjadi letih apabila berpuasa disebabkan kekurangan tenaga.

"Tambahan pula cuaca negara yang panas dan keadaan persekitaran, terutamanya di bandar-bandar besar, menjadi faktor yang menyebabkan badan berasa letih dan lesu.
"Namun, kita masih boleh kekal cergas dengan melakukan aktiviti fizikal dan senaman ringan walaupun sedang berpuasa, bergantung kepada keupayaan seseorang individu itu," katanya.

Jelasnya, masyarakat kini tersalah anggap waktu siang bulan Ramadan yang mulia hanya untuk melepak dan tidur sahaja kerana rasa letih dan lesu.
Bagaimanapun, tegasnya, alasan berpuasa tidak seharusnya menjadikan kita pemalas, hanya duduk menonton televisyen dan menghabiskan waktu siang dengan tidur.

Satu lagi salah tanggapan umum bahawa senaman, tidak kira sepanjang Ramadan atau bulan lain, hanyalah untuk golongan muda sementara warga emas terkecuali daripada melakukannya.
Saiful Adli menjelaskan, kecergasan badan tidak terbatas kepada umur tertentu sahaja dan tidak boleh bergantung kepada kawalan pemakanan semata-mata.

"Kebanyakan daripada kita menganggap bulan puasa sebagai platform untuk menguruskan badan dan mendapatkan bentuk badan yang menarik.
"Hakikat ini memang tidak dapat dinafikan tetapi kawalan diet sahaja sebenarnya tidak membantu badan kekal cergas sepanjang bulan puasa ini," ujarnya.

Menurutnya, jangan difikirkan badan akan kekal cergas dengan hanya menjaga diet kerana amalan memakan sayur (serat) yang banyak sahaja tidak cukup untuk menjaga kesihatan badan.
Tambahnya, senaman juga perlu, di samping rehat yang secukupnya untuk mengimbangkan tempoh penggunaan otot serta waktu untuk otot berehat dan kembali kuat.

Cara tersendiri
Setiap kalori yang terkandung di dalam makanan perlu dibakar dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti bersenam. Senaman ringan seperti berjalan pantas dan berbasikal sudah memadai untuk membantu membakar lemak di dalam badan. Selain mengeluarkan peluh dan toksin, senaman juga membantu melancarkan aliran darah dan meningkatkan kekuatan otot.
Saiful Adli bagaimanapun menegaskan bentuk senaman bergantung kepada kemampuan, keupayaan serta cara tersendiri individu.

"Bagi suri rumah atau mereka yang tinggal di luar bandar, aktiviti mengemas rumah dan mencuci kereta juga boleh dianggap sebagai satu bentuk senaman kerana mengguna dan menggerakkan otot badan.
Memudaratkan
"Bagi yang lebih berkeupayaan atau yang biasa bersukan, mereka boleh meneruskan rutin riadah harian seperti bermain tenis, berjoging mahupun berkebun asalkan tidak memudaratkan atau mendorong diri berbuka awal," katanya.

Menurutnya, aktiviti fizikal seperti menaiki tangga dan berjalan banyak membantu dalam menjadikan kita cergas walaupun pada bulan puasa.
Dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti mengemas rumah, berkebun, membasuh kereta dan berjalan sebagai alternatif untuk kekal cergas pada bulan puasa, otot-otot badan akan terus dirangsang supaya lebih bertenaga dan membuat kita berasa sihat.

Bagi golongan yang menghidap penyakit tertentu pula, senaman dan aktiviti fizikal perlu disesuaikan dengan tahap kesihatan diri dan lebih elok jika mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Saiful Adli menjelaskan, doktor dapat memberi cadangan bentuk senaman yang sesuai untuk pesakit kekal cergas tanpa memudaratkan keadaan kesihatan diri.
"Badan seseorang pesakit itu lebih sensitif dan mudah terdedah kepada risiko masalah kesihatan lain.

"Sekiranya pesakit ingin juga melakukan aktiviti senaman pada bulan puasa ini, disarankan supaya mereka mendapatkan nasihat dan pandangan doktor untuk mengelakkan sebarang implikasi buruk," ujarnya.
Katanya, tahap kecergasan atlet, orang biasa dan pesakit berbeza di mana atlet lebih mudah meneruskan gaya hidup aktif pada bulan puasa berbanding pesakit yang boleh memudaratkan diri jika menjalani senaman yang terlalu berat.

Golongan atlet mungkin dapat terus bersenam di gim atau tempat yang bersesuaian mengikut bentuk senaman yang diamalkan. Bagi orang biasa, senaman aerobik (senaman berpanjangan) seperti berbasikal, joging, senamrobik atau berkebun dapat mengekalkan kecergasan diri tanpa terlalu membebankan badan ketika berpuasa.

Senaman kelenturan atau regangan seperti Tai Chi dan Qigong pula disarankan untuk warga emas yang rata-rata kurang ketahanan terhadap tekanan seperti golongan muda. Bagi mereka yang tiba-tiba berasa penat atau tidak selesa menjalankan senaman sederhana, dinasihatkan supaya berjumpa doktor bagi memastikan tidak menghidapi sebarang masalah kesihatan. Di samping itu, berhati-hati dengan tanda dehidrasi seperti pening, loya, pandangan kabur dan kencing pekat akibat badan kekurangan air.

Waktu
Saiful Adli menegaskan waktu paling ideal untuk bersenam pada bulan puasa bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian masa individu itu sendiri. Namun begitu, waktu petang sebelum berbuka puasa adalah masa yang paling sesuai.

"Selain waktu petang, kita juga boleh melakukan aktiviti senaman pada sebelah malam (selepas berbuka atau selepas solat tarawih).
"Pastikan juga masa dan bentuk aktiviti yang dilakukan bersesuaian memandangkan makanan yang diambil sewaktu berbuka memerlukan antara empat hingga lima jam untuk dihadam," jelasnya.
Katanya, kita harus menilai keupayaan badan dan kemampuan kita sebelum melakukan aktiviti senaman dan bersukan kerana setiap individu mempunyai tahap kesihatan dan keupayaan yang berbeza.

Tambahnya, komposisi tubuh dan ketahanan badan kita juga tidak sama, terutamanya jika seseorang itu menghadapi penyakit seperti kencing manis atau penyakit-penyakit lain.
Saiful Adli menekankan senaman tidak perlu dilakukan setiap hari tetapi perlu mengikut cara yang betul (seperti badan dipanaskan dahulu dan disejukkan selepas bersenam).

"Kurangkan intensiti senaman yang berikutnya jika terasa letih atau lesu yang melampau ketika bersenam. Rujuk kepada doktor jika terdapat rasa kurang selesa atau kesakitan luar biasa.
"Kombinasi di antara pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal yang bersesuaian dan rehat yang secukupnya, dapat menjadikan badan kita lebih sihat meskipun sedang berpuasa," tegasnya.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...