20.8.10

Sahur dari sudut rohaniah dan sains

“BANGUN nak, bangun! Mak dah siapkan makanan untuk kita bersahur.” Demikian mak mengejutkan kami adik-beradik supaya bangun bersahur. Dengan liat dan amat malas kami bangun juga untuk menjamah makanan yang dihidangkan ibu kami. Mak kata kita disuruh bersahur kerana di dalamnya ada keberkatan.


Pada waktu itu, kami adik beradik yang masih kecil tidak mengerti apa-apa. Yang kami tahu hanya mengikut orang tua kami. Begitulah sedikit kenangan manis ketika kecil apabila tiba waktu bersahur.

Apa itu bersahur? Mengapakah kita perlu bersahur? Sebenarnya amalan bersahur adalah sunnah Nabi s.a.w dan diceritakan bahawa Rasulullah tidak pernah meninggalkan bersahur pada Ramadan. Rasulullah berpesan: “Bersahurlah kamu, kerana sesungguhnya dalam sahur itu terdapat keberkatan.’ (Hadis dicatatkan Bukhari dan Muslim )

Bersahur ada keberkatan. Persoalannya keberkatan yang bagaimana? Pertama mari kita tinjau lagi apa yang dikatakan oleh Rasulullah.

Dalam kitab Shahih al-Jaami’ ada direkodkan satu pernyataan Nabi yang katanya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memohon rahmat) ke atas orang-orang yang bersahur.”

Masya-Allah, begitulah hebatnya bersahur. Amalan bersahur yang kita laksanakan itu bermakna kita telah menegakkan amalan sunnah Rasulullah dan ini juga satu pembuktian iman dan takwa.

Abu Sa’iad Al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah mengatakan: “Bersahur itu semuanya berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya sekalipun salah seorang kamu bersahur dengan seteguk air kosong, kerana sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya memohon rahmat kebaikan kepada mereka yang bersahur.” Pernyataan hadis Nabi ini boleh kita rujuk dalam kitab Shahih At-Targhib Wa At-Tarhib.


Satu aspek lagi yang harus kita fahami ialah amalan bersahur itu membezakan puasa kita dengan puasa yang diamalkan penganut agama lain. Ini kerana boleh dikatakan semua agama mempunyai amalan berpuasa mengikut gaya dan cara mereka tersendiri. Tetapi dalam Islam, keistimewaan bersahur menjadi pembeza amalan berpuasa itu. Hal itu ditegaskan sendiri oleh Rasulullah yang mengatakan: “Sesuatu yang membezakan antara puasa kita dengan puasa Ahlul-Kitab adalah sahur.” (Hadis diriwayatkan Muslim dan at-Tirmidzi)

Ahlul-Kitab tidak pernah makan sahur untuk berpuasa, justeru kita umat Islam diperintahkan untuk membezakan diri dengan mereka. Meskipun tanpa bersahur puasa kita tetap sah di sisi Allah, namun dengan mengamalkan bersahur itu menunjukkan kita menyanjungi sunnah amalan Rasulullah dan mengikuti sunnah Nabi sebagai bukti kecintaan kita kepada baginda.


Jika diteliti daripada sudut sains kesihatan moden sekalipun, jelas amalan bersahur itu menepati piawai menjaga kesihatan tubuh dan sebagai persediaan berpuasa di siang hari.

Misalnya daripada laporan kajian Dr Theresa Nicklas, seorang pakar kesihatan dari Kolej Perubatan Baylor yang melakukan satu tinjauan terperinci bersama rakannya mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi akan berkemungkinan menanggung risiko dua kali ganda kekurangan zat besi dalam darah dan akan membawa kepada penyakit anemia, iaitu sejenis penyakit akibat kekurangan hemoglobin dalam darah.

Kajian itu dikeluarkan kepada umum pada 24 September 2001. Justeru, dapat kita kaitkan di sini bahawa amalan bersahur menepati kehendak sains kesihatan dalam mempersiapkan anggota tubuh dengan perbekalan zat yang sepatutnya. Ini kerana bersahur itu juga adalah bersarapan pagi. Demikian hebatnya sunnah Nabi yang telah lebih 1,400 tahun dulu diamalkan dan baru kebelakangan ini pakar sains moden berjaya menemui khasiat dan keutamaannya kepada kesihatan manusia. Tepatlah dikatakan bahawa semua urusan Allah adalah indah dan ini terbukti dalam amalan bersahur.

Bersahur adalah satu ibadah dan melaksanakannya bermakna mencintai sunnah Rasulullah. Ia bukan sekadar memenuhi perut dengan makanan dan minuman. Mari kita hayati peringatan Allah kepada kita:

“Katakanlah, mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa terdapat syurga di sisi Tuhan mereka mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya, (iaitu) orang-orang yang berdoa, Ya, Tuhan kami, sesungguhnya kami beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. (Merekalah) orang-orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah dan yang memohon ampun di waktu sahur.’ (Maksud surah Ali Imran ayat 15-17).

Ayat Allah itu memberitahu kita bahawa waktu bersahur termasuk dalam saat yang terbaik dan yang paling afdal untuk memohon doa kepada Allah.

Jadi, dapatlah dikatakan amalan bersahur adalah anugerah Allah kepada kita yang berpuasa pada Ramadan dan hendaknya kurniaan nikmat itu jangan dilepaskan begitu saja. Manfaatkan dengan sepenuh ikhlas mengharapkan keredaan dan keberkatan Allah.

Semoga Ramadan tahun ini kita penuhi dengan segenap amalan wajib dan sunat semata-mata mengharapkan ganjaran pahala berganda di sisi Allah. Ini termasuklah dalam bangun bersahur. Ingatlah, bersahur itu satu ibadah dan amalan sunnah Rasulullah.

Penulis seorang guru
sumber : myMetro

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...