24.4.11

3 darjat sembahyang sunat Rasulullah SAW untuk ikutan mukmin

Soalan: 

Assalamualaikum Ustaz Zahazan. Saya ingin mengetahui solat sunat yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada kita. Bolehkah ustaz jelaskan supaya saya boleh mengamalkannya.


HAJJAH AMINAH IBRAHIM, Bandar Baru Sri Petaling,
Kuala Lumpur. 

Jawapan: 

Alhamdulillah, wassolatu wassalam 'ala Rasulillah waba'd. Solat sunat (nawafil) ada yang mempunyai sebab dan ada yang tidak mempunyai sebab. 

Solat sunat yang tidak ada sebab terbahagi kepada tiga darjat; pertama, solat sunat rawatib yang lebih muakkadah lebih dikuatkan) iaitu dikerjakan oleh Rasulullah SAW di dalam safar (semasa musafir) dan juga hadhar (tidak musafir) iaitu solat sunat witir dan solat sunat dua rakaat fajar (Subuh). 
Kedua, solat sunat rawatib yang muakkadah (yang dikuatkan) yang dikerjakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadhar (tidak musafir) iaitu solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu dan solat malam (sunat tahajjud). Solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardu ialah dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudah solat Zuhur, dua rakaat sesudah solat Maghrib, dua rakaat sesudah Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh. 

Solat sunat tahajjud (solat malam) terbahagi kepada: dua rakaat iftitah (pembukaan), lapan atau 10 rakaat solat tahajjud dan kemudian disudahi dengan solat sunat witir. Semua ini dinamakan solat sunat rawaatib muakkadah (yang dikuatkan). 

Ketiga, solat sunat rawatib ghairu muakkadah (tidak dikuatkan) yang mengiringi fardu yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah dua rakaat sebelum Zuhur (selain dua rakaat sebelum Zuhur yang muakkadah), dua rakaat sesudah Zuhur (selain dua rakaat sesudah Zuhur yang muakkadah), empat rakaat sebelum Asar, dua rakaat sebelum Maghrib, dua rakaat sebelum Isyak dan dua rakaat solat sunat Duha. 

Ulama meletakkan yang ketiga ini sebagai solat sunat ghairu muakkadah (yang tidak dikuatkan). Solat sunat yang dituntut kerana ada sebab pula ialah: Pertama, solat sunat taubat. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Bakar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada lelaki yang berdosa dengan sesuatu dosa, kemudian berdiri lalu bersuci (berwuduk) kemudian mengerjakan dua rakaat solat, kemudian memohon ampun kepada Allah melainkan Allah mengampunkan dosanya.” Allah SWT sangat menyukai hamba-Nya yang bertaubat sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud: “Dan orang yang apabila mengerjakan sesuatu kejahatan atau menganiaya diri, mereka segera mengingati Allah (meminta ampun terhadap dosanya).” 

Kedua, solat sunat istikharah. Jabir bin Abdullah berkata: “Rasulullah SAW mengajarkan kami beristikharah pada segala rupa urusan kami seperti Baginda mengajarkan kami al-Quran.” Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu ingin melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat selain daripada solat fardu.” Sesudah solat, hendaklah memuji Allah, berselawat dan kemudian membaca doa ini: Allahumma astakhiruka hingga akhir doa (doa solat istikharah, sila dapatkannya dalam buku Solat Sunat terbitan Telaga Biru). 

Hendaklah membaca pada rakaat pertama surah al-Kafirun dan rakaat kedua surah al-Ikhlas. Solat istikharah tidak hanya dilakukan di waktu menghadapi urusan berat, bahkan sebaliknya kita lakukan ketika menghadapi sesuatu urusan walaupun kecil. 

Begitu juga dalam mencari jodoh, Rasulullah SAW juga mengajar untuk melakukan solat istikharah dengan doa yang khusus. Ketiga, solat sunat hajat. 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi, daripada Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berhajat kepada Allah atau kepada seseorang anak Adam, hendaklah dia berwuduk dengan membaikkan wuduknya, kemudian hendaklah dia bersolat dua rakaat, kemudian dia memuji Allah dan berselawat kepada Rasulullah. Kemudian hendaklah dia membaca: La ilaha illallahu haliimul Karim hingga selesai.” Sebenarnya banyak lagi untuk dijelaskan mengenai solat sunat kerana ada sebab seperti solat sunat sesudah wuduk, solat sunat ketika hendak musafir dan kembali dari musafir dan sebagainya. Wallahua’lam.


sumber : Berita Harian Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...