5.4.11

95 syarikat disenarai dalam indeks makanan halal

INDUSTRI makanan halal kini muncul sebagai satu lagi kelas aset dalam instrumen pelaburan susulan pelancaran indeks sulung makanan halal yang dikenali sebagai Indeks Makanan Halal Pelaburan Pasaran Diterima secara Sosial (SAMI) dan Indeks Penyertaan Halal SAMI. 

Ketua Kewangan Islam Global Thomson Reuters, Rushdi Siddiqui, berkata indeks yang dilancarkan pada Forum Halal Dunia 2011 (WHF2011) yang sedang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu akan berperanan untuk sebagai penanda aras kepada pelabur yang mahukan peluang pelaburan beretika dan berlandaskan syariah.


Indeks Makanan Halal SAMI yang diusahakan oleh Thomson Reuters dan IdealRatings itu menyenaraikan 200 syarikat di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, dengan permodalan pasaran bernilai lebih AS$100 bilion.
Sebanyak 95 syarikat yang disenarai dalam indeks itu membabitkan syarikat Malaysia yang mempunyai permodalan pasaran sebanyak AS$53 bilion, manakala yang lain terdiri dari Arab Saudi, Turki, Indonesia dan Nigeria. 

"Sebelum ini, kami hanya melabur dalam syarikat dengan membeli produk yang mereka jual, namun kini kami membantu pengeluar produk halal mengembangkan perniagaan mereka," kata Rushdi. 

Beliau berkata, kini 80 peratus produk makanan halal dikeluarkan negara bukan Islam dan digunakan oleh kebanyakan negara Islam. – BERNAMA

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...