Iklan Nuff

16.5.11

Guru kena angkat martabat pendidikan lahir insan kamil

Oleh Nazri Hussein

2011/05/16

TANGGUNGJAWAB guru menyebar ilmu serta pembentuk akhlak dan moral pelajar diiktiraf oleh Allah SWT sebagai golongan mulia dalam masyarakat yang menyumbang terhadap pembangunan generasi akan datang. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)


Menjadi seorang pendidik yang setiap saat dan ketika berkhidmat menyalurkan ilmu pengetahuan supaya generasi yang ada hari ini memiliki kecelikan akal, berkebolehan, berdaya kreatif serta mempunyai sahsiah peribadi yang ulung bukan suatu tugas mudah.


Ia memerlukan komitmen yang tinggi dan hakikat ini menjadi cabaran kepada guru merealisasikan hasrat membina negara bangsa yang bukan saja maju tetapi juga teguh akal budi menjulang peradaban bangsa. 

Malah, guru yang cemerlang dan berkualiti akan sentiasa menekankan persoalan adab dan perilaku anak muridnya kerana matlamat akhirnya adalah ingin melahirkan insan berketrampilan dan bertakwa kepada Allah SWT. 

Rasulullah SAW adalah contoh muaddib atau guru terbaik untuk dijadikan ikutan dan teladan kerana pada diri Baginda terhimpun akhlak baik dan kemuliaan dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik.” (Hadis Riwayat Muslim) 

Sempena Hari Guru hari ini, wajarlah golongan guru menyahut cabaran mengangkat martabat pendidikan dengan cara menunaikan amanah penuh ikhlas mentarbiah anak bangsa supaya lahir insan kamil yang luhur akal budi serta berpengetahuan tinggi memakmurkan negara. 
Bagi pelajar dan masyarakat pula, hargailah pengorbanan guru serta elakkan suasana yang boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara guru, murid dan masyarakat. Sikap menghormati guru dapat mengeratkan hubungan guru, murid, ibu bapa dan masyarakat. 

Banyak juga laporan tidak elok yang didengar mengenai tindakan guru terhadap murid serta perilaku negatif guru terhadap murid. Semua itu mesti ada puncanya, sama ada daripada pelajar sendiri atau kelemahan guru menerapkan nilai mulia dalam diri mereka. 

Justeru, apabila guru sudah berusaha sedaya mungkin menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas, pelajar pula perlu ikhlas menuntut ilmu kerana dengan cara itu akan memudahkan proses pembelajaran. 

Ada kalanya, guru sudah melakukan yang terbaik namun, hasilnya masih tidak kelihatan. Oleh itu untuk melihat kejayaan, gabungan kerja keras guru dan murid, disokong pula oleh ibu bapa adalah sangat diharapkan. 

Jangan terlalu mudah menuding jari kerana adalah lebih baik kita bersama mencari di mana kelemahan untuk diperbaiki. Cabaran hidup hari ini bukan berkisar di sekolah saja tetapi membabitkan semua aspek kehidupan. 

Guru teruskan perjuangan menabur ilmu dan anak murid berusaha menimba pengetahuan di bawah bimbingan guru sementara ibu bapa hendaklah memantau perkembangan pendidikan. Apabila semua berfungsi dengan baik, cabaran mendepani sistem pendidikan akan dapat diatasi.



sumber : Berita Harian Online

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...