21.5.11

Harga ayam cecah RM12 sekilo

Oleh Norhayati Umor
bhnews@bharian.com.my
2011/05/21

KENAIKAN harga  mendadak menyebabkan perniagaan ayam merosot di beberapa pasar di sekitar Georgetown.
KENAIKAN harga mendadak menyebabkan perniagaan ayam merosot di beberapa pasar di sekitar Georgetown.
Peniaga dijangka terus naikkan harga bekalan menjelang cuti sekolah

GEORGETOWN: Harga runcit ayam di beberapa pasar di negeri ini melambung ke paras tertinggi hingga mencecah RM12 sekilogram dan dijangka terus meningkat menjelang cuti sekolah, tidak lama lagi.

Kenaikan harga pada peringkat runcit yang dianggap tidak masuk akal, tidak dapat dielak berikutan peniaga memperoleh bekalan pada harga tinggi iaitu sekitar RM8 sekilogram.
Tinjauan di beberapa pasar awam di sekitar bandar ini mendapati kenaikan harga ayam bukan saja membebankan pengguna, malah menimbulkan masalah kepada peniaga ayam berikutan kurangnya permintaan.


Peniaga ayam di Pasar Awam Jalan Patani di sini, mendakwa mereka tidak mengetahui punca kenaikan mendadak harga ayam di pasaran, malah pembekal sudah tiga kali menaikkan harga, minggu ini.

Bermula dengan RM6.70 sekilogram, harga meningkat kepada RM6.90 dan melonjak RM8.

Yusof Jailani, 58, berkata harga ayam yang tidak stabil dan meningkat mendadak menyebabkan penjualan ayam merosot.

“Kebanyakan peniaga meramalkan harga ayam terus naik. Sekarang, ayam dijual pada harga RM12 sekilogram dan jika kenaikan harga ayam terus berlaku. Tidak mustahil, ia akan mencapai harga RM20,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 
Yusof yang sudah 30 tahun menjual ayam, juga kesal kerana peniaga sering dipersalahkan setiap kali kenaikan harga ayam.

“Jika pembekal meletakkan harga tinggi, kami tidak boleh berbuat apa-apa dan perlu menaikkan harga. Jika keadaan ini berlarutan, peniaga ayam terpaksa gulung tikar dan lebih baik kerajaan import ayam kerana lebih murah," katanya.

Seorang lagi peniaga ayam, Azizul Rahman, 34, berkata perniagaannya merosot sejak kebelakangan ini berikutan peningkatan harga ayam.

“Dulu saya jual 100 ekor ayam sehari dan kini hanya mampu jual 40 atau 50 ekor. Jika ada pelanggan meminta dikurangkan harga, saya terpaksa kurangkan sehingga RM10 sekilogram. Saya terpaksa jual, jika tidak mereka tidak mahu beli,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, M Gunaselan, berkata kementerian hanya mengawal harga ayam apabila tiba musim perayaan.

“Harga ayam berubah ikut pasaran. Tetapi ketika ini, purata harga ayam di pasaran di negeri ini adalah antara RM8 hingga RM9 dan berbeza di setiap pasar,” katanya.



sumber: Berita Harian Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...