28.6.11

PERJALANAN ISRA’ DAN MIKRAJ


Moga kita semua sentiasa dirahmati serta diberkati ALLAH. Bersama-samalah kita mengenangkan sejenak akan keadaan diri kita, dari segi keimanan kita kepada ALLAH dan RASULNYA, , dan kepatuhan dan ketaatan kita kepada ALLAH dan RASULNYA. Jika kita dapati semakin hari semakin jauh kita dari ALLAH dan RASULNYA, maka segeralah kita kembali ke jalan ALLAH, segeralah kita bertaubat dan menuju ke jalan yang diredhainya, segeralah kita memulakan perjalanan kita ke arah ketaqwaan kepada ALLAH. Adapun jika kita dapati bahawa semakin hari semakin bertambah ketaatan kita kepada ALLAH, segeralah kita memanjatkan kesyukuran kita kepada ALLAH, dan sentiasalah kita mengingati akan kasih sayang ALLAH pada hambanya, dan cinta RASUL kepada umatnya

“Mahasuci ALLAH yang telah memperjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami iaitu ALLAH berkati sekelilingnya supaya dapat Kami tunjukkan kepadanya Tanda-Tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya ALLAH Maha Pendengar lagi Maha Melihat. (Al-Isra’ : 1)

Begitulah ALLAH memberitakan perjalanan Baginda Rasulullah s.a.w. sewaktu Isra’ dan mikraj. Suatu perjalanan yang cukup istimewa; perjalanan dari bumi ke langit, bahkan dari hamba menemui Tuhan Penciptanya.

Bayangkan betapa gembiranya Baginda dapat mencapai suatu darjat dan kedudukan yang belum pernah dicapai seseorang sebelum Baginda. Ya ALLAH, segala puji dan syukur bagi MU kerana menjadikan kami pengikut Nabi yang Agung ini, yang telah Engkau muliakan dengan derjat yang tinggi ini.

Mukjizat Isra’ dan Mikraj ini bagi Baginda telah merupakan sebuah ujian bagi keimanan Sahabat Nabi ketika itu, dan sehingga hari ini, merupakan suatu ujian bagi keimanan kita kepada ALLAH dan segala yang ghaib. Firman ALLAH s.w.t.

Yang bermaksud, “Dan tidaklah Kami jadikan segala yang Kami perlihatkan kepada mu kecuali sebagai ujian bagi manusia” (Al-Isra’ :60)

Ia merupakan suatu ujian bagi mengukuhkan keimanan kita. Dan bagi mereka yang berjaya, maka peristiwa ini akan terus menjadi satu sumber inspirasi dan motivasi yang berterusan untuk agamanya serta bagi kehidupannya di dunia dan di akhirat.

Jika kita singkap kembali lembaran sejarah sebelum berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj ini, akan kita dapati bahawa beberapa tahun sebelum berlakunya peristiwa ini, Baginda Muhammad s.a.w. dan mereka yang beriman dengan Baginda telah melalui beberapa keadaan yang menyedihkan dan kesusahan serta penderitaan.

Baginda pertamanya kehilangan isterinya yang tersayang, Sayyidatina Khadijah r.a., yang merupakan orang yang pertama yang beriman dengan Baginda, dan teman sejatinya, serta pendukung Baginda, seorang yang mengorbankan segala hartanya untuk dakwah Baginda. Kemudian, Baginda kehilangan pemeliharaan dari semua kekasaran dan tentangan penduduk Mekkah dengan kematian pakcik Baginda, Abu Talib. Selepas kematian pakcik Baginda ini, mereka yang beriman terpaksa melarikan diri ke sebuah lembah berdekatan Mekkah, di mana tiada makanan atau tempat berteduh di situ.

Bahkan, Baginda begitu sedih apabila Baginda ke Taif dengan harapan agar penduduknya menerima Baginda, namun mereka bukan setakat menolak Baginda, tetapi mencederakan badannya yang mulia. Ramai dari mereka yang beriman terpaksa berhijrah ke Habsyah dan yang kekal bersama Baginda berada di dalam keadaan lemah dan lapar. Apa yang benar-benar mendukakan Nabi ialah kaum Quraisy mengenali Nabi sebagai seorang yang sentiasa jujur, namun mereka enggan beriman dengannya.

Di dalam segala kesedihan ini, ALLAH menganugerahkan Kekasihnya Rasulullah s.a.w. dengan perjalanan Isra’ dan Mikraj ini demi untuk menjadi inspirasi serta sumber kekuatan bagi Baginda dengan memperlihatkan kepada Baginda apa yang tidak pernah dianugerahkan kepada seseorang pun sebelum Baginda. Baginda diperlihatkan tanda-tanda Keagungan ALLAH, serta jaminan bahwa ALLAH akan mengurniakan kejayaan kepada Baginda ke atas segala musuh Baginda. Sesungguhnya, peristiwa Isra’ Mikraj ini telah membuktikan kepada Baginda bahawa jika bumi serta semua penduduknya mendukakan dan menyempitkan Baginda, maka segala pintu langit sentiasa terbuka untuk Baginda, dan sekiranya ada makhluk yang ingin mencederakan Baginda, maka segenap penduduk langit akan membantu dan mempertahankan Baginda. Begitulah tingginya derjat Nabi bagi Ummat ini.

Kita harus mempelajari dari peristiwa ini bahawa Iman itulah merupakan pengukuran yang sebenarnya di dalam Islam. Dan bagaimana kita mempraktikkan ajaran Baginda selepas beriman dengannya. Sesungguhnya, Imanlah yang membezakan Sayyidina Abu Bakar r.a. dan menempatkan beliau pada suatu kedudukan yang tidak dapat ditandingi oleh sahabat Rasulullah s.a.w. yang lain. Beliau lebih dikenali sebagai As-Siddiq yang bererti “yang membenarkan” lebih dari namanya sendiri kerana beliau terus percaya dan beriman dengan khabar dari Baginda Rasulullah s.a.w. ketika diceritakan peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Kita juga mempelajari bahawa Baginda Muhammad s.a.w. elah memilih jalan Fitrah, iaitu jalan kesucian, dengan memilih susu dan bukannya arak, dan harus kita ingat bahawa arak belum lagi diharamkan pada waktu itu. Susu melambangkan kesucian dan Fitrah kerana mudah diminum, sihat lagi menyegarkan, manakala arak ialah ibu kepada segala kejahatan dan punca segala kedurjanaan di muka bumi.

Marilah sama-sama kita perhatikan dunia pada hari ini, dan dapat kita lihat pilihan manusia. Manusia telah memilih arak, lalu menjadikannnya suatu industri dan menghidangkannya, langsung kita melihat bagaimana ia merosakkan minda, jiwa, dan kerohanian manusia. Dengan segala kemajuan teknologi dan sebagainya, manusia tetap menjadi mangsa kepada segala amalan anti-Fitrah atau anti-kesuciannya, seperti peperangan, minda serta usaha-usaha yang merugikan, tamak, kejijikan, keruntuhan akhlak dan sebagainya. Semua ini berlaku apabila manusia memilih untuk menolah Fitrah yang asli, demi mencari cara kehidupan selain dari cara dan jalan ALLAH.

Firman ALLAH s.w.t.
Yang bermaksud,

“Barangsiapa yang memalingkan dirinya dari peringatan ALLAH, maka baginya ALLAH jadikan kehidupan yang sengsara, dan akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan sesat dan buta” (Taha; 124)

Firman ALLAH s.w.t.,
Yang bermaksud,

“Barangsiapa yang buta di dalam kehidupan dunia ini ( iaitu tidak melihat tanda-tanda kebesaran ALLAH dan tidak beriman dengannya) maka akan butalah dia di akhirat juga dan lebih sesat dari jalan yang sebenarnya” (Al-isra’ : 72)

Maka Fitrah iaitu kesucian dan segala amalan yang berunsurkan kesucian mestilah menjadi pilihan kita. Bahkan, kita semua dilahirkan di dalam keadaan fitrah seperti di dalam hadith Rasulullah s.a.w. Syeitan dan segala kuncunya berusaha sedaya-upaya menjauhkan kita dari mengikuti jalan fitrah. Amatlah penting sekali bagi kita untuk mengenali sifat-sifat amalan Fitrah agar kita tahu untuk memilih dan membezakan jalan Fitrah dari jalan Syeithan. Dan sememangnya, kehidupan kita seperti yang ditunjukkan oleh peristiwa Isra’ Mikraj ini ialah berkenaan dengan pemilihan kita sendiri.

sumber: JAKIM

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...