16.7.11

Ford S-Max & Mondeo

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN



JENAMA Ford di Malaysia sememangnya terhutang budi kepada model Fiesta. Tanpa Fiesta, agak mustahil Ford kembali berada dalam liputan radar dan menjadi sebutan dalam kalangan pengguna tempatan yang terkenal dengan sifat cerewetnya. Kini, kelibat kenderaan Ford makin mudah dilihat di jalan raya. Satu situasi yang agak sukar dilihat sebelum ini. Kalau ada pun, cuma model-model lama yang kebanyakannya masih mampu memberikan khidmat tanpa banyak masalah. Semua orang tahu bahawa Ford pernah menjadi satu nama besar satu ketika dahulu.

SEDAN ini menerima pelbagai penambahbaikan berbanding model sebelumnya.

Masih ingat dengan model Ford Escort, Laser TX3 atau Lynx? Itu hanya sebahagian kecil daripada model-model popular Ford yang menjadi dambaan anak-anak muda yang gemarkan kereta berprestasi, bergaya. dan mempunyai tahap pengendalian cemerlang. Jangan salah faham, jenama itu tidak pernah hilang sepenuhnya. Malah, pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion Sdn. Bhd (SDAC) tetap cuba untuk memeriahkan pasaran menerusi pelbagai model seperti Ford Focus, trak pikap Ranger, SUV Escape dan Everest, selain sedan Mondeo. Namun, model-model tersebut tidak cukup kuat untuk meruntuhkan persepsi dan skeptikal terhadap Ford. Apatah lagi, ketika jenama pengeluar tempatan, Jepun dan Korea semakin aktif mahu meningkatkan peratus penguasaan masing-masing dalam pasaran. Tidak mahu mensia-siakan momentum positif terhadap Ford, SDAC baru-baru ini menambah rangkaian model sedia ada dengan dua model terbarunya. Sedan Mondeo dalam gred Titanium (Mondeo Titanium) dan kenderaan pelbagai guna (MPV), S-Max.

Enjin EcoBoost

Persamaan paling ketara antara Mondeo Titanium dan S-Max ialah kedua-dua jentera tersebut menggunakan unit enjin terbaru daripada Ford. Dikenali sebagai EcoBoost, enjin empat silinder bersesaran 2.0 liter itu membuat debut menerusi dua model tersebut. Disifatkan sebagai enjin yang lebih kuasa dan kurang penggunaan minyak, ia menawarkan kuasa yang terbaik dalam kelasnya. Prestasi itu dipadatkan ke dalam satu pakej lebih kompak, efisien dan kurang emisi. Ford mendakwa enjin EcoBoost membantu meningkatkan penjimatan bahan api sehingga 20 peratus, di samping pengurangan emisi mencecah 15 peratus. EcoBoost menggabungkan sebuah unit turbocharger dengan sistem pancitan terus bahan api.

RUANG kabin S-Max yang luas untuk seisi keluarga.

Ia menyediakan kuasa yang lebih baik dan pecutan pantas. Kuasa maksimum yang mampu dijananya ialah 203PS @ 6,000rpm dan tork puncak 300Nm @ 4,500rpm. Bagi jarak 100 kilometer, EcoBoost hanya menggunakan sebanyak 8.1 liter petrol. Angka itu adalah kombinasi pemanduan di bandar dan lebuh raya. Bagi memastikan pemanduan yang lancar, enjin tersebut dipadankan dengan transmisi dual-clutch Powershift enam kelajuan automatik. Harus tahu bahawa EcoBoost bertindak sebagai satu elemen penting dalam perancangan Ford Motor Company demi kelestarian global. Ford merancang untuk menggunakan EcoBoost ke dalam 80 peratus kenderaannya dengan jualan global mencecah 1.5 juta unit di seluruh dunia. "Ford komited untuk membawakan teknologi ini kepada semua kenderaan keluaran kami. Jadi, lebih ramai pengguna boleh memperoleh faedah daripada keunikan, prestasi dan penjimatan EcoBoost," jelas Pengurus Serantau Asia Pasifik, Operasi Eksport Ford, David Westerman.

Mondeo Titanium

Sebagaimana sedia maklum, Mondeo sudah ditawarkan oleh SDAC sejak November 2009. Kalau dinilai dari segi ciri yang ada pada Mondeo dan tawaran harganya, sedan eksekutif itu sememangnya berbaloi untuk dimiliki. Kini, model dengan enjin 2.3 liter itu digantikan dengan Mondeo Titanium yang dilengkapi dengan pelbagai ciri pintar bersama rekaan kinetik. Rekaan kinetik itu terserlah menerusi penampilannya yang energetik. Bampar hadapan, belakang dan cermin sisi semuanya menerima sentuhan baru. Perkara yang lebih menarik boleh anda dapati ketika masuk ke dalam kabinnya. Mondeo Titanium menjanjikan pemanduan yang selesa, senyap dan menenangkan. Teknologi terkini yang dipasang pada model itu ialah Human Machine Interface (HMI).



SISTEM audio yang hadir bersama ciri voice command.


HMI meningkatkan tahap kefungsian menerusi butang kawalan pada stereng yang mudah dioperasi. Selain sistem audio yang boleh dikawal dari jauh. Bagi memudahkan pemandu, Bluetooth hadir bersama ciri voice command. Faedahnya? Perisian pengenalpasti suara membolehkan anda menggunakan telefon bimbit dengan cara lebih selamat. Sebagai sebahagian daripada model sedan bersaiz besar, Mondeo Titanium dibawa masuk secara import sepenuhnya (CBU) dari kilang Ford di Eropah. Mondeo Titanium pasti boleh menjadi alternatif kepada mereka yang mahu beralih daripada model-model sedan eksekutif seperti Nissan Teana, Toyota Camry, Honda Accord, Kia Optima atau Hyundai Sonata.

Ford S-Max

S-Max merupakan percubaan pertama Ford untuk bersaing dalam segmen MPV. Selama ini, segmen MPV buatan Eropah cuma dihuni oleh beberapa model termasuklah Renault Espace, Peugeot 5008 dan Citroen C4 Grand Picasso. Berkongsi platform sama dengan Mondeo, S-Max bagaimanapun mampu bertindak sebagai sebuah MPV yang boleh menempatkan tujuh orang penumpang dengan selesa. Justeru, ia sememangnya sebuah kenderaan ideal untuk keluarga. "Ford S-Max yang baru menampilkan rupa luaran kemas. Ia menggabungkan penambahbaikan signifikan dan kefungsian yang memastikan sesiapa sahaja mengalami pengalaman pemanduan yang selesa serta penuh gaya," tambah Westerman.

PAPARAN meter yang moden dan mudah dibaca.


S-Max menawarkkan ruang kargo lebih besar menerusi sistem Fold Flat Seating yang ada padanya. Anda hanya perlu melipat tempat duduk baris kedua dan ketiga untuk mendapat ruang kargo yang diperlukan.

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, S-Max telah memperoleh penarafan lima bintang daripada Euro NCAP. Senarai sistem keselamatannya juga panjang. Antaranya ialah sembilan beg udara, Electronic Stability Program (ESP), Traction Control System (TCS), Hill Launch Assist (HLA), ABS, EBD, ISOFIX dan banyak lagi.

Mondeo Titanium ditawarkan pada harga di antara RM180,000 hingga RM185,000 seunit. Sementara S-Max pula boleh dimiliki dengan tanda harga di antara RM185,000 hingga RM188,000 seunit (di atas jalan termasuk insurans) untuk pendaftaran peribadi di Semenanjung Malaysia. Ia juga hadir bersama jaminan tiga tahun dengan pakej servis penuh atau perbatuan sejauh 60,000 kilometer (yang mana tiba dahulu). Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu hitam, putih, perak, biru dan hijau. Kedua-dua model itu boleh didapati di semua bilik pameran sah Ford mulai Ogos depan.

sumber: KOSMO

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...