Iklan Nuff

6.7.11

Orang Ramai Lega Perhimpunan Jalanan Dibatal


KUALA LUMPUR: Orang ramai kini berasa lega berikutan keputusan penganjur demonstrasi jalanan Sabtu ini yang mengubah rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan di stadium.
Keputusan itu diumumkan oleh pengerusi penganjur perhimpunan haram itu, Datuk S. Ambiga selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini, Selasa.
Pekerja swasta, Mohd Hairul Izwan Sidek, 30, berkata, beliau menyokong sepenuhnya keputusan pihak pengajur untuk mengadakan berhimpun tersebut di stadium berbanding diadakan di jalanan yang dilihat akan memberi kemudaratan kepada ramai orang.
"Kalau buat di stadium saya sokong sangatlah lagipun ia lebih selamat. Ia samalah macam pertandingan bola sepak ke, konsert ke, memang ramai orang tapi ia boleh dikawal.
"Lagipun jika buat di stadium, ia tidak akan menganggu ketenteraman awam. Urusan harian pun tidak terjejas. Kalau jalan sesak itu biasalah sebab kalau orang pergi tengok bola, jalan pun sesak juga," katanya.
Mohd Hairul berkata, tindakan penganjur untuk bersetuju dengan cadangan kerajaan mengadakan perhimpunan di stadium juga adalah langkah bijak bagi mengelak berlaku kerosakan harta benda di tempat awam dan menjejaskan perniagaan.
"Kalau di stadium itu, mereka bolehlah luahkan apa yang mereka tidak berpuas hati itu sepenuhnya, apa yang mereka hendak. Tidak ada orang pun yang marah," katanya.
Bagi penjawat awam Nura Isa, 41, pula berkata perkembangan terkini itu jelas menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai toleransi yang tinggi terhadap rakyat.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan membenarkan suara rakyat diperdengarkan tetapi perlulah dengan cara yang betul, katanya.
"Rakyat berhak bersuara tetapi perlulah ikut syarat. Dalam pada itu kita tidak bolehlah mengikut kata hati kita, buat tanpa memudaratkan majoriti dalam negara ini," katanya.
Sementara itu, perunding kanan syarikat swasta dari Sarawak, Alex Edry, yang berhasrat melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan yang telah mengambil langkah perlu untuk menyelesaikan isu perhimpunan jalanan itu.
"Jika tiada penyelesaian dicapai atau dilakukan, saya tidak dapat menghadiri temuduga untuk melanjutkan pelajaran yang dijadual pada Julai di Semenanjung. Ia akan menjejaskan perancangan saya dan saya mungkin perlu menangguhkannya.
"Selain itu, jika kumpulan itu meneruskan perhimpunan itu, saya bimbang ia akan menjejaskan dan membunuh ekonomi, sedangkan itu yang kita kini cuba keluar (kemelut ekonomi)," katanya.
Bagi Alex, perhimpunan haram yang dirancang sejak sekian lama itu hanya akan menyusahkan orang awam, khususnya yang tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - BERNAMA (mStar)

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...