1.7.11

Sportage generasi ketiga, RM138,888

Selepas pelancaran Kia Forte enam kelajuan dan Kia Koup Mac lalu, Naza Kia Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Kia Motors kini melancarkan jentera baru generasi ke-3, Kia Sportage yang menawarkan reka bentuk lebih moden diinspirasikan daripada gaya Eropah, selain mengalami peningkatan dari segi prestasi, penjimatan ekonomi, keselesaan, kemudahan dan teknologi terkini.

Ketua Pegawai Operasi Naza Kia Malaysia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar berkata, Sportage baru itu akan menjadi model popular dalam kalangan rakyat Malaysia dengan sasaran jualan 200 unit sebulan.

“Turut ditampilkan ciri-ciri rekaan dinamik dan segar berbanding model sebelumnya. Ia memberi imej garang, maskulin dan gagah serta lampu LED siang hari menampilkan perbezaan ketara berbanding SUV lain dalam segmennya,” katanya.

Menawarkan sistem All-Wheel Drive (AWD) yang menjadi salah satu strategi Kia Motors bagi pasaran Malaysia, sistem itu memantau secara berterusan keadaan pemanduan dan membantu memberikan kestabilan sewaktu mengambil selekoh dan mengurangkan masalah gelinciran dalam pelbagai situasi.

Sistem AWD membantu meningkatkan kilasan dan prestasi pada setiap permukaan jalan yang berbeza, dengan mengagihkan kuasa kilas ke setiap bahagian roda mengikut keperluan.

Hafiz berkata, dalam keadaan pemanduan biasa, sistem AWD memberikan 100 peratus daya kilas enjin ke bahagian roda hadapan untuk meningkatkan tahap ekonomi bahan api. Turut tersedia pilihan four-wheel drive (4WD) dengan mod kunci yang mengagihkan kuasa kilas ke bahagian roda depan dan belakang pada nisbah 50:50.

Dikuasakan enjin terkini dengan kecekapan bahan bakar tertinggi, Sportage didatangkan dengan enjin petrol Theta II 2.0 liter menampilkan teknologi dual CVVT (continuous variable valve timing) yang menghasilkan kuasa 166ps dan kuasa kilas sebanyak 197Nm dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan.

Melihat bahagian kabin, SUV (kenderaan utiliti sukan) kompak ini menawarkan stereng dan gear knob kemasan kulit, penghidup enjin butang push-start, kerusi kulit, pendingin hawa dengan kawalan suhu dua zon dan penapis udara terion, serta kerusi berkuasa elektronik dengan lapan cara pemboleh ubah untuk pemandu dan dua bumbung panorama di bahagian depan dan belakang.

Turut didatangkan juga dengan ciri-ciri hebat lain termasuk penukar enam CD disambungkan ke sistem bunyi yang terdiri daripada dua tweeter, empat pembesar suara di setiap pintu dan satu sub-woofer. Turut tersedia ialah fungsi AUX, USB dan penyambungan iPod dan Bluetooth.

Isu keselamatan tidak diketepikan kerana jentera ini menerima pengiktirafan Euro NCAP bertaraf lima bintang dan didatangkan dengan enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Brek Bukit, Kawalan Brek Selekoh, Sistem Bantuan Brek, Sistem Kawalan Tarikan dan Kawalan Bantuan Penghidup-Bukit.

Kia Sportage baharu tersedia pilihan warna luaran oren techno yang menyerlah selain warna sand track, mineral silver, bright silver dan clear white. Harga yang ditawarkan di Semenanjung Malaysia sebanyak RM138,888 termasuk insurans SUV kompak ini bakal memberi saingan dalam segmennya.



sumber: Sinar Harian

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...