7.8.11

Elakkan amal tabiat buruk semasa puasa

Pedoman: Tabiat buruk dalam berpuasa

HARI ini genap tujuh hari umat Islam di seluruh dunia menjalankan ibadat puasa dan masih belum terlambat untuk kita sama-sama menghayati makna puasa serta kelebihan yang ada di dalam Ramadan.

Sebagaimana kita sedia maklum, Ramadan adalah penghulu segala bulan dan ia juga bulan di mana Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran kepada Rasulullah SAW sebagai panduan dan petunjuk kepada manusia.

Allah SWT berfirman: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” Namun, dalam melaksanakan ibadat puasa, ada antara kita terlupa mengenai satu tabiat buruk yang mampu menipiskan amalan serta iman seseorang.

Tabiat buruk itu adalah sifat tamak dan boros dalam berbelanja yang kemudian bertukar kepada pembaziran yang jelas dibenci oleh Allah SWT dan disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat terdahulu.

Oleh kerana nafsu, ramai daripada kita sanggup boros berbelanja bagi membeli pelbagai juadah yang sebenarnya tidak sesuai dengan selera.

Akhirnya, pelbagai juadah dibeli bukan sekadar memenuhi tuntutan nafsu makan, sebaliknya untuk dibazirkan, sekali gus melanggar sunnah Rasulullah SAW yang menganjurkan supaya ‘makan sewaktu lapar, dan berhenti sebelum kenyang’.

Diriwayatkan bahawa satu masa dulu Nabi Yahya AS diperkenankan Allah SWT untuk berjumpa iblis. Dalam pertemuan itu, Nabi Yahya melihat iblis membawa pengait daripada pelbagai barangan. Nabi Yahya AS bertanya: “Wahai iblis, pengait apakah yang kamu bawa?” Iblis menjawab: “Semua yang aku bawa ini adalah untuk kesenangan nafsu, aku akan mendapatkan anak Adam dengannya.” Nabi Yahya bertanya lagi: “Adakah bahagian aku di dalamnya? Iblis menjawab: “Ya, ada! Kadangkala kamu kenyang, lalu aku membuat kamu berasa berat untuk bersolat dan berzikir.” Adalah jelas, sifat tamak bukan saja membawa kepada pembaziran, malah menyebabkan seseorang itu keberatan melaksanakan ibadat.

Sebagai peringatan kepada manusia mengenai sifat ini, Allah SWT berfirman, bahawasanya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara kepada syaitan dan syaitan itu pula sememangnya ingkar kepada tuhannya.” (Al-Isra, ayat 27) Sebagaimana dinyatakan dalam ayat ini, Allah SWT tidak menyukai hamba-Nya melakukan pembaziran berikutan ia satu sifat syaitan yang dilaknati-Nya dan kadangkala, oleh kerana terlalu gembira untuk berbuka, umat Islam tidak menyedari mereka melanggari etika murni yang ditetapkan Islam iaitu berpada-pada dalam perbelanjaan.

Berdasarkan ayat itu, boros dan membazir adalah perbuatan keji dan patut ditinggalkan orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman dengan Islam.

Malah, Allah SWT turut berfirman: “Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” (Al-Araaf, 31) Jelas, sebagai umat Islam, berbuka puasa sememang diwajibkan tapi jangan ia digunakan sebagai peluang melepaskan geram selepas seharian berpuasa.

Sewajarnya, ibadat berpuasa dijadikan medan melatih jiwa seseorang Muslim bertakwa lagi penyabar, yakni dengan memakan secara sederhana sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Anak Adam itu tidak memenuhi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Jika tidak mustahil (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Al-Tirmizi)

sumber: myMetro Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...