Iklan Nuff

4.8.11

Sedekah tambah rezeki


APA perasaan anda, seandainya ketika sedang makan di kedai atau di warung tiba-tiba datang orang meminta sedekah menghampiri anda.
Dia meminta duit derma daripada anda tetapi badannya sihat sambil dipimpin seseorang sambil menadah tangan.
Anda sedekah atau tidak kepadanya? Kalau anda beri duit kepadanya sama ada ikhlas atau pun sebab malu pada orang di sekeliling yang melihat anda? Selepas anda menderma apakah perasaan anda? Seronok atau berasa rugi?

Kalau berasa menyesal itu memang kedekut jawabnya. Alhamdulillah orang kita suka menderma, suka membantu dan menolong, mungkin kerana roh iman dan Islam yang menyala di dalam hati dan sanubari.


Ia menjadi pendorong utama ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang memang lembut hati. Hulurkan derma janganlah terlalu berkira sangat.

Tidak miskin pun jika kita beri sedikit pemberian itu dan tidak kaya mana pun mereka dengan yang dapat duit derma kita. Sebenarnya orang kaya ialah orang yang suka memberi.

Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Rasulullah pernah berhutang kerana mahu memberi. Kali ini penulis ingin berkongsi sedikit ilmu berkenaan membantu dan menderma terutama kepada fakir miskin.

Siapa sebenarnya yang dikatakan fakir miskin itu supaya derma kita itu betul-betul disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Fakir dan miskin adalah orang yang tidak memiliki apa yang cukup untuk belanja seharian misalnya mereka tidak memiliki beras, lauk dan keperluan asas yang lain.

Mungkin mereka ada pekerjaan tetapi pendapatan mereka tidak mencukupi, kos sara hidupnya dan bebanan keluarga, sebagaimana firman Allah: “Adapun bahtera itu kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan Aku bertujuan merosakkan bahtera itu, Kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.” (Surah Al-Kahfi ayat 76)

Pada ayat di atas mereka disifatkan dengan sifat miskin, padahal mereka memiliki perahu besar dan memperoleh pendapatan sebagaimana sabda Rasulullah ketika ditanya orang miskin, Baginda menjawab: “Orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta, lalu diberi sesuap atau dua suap, satu buah kurma atau dua buah, tapi orang miskin adalah orang yang tidak cukup apa yang dia dapat daripada pekerjaannya untuk menyara keluarga.”

Zaman sekarang ada satu nama lagi iaitu peminta sedekah atau pengemis.
Terkadang mereka masih ketagih untuk makan hasil dari meminta dan menadah tangan.

Kalau sudah cukup duit daripada meminta sepatutnya mereka berhenti meminta tetapi kerana sudah ketagih, mereka akan terus meminta, orang sebegini sudah termasuk dalam kategori mereka yang memiskinkan diri sendiri.

Sebahagian daripada peminta sedekah sebenarnya lebih memerlukan derma dalam bentuk nasihat dan pemulihan mental.

Mereka perlu dididik dan disedarkan bahawa tangan di atas, jauh lebih baik dari pada tangan di bawah.

Setengah kadang-kadang menjadi keliru kepada peminta sedekah sama ada hendak beri atau tidak.

Kalau kita terus memberi nanti mereka ketagih meminta sehingga langsung tak nak berusaha sebab lagi seronok meminta tanpa bekerja.

Kalau tidak beri kasihan juga kalau yang meminta itu memang sangat-sangat memerlukan.

Sebab itu kita perlu memilih kepada siapa kita perlu berinfaq dengan tujuan untuk membantu dan kepada siapa kita perlu berkata maaf dengan tidak memberi mereka wang bukan kerana membenci, tetapi itulah salah satu cara kita mendidik mereka dan agar mereka berfikir dengan bijak.

Bagaimanapun penderma tetap dalam perhatian Allah dengan ganjaran yang istimewa. Percayalah jangan sekali menyesal dengan derma anda sebab banyak sekali hikmah di sebalik pemberian itu.

Antaranya hikmah derma ialah melembutkan hati. Jika hati sudah lembut, mudah untuk seseorang memaafkan orang dan mudah memohon maghfirah selepas melakukan kesalahan, sama ada kecil atau besar.

Kedua, seseorang, apabila menderma dan orang yang menerima derma pula seseorang yang betul-betul memerlukan bantuan insya-Allah, penerima derma itu pasti berdoa supaya penderma dikurniakan rezeki dan keampunan Allah.

Kesan berganda itu disebutkan dalam al-Quran, seperti ayat 261 dan ayat 265 Surah Al-Baqarah: “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji.”

Manakala dalam ayat 265 surah sama maksudnya: “Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari reda Allah, dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali lipat (ganda). Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun (pun memadai). Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”



sumber: myMetro Online

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...