6.8.11

Ziarah mencari barakah

Menziarahi saudara Muslim merupakan amalan mulia di sisi Islam. Apatah lagi jika menziarahi orang sedang sakit. Lebih lagi jika orang itu insan banyak berjasa dan ilmuwan.

Nabi SAW beritahu kita dalam sabda baginda: “Sesungguhnya Muslim apabila menziarahi saudara Muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah itu khurfah syurga?. Jawab baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)”. (Riwayat Muslim). Ertinya, orang yang mengunjungi saudara Muslim yang sakit seakan dia dalam keadaan memetik buah-buah syurga sepanjang tempoh itu. Ertinya perjalanan itu penuh kebaikan dan pahala.

Sehari sebelum Ramadan baru-baru ini, saya diberikan kesempatan menziarahi dua tokoh yang banyak menyumbang kepada masyarakat mereka. Kedua-duanya secara kebetulan sedang uzur. Pertama; Tuan Guru Hj Hashim Abu Bakar. Keduanya; guru saya Ustaz Yahya Uthman. 



Sebelah pagi, saya telah menziarah Tuan Guru Hj Hashim, yang merupakan Pengerusi Tadbir Pondok Pasir Tumbuh. Beliau orang ‘lama’, lahir tahun 1923M. Sebagai tuan guru yang sudah lama berkhidmat dan banyak pula muridnya, tentulah banyak jasa dan sumbangannya kepada masyarakat. Semasa saya menziarahi, beliau tidak sedar. Ahli keluarganya menyambut kedatangan saya. Semoga Allah menyembuhkan beliau dan sentiasa melimpahkan kurniaan dan rahmat-Nya untuk beliau. Jika beliau sedar, saya ingin berkata kepada beliau: “Tuan guru, berikan saya nasihat dan pesanan”. Pesanan orang berilmu dan berpengalaman amat berharga untuk kita dengar.

Ya, saya akur bahawa terdapat beberapa pendapat yang berbeza antara sesetengah pihak termasuk saya dengan beberapa pandangan dan pendekatan yang biasa dipegang atau diamalkan di sebahagian pondok pengajian tradisional Melayu. Pun begitu, ia bukanlah sebab untuk kita tidak menghormati tokoh dan menghargai antara satu sama lain. Setiap insan – setelah mempelajari hujah dan dalil, hendaklah berpegang dengan pendapat yang dia yakini paling diredhai Allah. Ini kerana setiap kita akan menjawab untuk diri sendiri di hadapan Allah atas jalan yang dipilih. Tiada siapa dapat menolong, melainkan keikhlasan kita dalam beragama. Tanda keikhlasan itu, seseorang memilih apa yang dia yakin – berdasarkan ilmu dipelajari bahawa itulah yang Allah mahu dalam beragama. Bukan atas emosi, bukan atas fanatik. Sebaliknya, atas ikhlas dan yakin.

Maka, tiada siapa dapat memaksa orang lain mengikut pandangannya atau ulama pilihannya. Entah berapa ribu para ilmuwan sepanjang sejarah ilmu dalam Islam ini yang telah melahirkan pelbagai pendapat. Mereka semua itu pun di bawah lembayung Ahlus Sunnah wal Jamaah. Setiap mereka berhujah dan berbeza pandangan. Kita ini menuruti rangkaian sejarah yang sama. Memilih dan memberikan pendapat. Tujuannya hanya satu; mencari keredhaan Allah dan memilih jalan dalam beragama yang diyakini memenuhi kehendak Allah dan rasul-Nya. Kemudian, dia patut berkata seperti al-Imam as-Syafi’i r.a. (wafat 204H) yang menyebut: “Pendapatku betul, ada kemungkinan salah. Pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul”. Demikian zuhud dan waraknya imam yang agung itu. Bukan seperti sesetengah, pendapatku betul, pendapat orang lain sesat dan terroris! Justeru, kita hormati setiap yang berjasa. Kita berterima kasih kepada sumbangannya.

Selepas menziarahi Tuan Guru Hj Hashim, saya pergi ke Machang menziarahi guru lama saya, Ustaz Datuk Yahya Uthman. Beliau bekas Exco Kelantan dan terkenal dengan kesungguhan dalam tarbiyyah atau asuhan diri dalam Pas. Pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam parti itu. Ustaz Yahya terkenal dengan bahasa Arabnya. Pendek kata lebih fasih Arab daripada Melayunya. Bicaranya, bicara dakwah. Ceritanya cerita dakwah. Seakan Allah menciptanya untuk tugasan itu. Apa tidaknya, beliau anak didik banyak tokoh ilmu dan dakwah termasuk al-Syeikh Yasin al-Fadani, al-Syeikh Mustafa as-Siba’i dan ramai lagi.

Saya kenal Ustaz Yahya sejak menjelang usia 20-an, semasa berkursus bahasa Arab untuk keluar negara di Nilam Puri. Saya mencari guru untuk mempelajari ilmu tambahan. Ustaz Yahya aktivis Pas yang terkenal dalam kalangan anak-anak muda yang cintakan tarbiyyah dalam parti itu. Saya berusrah dengan beliau di Dewan Zulkifli, membaca buku Baina al-Qiyadah wa al-Jundiyyah ‘ala Tariq al-Da’wah (Antara Pimpinan dan Petugas Atas Jalan Dakwah) karangan Mustafa Masyhur. Saya masih ingat buku saya ketika itu hanyalah buku fotostat, kerana sukar untuk mendapatkan buku asli dalam teks Arabnya. Kami fotostat daripada buku beliau. Itu cerita hampir 20 tahun lepas.

Sejak beberapa tahun lepas, semasa dan selepas menjadi Mufti Perlis, saya berusaha mendapatkan nombor telefon beliau. Apatah lagi, apabila saya sering mendapat jemputan dari Kelantan. Namun, masa atau kesibukan menghalang untuk saya sampai ke rumah beliau. Saya kembali sempat bertemu dengan beliau apabila saya dijemput sebagai tetamu ke Muktamar Dewan Pemuda Pas tahun 2010. Saya rasa sayu dan bersalah kerana lama tidak bertemu dengan beliau. Beliau kelihatan sudah agak uzur.

Kemudian saya beberapa kali ke Kelantan, masih tidak sempat ziarahi beliau. Cuma kadangkala ada bercakap dan berbincang beberapa perkara melalui telefon. Semasa angin bertiup tentang saya akan masuk UMNO, beliau juga berikan nasihat kepada saya. Hakikatnya, beliau jauh lebih lama dalam politik. Mungkin sekadar hendak tahu pandangan.

Alhamdulillah, baru-baru ini saya sempat menziarah beliau di Machang. Ustaz Wan Sharafi sudi bawa saya ke sana. Saya disambut mesra terasa sifat murabbi beliau. Walaupun agak uzur, masih dapat berikan nasihat dan bercerita. Berulang kali saya sebut kepada beliau; "ustaz berilah nasihat kepada saya." Beliau beri secara langsung dan tidak. Semoga Allah berikannya pahala besar!

Beliau cerita pengalaman diselang-seli nasihat berguna tentang apa yang beliau kutip dari pengalaman hidup. Itulah Ustaz Yahya Othman. Beliau tetap seperti semalam. Nasihat dan pesanan untuk para pendakwah dan petugas di jalan dakwah

Beliau ajak makan tengah hari di rumahnya. Saya agak keberatan pada awalnya kerana kami datang tanpa notis awal. Beliau beritahu, antara kebaikan orang Kelantan suka jamu tetamu sekalipun hanya sekadar ‘makan ulam’. Saya terima jemputan beliau. Selepas makan, berbicara seketika lagi, kemudian saya bergegas pulang ke hotel kerana bimbang terlepas kapal terbang. Apapun, saya gembira dan bahagia dengan ziarah sehari sebelum Ramadan. Banyak kebaikan, mudah-mudahan banyak keberkatan dibawa pulang. Hidup ini mencari bekalan untuk meneruskan perjalanan.


sumber: Sinar Harian Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...