Iklan Nuff

18.9.11

Pedoman: Takut buat dosa elak azab dunia, akhirat

ANTARA sifat semula jadi manusia ialah mudah leka, terpedaya dan tunduk kepada keinginan hawa nafsunya sehingga menyebabkan mudah terjebak melakukan perkara yang melanggar hukum Allah SWT dan berbuat dosa sama ada kecil atau besar, sengaja atau tidak.

Sebagai umat Islam, kita dididik sentiasa memelihara diri supaya tetap menjadi orang beriman dengan mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Oleh itu, sebagai manusia yang diberikan akal, kita hendaklah menanamkan sifat sentiasa takut untuk berbuat dosa, terutama membabitkan tuntutan Rukun Islam yang wajib seperti tidak melaksanakan solat lima waktu, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat hinggalah kepada perkara yang jelas berdosa seperti berjudi, berzina, melakukan rasuah, penipuan dan pelbagai sifat yang dimurkai Allah.

Ini kerana manusia yang melanggar perintah Allah SWT bukan saja mendapat dosa, tetapi turut dibenci Allah SWT, hati menjadi gelap, ditutup pintu rezeki, doa tidak dimakbulkan dan lebih buruk akan diazab oleh-Nya sebagaimana firman Allah dalam surah Maryam ayat 70-72 yang bermaksud: “Kemudian sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dengan api neraka.

“Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepada-Nya, yang demikian adalah satu perkara yang mesti berlaku yang ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim dengan kekufurannya dan maksiatnya berlutut di dalam neraka.” Perlu kita ingatkan diri, kemurkaan Allah SWT terhadap orang yang melakukan perbuatan dosa banyak diceritakan dalam al-Quran dan hadis secara jelas.

Akan tetapi, masih ada juga di kalangan kita yang melakukan perbuatan mungkar dan maksiat dengan sengaja.

Ingatlah, jika seseorang itu berbuat dosa dan tidak menerima balasannya di dunia, jangan fikir dia akan terlepas daripada menerima pembalasan Allah SWT di akhirat kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Ini dijelaskan Allah dalam surah Maryam ayat 75 yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesiapa yang berada di dalam kesesatan, biarlah Allah Ar- Rahman melanjutkan baginya satu tempoh tertentu hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, sama ada azab sengsara dunia atau azab kiamat, pada saat itu mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokongnya.” Kerana itu, mari kita gunakan akal diberikan Allah dengan sebaik-baiknya iaitu dengan mengikuti ajaran Islam dan mengikuti segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah SWT.

Disebabkan itu juga, kita dituntut bukan saja membuat kebaikan tetapi juga mencegah perbuatan mungkar, saling bantu-membantu, menasihati ke arah kebaikan dan bersatu padu.

Ketahuilah, jika perbuatan mungkar dan maksiat berleluasa di sebuah tempat, tidak mustahil Allah SWT menurunkan bala kepada mereka sebagaimana peristiwa yang berlaku kepada kaum Nabi Lut yang mendustakan utusan Allah sebagai rasul dan paling teruk lagi, mengamalkan perbuatan keji dan terkutuk dengan berzina, termasuk mengadakan hubungan sejenis.

Selain itu, kisah Qarun yang ditelan bumi bersama hartanya menjadi bukti sesungguhnya Allah sememangnya benci kepada manusia yang sombong dan bongkak dengan kekayaannya.

Allah menurunkan bala yang membinasakan mereka hingga habis ditelan bumi dengan sekelip mata sebagai pengajaran supaya manusia pada hari ini mengambil iktibar daripadanya.

Jadi, sebagai seorang yang mengaku Muslim, kita hendaklah sentiasa berusaha memelihara diri daripada melakukan dosa. Cara menghindarkan diri dengan dosa adalah dengan sentiasa ingat pada Allah SWT serta bersyukur atas nikmat diberikan. Oleh itu, mari kita berusaha menjadi hamba Allah yang dikasihi-Nya dengan mentaati segala perintah dan menjauhi larangan-Nya.

Selain itu, kita hendaklah sentiasa beristighfar dan berdoa kepada Allah semoga kita sentiasa mendapat pengampunan, perlindungan, berkat dan rahmat daripada-Nya.

sumber: myMetro Online

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...