14.10.11

Pertubuhan Alam Sekitar Dunia cadangan Malaysia


Banyak isu alam sekitar yang saban hari semakin meningkat yang boleh menjejaskan kualiti hidup kita di dunia yang indah dan mewah yang Allah SWT ciptankan untuk makhluk-Nya.
Namun dalam mengejar kemodenan dan kemajuan duniawi manusia alpa tentang tanggungjawab terhadap dunia yang semakin hari semakin tercemar.

Pemusnahan lapisan ozon semakin serius, sungai-sungai yang menjadi tempat buangan sisa-sisa manusia, hutan yang semakin kurang, udara yang semakin kotor dan air bersih yang semakin tercemar semakin hari menghimpit kehidupan manusia itu sendiri.

Oleh itu memang eloklah Pertubuhan Alam Sekitar Sedunia ditubuhkan sebagaimana yang disyorkan oleh kerajaan kita kepada PBB.

Namun yang penting ialah kesedaran manusia itu sendiri tentang kepentingan menjaga alam sekitar ibarat kita menjaga diri kita sendiri.


Malaysia cadang tubuh Pertubuhan Alam Sekitar Sedunia

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Malaysia hari ini mengemukakan cadangan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menubuhkan Pertubuhan Alam Sekitar Sedunia (WEO) bagi menangani cabaran isu alam sekitar global yang mapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan mewujudkan badan alam sekitar itu perlu melalui proses perundingan dan pemudahcara bagi membantu negara-negara terlibat memenuhi komitmen daripada hasil perjanjian bersama tersebut.

Beliau yakin, badan seperti WEO boleh membantu penyertaan negara membangun menyelesaikan isu alam sekitar dengan lebih realistik berbanding sistem pengurusan negara sendiri menerusi ratusan perjanjian alam sekitar (MEA) yang diamalkan sejak bertahun dahulu.

''Mustahil untuk negara membangun mengambil bahagian secara sendiri. Negara yang boleh menampung sistem berkenaan hanyalah yang kaya, sementara negara yang membangun dinafikan haknya.

''Hanya melalui penambahbaikan besar sistem urus tadbir membolehkan dunia memacu usaha global menangani cabaran alam sekitar yang mapan,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian mesyuarat persediaan pertama Kongres Sedunia: Keadilan, Urus Tadbir dan Undang-Undang Kelestarian Alam Sekitar di sini hari ini.

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Najib melihat mesyuarat persediaan hari ini penting kerana ia memberi peluang kepada peserta menyampaikan mesej untuk bergerak ke pelbagai peringkat urus tadbir alam sekitar antarabangsa dengan membawa perspektif baru untuk dibahaskan ketika Kongres Sedunia nanti.

Perdana Menteri berkata, kongres yang akan berlangsung di Brazil bermula 4 hingga 6 Jun tahun depan itu bakal memberi peluang kepada semua pihak meneliti norma dan prinsip keadilan, urus tadbir, undang-undang kemapanan alam sekitar serta yang berkaitan.

''Kongres Sedunia merupakan peluang unik untuk dilibatkan di perbahasan mengenai urus tadbir kongres Rio+20 Kemampanan dan Pembangunan dan menjadi peserta aktif terutama untuk negara membangun,'' kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Undang-Undang Alam Sekitar dan Konvensyen Program Alam Sekitar PBB, Bakary Kanter memuji cadangan Perdana Menteri itu yang disifatkannya sebagai langkah besar untuk membantu alam sekitar global.

''Ini pertama kali seorang pemimpin menyatakan hasrat berhubung WEA dan kesungguhan beliau menunjukkan bahawa beliau menyedari kepentingan alam sekitar di masa depan. Kami di PBB amat menghargai pandangan Perdana Menteri itu,'' katanya.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...