27.11.11

Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menasihati semua rakyat negara ini agar sentiasa mengamalkan kesederhanaan sosial


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun 1433H/2011M, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika hadir pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, sebentar tadi. - Foto Afendi Mohamed

Agong nasihat rakyat amalkan kesederhanaan sosial
2011/11/27

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menasihati semua rakyat negara ini agar sentiasa mengamalkan kesederhanaan sosial dalam setiap amalan mereka.

Baginda bertitah, kesederhaaan sosial dalam pelaksanaan sesuatu perkara secara berhemah, tidak bertindak secara melulu dan tidak pula menzalimi orang lain.

"Rakyat tidak sepatutnya memperbesarkan perselisihan yang kecil sebaliknya menyelesaikannya dengan cara yang terbaik," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah 1433 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku, Nur Zahirah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga hadir pada majlis sambutan itu yang bertemakan "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah".

Seri Paduka Baginda juga bimbang dengan keadaan sosialisasi masyarakat negara ini yang semakin menebal dengan sifat individualistik walaupun berpuas hati dengan pencapaian ekonomi negara yang berkembang pesat seiring dengan negara-negara sedang membangun.

Tuanku Mizan mahukan sifat mulia seperti sayang menyayangi dan saling hormat-menghormati dipupuk dan diamalkan dari rumah bagi membentuk sebuah masyarakat penyayang, persefahaman yang tinggi, bersatu padu dan mementingkan sifat kekitaan.

"Beta amat berharap agar semangat kejiranan dan sifat kekitaan akan subur semula supaya rakyat di negara ini menjalani kehidupan harian dengan lebih harmoni dan berkasih sayang," titah Seri Paduka.
Tuanku Mizan juga menasihatkan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza agama, adat, budaya dan cara hidup supaya saling memahami keperluan dan menghormati perbezaan antara satu sama lain.

Justeru, Seri Paduka mahukan umat Islam menjadi contoh terbaik dalam mengaplikasikan konsep sebenar persefahaman tanpa mengira kedudukan dan latar belakang.

Menurut baginda hanya dengan persefahaman dan menghormati antara satu sama lain, negara mampu membentuk masyarakat yang bersatu padu.

"Kita harus tahu dan sedar bahawa keamanan negara amat berkait rapat dengan perpaduan ummah. Tidak mungkin masyarakat yang kacau bilau mampu mengekalkan keamaman sesebuah negara," titah baginda.

Tuan Mizan turut mahukan keharmonian yang dikecapi dan dinikmati sekarang diwarisi oleh generasi akan datang.

Pada majlis itu, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1433H.

Dr Abdul Shukor, 69 menerima hadiah wang tunai RM100,000 yang disumbangkan oleh kerajaan manakala RM10,000 lagi oleh Yayasan Ubaidi. 

- BERNAMA

1 comment:

Mohamadazhan.com said...

hidup sederhana dalam segala hal supaya manusia tidak leka dengan dunia yang sentiasa menipu =)

salam maal hijrah tuan =)

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...