3.12.11

10 langkah capai mujahadah dalam kehidupan seharian



Kukuhkan niat hadapi tahun baru
Oleh Sharifah Hayaati
bhnews@bharian.com.my
2011/12/03
ALHAMDULILLAH, dengan kalimah tahmid kita panjatkan kepada Yang Maha Esa kerana memberi peluang dan memakbulkan doa untuk bertemu serta meneruskan perjuangan kehidupan bersama tekad di tahun baru 1433 hijrah.

Apabila menyedari sudah berada di lembaran baru dalam catatan diari hijrah ini, ada kala kita terasa ibarat dikejutkan daripada tidur yang lena. Begitulah pantasnya masa setahun berlalu meninggalkan kita. Masih teringat cita-cita tahun lalu yang tidak dapat ditunaikan sebahagian atau kesemuanya.

Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad dan niat. - Hadis riwayat Abu Daud dan TirmiziPada ketika ini, timbullah sesalan sedangkan masa telah berlalu meninggalkan kita. Pepatah Melayu menyebut, ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.’ Kedatangan tahun baru bukan untuk dikesali tetapi diinsafi dan membangkitkan semangat mengorak langkah lebih bererti.

Kisah Abu Darda’, menanam pohon kurma walaupun sudah lanjut tuanya boleh dijadikan iktibar tekad dan usaha strategik. Apabila ditanya kepadanya: “Kamu menanamnya sedangkan kamu telah berusia dan ia mengambil masa bertahun untuk berbuah? Abu Darda’ menjawab: Apa salahnya jika dengan menanamnya aku mendapat pahala dan orang lain mendapat buahnya?”

Usaha Abu Darda’ diteruskan dengan strategi untuk memberi faedah kepada yang lain dan beroleh pahala walaupun dia menyedari berkemungkinan tidak sempat menjamah buah kurma itu.

Itulah yang dimaksudkan Baginda SAW mengenai dua strategi utama selepas hijrah dalam sabda yang bermaksud: “Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad dan niat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Niat adalah matlamat yang jelas dan ikhlas. Manakala jihad menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab adalah usaha gigih dan bersungguh-sungguh. Daripada perkataan jihad juga lahir mujahadah atau bekerja secara strategik untuk memastikan yang susah menjadi mudah, berat menjadi ringan, lambat menjadi cepat, mustahil menjadi realiti.

Seperti mana Rasulullah SAW mengatur langkah hijrah Baginda dan sahabat sehingga berjaya di Madinah. Ia diatur dengan penuh bijaksana supaya matlamat yang murni dicapai dengan cara selamat dan betul.

Antaranya menghantar Mas’ab bin Amir sebagai utusan ke Madinah, berada dalam Gua Tsur dan membentuk janji taat setia dengan wakil Madinah melalui Perjanjian Aqabah.

Begitulah kita dalam merealisasikan hijrah tahun baru, memerlukan strategi atau gerak kerja yang tersusun rapi dengan mengambil kira pelbagai kepentingan, keperluan, kehendak dan kesesuaian semasa.

Tindakan strategik membolehkan kita bertahan apabila berdepan kemungkinan sama ada persaingan atau kekangan yang boleh menggagalkan pencapaian tekad.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) Dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Justeru, dalam mujahadah melunaskan tekad dan azam pada tahun ini, beberapa strategi pentadbiran boleh dijadikan panduan. Pertama, tentukan niat atau matlamat yang jelas dan mampu untuk dicapai dalam tempoh setahun ini.

Bagi tujuan itu, kita boleh mewujudkan senarai semak matlamat dan tugas harian. Ia ibarat menyediakan ‘Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja’ bagi diri sendiri.
Kedua, utamakan tindakan berdasarkan keutamaan yang ditentukan mengikut status kerja seperti mengutamakan yang penting atau mendesak keperluannya, diikuti yang lebih mudah atau segera.

Ketiga, utamakan kerja secara berjemaah. Keempat, utamakan kerja yang telah ditetapkan tempohnya. Kelima, wujudkan sistem untuk mengemas kini, memantau perkembangan dan pencapaian tugasan dari masa ke semasa.

Keenam, kerjakan ia secara berterusan walaupun sedikit untuk mengelakkan momentum kerja menurun, terlupa atau terbengkalai. Ketujuh, mendapatkan sokongan dan galakan dari keluarga, rakan dan pekerja.

Kelapan, beri masa untuk berehat walaupun hanya dengan secawan minuman panas, berjalan daripada meja sendiri untuk melihat suasana lain atau beriadah walaupun seketika kerana ia mampu mengembalikan mood positif, semangat dan kesegaran fizikal.

Kesembilan, meraikan pencapaian yang diperoleh bersama-sama dan kesepuluh, mengekalkan ibadat dan munajat kepada Allah SWT untuk meraih keberkatan.

Langkah beribu ke hadapan bermula dari langkah pertama. Justeru, mari kita bermujahadah dengan mengorak langkah berusaha secara strategik untuk merealisasikan tekad tahun baru supaya manfaatnya dirasai bersama.

Seperti mana kata-kata Nabi Syuaib: “Aku tidak bermaksud kecuali untuk mendatangkan kebaikan selama aku masih berkesanggupan.” (Surah Hud, ayat 88)

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

sumber: Berita Harian Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...