21.12.11

Pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD)


1MDB tawar tender bangunkan KLIFD
Oleh Mahanum Abdul Aziz
mahanum@bharian.com.my
2011/12/21




GAMBARAN ilustrasi KLIFD.Syarikat digalak tubuh konsortium, usaha sama majukan daerah kewangan RM25b



1MALAYSIA Development Bhd (1MDB) sudah memulakan proses tender bagi kerja asas utama pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) yang disasarkan bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor perkhidmatan kewangan serantau.

Syarikat milik penuh kerajaan itu mempelawa kontraktor tempatan dan antarabangsa untuk menyertai tender prakelayakan membabitkan pembinaan dan penyiapan kerja tanah dan penggalian, mengekalkan struktur, pemasangan cerucuk dan kerja substruktur berkaitan bagi projek berkenaan.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) 1MDB Real Estate Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib, berkata pihaknya menggalakkan penyertaan syarikat besar dan kecil dalam tender pra kelayakan itu.

Beliau berkata, syarikat besar dan kecil itu boleh menyertai proses tender prakelayakan berkenaan menerusi penubuhan konsortium atau secara usaha sama.

“Dalam usaha menggalakkan gabungan kepakaran tempatan dan global serta pemindahan teknologi, usaha sama boleh diadakan antara syarikat tempatan dan syarikat antarabangsa dengan operasinya diperbadankan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Notis tender prakelayakan itu telah diiklankan 1MDB di semua akhbar tempatan pada 8 Disember lalu dan akan ditutup pada 6 Januari. Ia juga boleh didapati di laman web 1MDB www.1mdb.com.my.
Proses menyenarai pendek dan jemputan untuk mengemukakan tender muktamad dijadualkan selesai pada pertengahan Februari 2012.

Azmar berkata, kerja asas utama projek KLIFD itu mungkin antara kerja tanah terbesar kerana ia akan meliputi kawasan bersaiz 20 padang bola (kira-kira 12 hektar) dan kerja penggalian sedalam kira-kira 20 meter.

Kerja lain termasuk pembersihan tapak, pengorekan tanah, penggalian batu-batu dan lapisan penyaliran, jelasnya.

“Ketika ini kami dalam pelbagai aktiviti menjelang bermulanya kerja pembinaan KLIFD pada suku pertama tahun depan. Dalam proses itu, kami juga mewujudkan dan meningkatkan nilai tapaknya,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, 1MDB juga mengambil langkah dalam merancang pengurusan alam sekitar bagi mengurangkan kesan terhadap kawasan sekitarnya.

“Sebagai pemaju induk KLIFD, kami sentiasa sedar tanggungjawab kami kepada masyarakat. Kami juga mendapatkan bimbingan dan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta mengambil langkah proaktif mengemukakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) secara sukarela,” katanya.

Azmar berkata, 1MDB juga sedang membangunkan Pelan Induk Digital bagi daerah kewangan pintar digital dengan sambungan termoden.

Pelan induk itu, katanya akan digunakan untuk membangunkan penyelesaian yang mapan menerusi perkhidmatan prasarana dan teknologi internet baru.

Projek KLIFD bernilai kira-kira RM25 bilion itu dirancang dibangunkan secara berperingkat di tapak seluas 30.35 hektar di kawasan Imbi berhadapan Jalan Tun Razak.

Pembangunan daerah itu bertujuan menarik kehadiran institusi kewangan terkemuka beroperasi di negara ini.

sumber : Berita Harian online  

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...