11.12.11

Tumpuan khusus kepada industri nanoteknologi

Pakar nanoteknologi ditambah
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my





Bidang pertanian antara yang bakal mendapat suntikan baru menerusi penyelidikan nanoteknologi.



DUNIA kini memberi tumpuan khusus kepada industri nanoteknologi yang mana sektor tersebut mampu memberikan impak positif yang ketara dalam kehidupan manusia.

Malaysia juga telah mengorak langkah bergerak selari dengan perkembangan industri tersebut.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengenalpasti nanoteknologi sebagai jentera pertumbuhan kepada Model Baru Ekonomi.

“Misi kerajaan adalah menjadikan nanoteknologi sebagai platform pembangunan sains, teknologi industri dan ekonomi negara.

“Malah kerajaan turut menyedari bahawa nanoteknologi memainkan peranan penting dalam membangunkan sektor industri negara,” katanya ketika berucap dalam majlis Persidangan dan Ekspo NanoMalaysia 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas, dengan kemajuan dan perkembangan yang telah bermula dalam banyak bidang penyelidikan bersama kesan ketara dalam kehidupan harian, agak sukar bagi negara menolak potensi dan manfaat teknologi tersebut.

Namun, teknologi tersebut perlu dibangunkan berdasarkan panduan dan kawalan agar ia tidak menyebabkan sebarang kemusnahan atau mendatangkan bahaya.

Bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam membangunkan teknologi tersebut, sebuah badan yang dikenali sebagai Penubuhan Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND) telah diluluskan oleh kabinet pada 2010.

Berbekalkan dana sebanyak RM2.63 juta, NND mula beroperasi di bawah MOSTI untuk melaksanakan inisiatif nanoteknologi.

NND berfungsi sebagai pemacu inisiatif nanoteknologi kebangsaan, merangka strategi, menyelaras aktiviti kajian dan pembangunan (R&D).

Selain itu, ia juga bertanggungjawab mengukuhkan pusat penyelidikan nanoteknologi sedia ada dengan penyokong kemudahan penyelidikan yang terkini.

Seterusnya meningkatkan pembangunan modal insan dalam nanosains dan teknologi sekali gus mewujudkan rangkaian bersama pihak industri.

Malah, kerajaan turut menyediakan cadangan program NanoMalaysia dengan menjadikan nanoteknologi sebagai suatu bidang ilmu pengetahuan yang inovatif dan bersepadu.

Antara lain adalah merangka hala tuju dan melaksanakan strategi serta memantau program dan aktiviti dalam pembangunan, pengkomersialan dan pengindustrian nanoteknologi di Malaysia.

Selain itu, kerajaan turut terus merancakkan aktiviti-aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan (R&D&C) dalam bidang nanoteknologi di negara ini.

Melalui segala program yang telah dirancang, dijangkakan dapat menghasilkan output yang positif terhadap perkembangan negara.

Ia termasuk dalam Pembentukan Dasar Nanoteknologi Kebangsaan, Kerangka Pengindustrian dan Pengkomersialan Nanoteknologi dan Teknologi Road Map Nanoteknologi Negara bagi tahun 2011 hingga 2020.

Program tersebut bakal meningkatkan modal insan (RSE) terlatih dengan kemahiran tinggi dalam bidang sains dan teknologi.

Dijangkakan penambahan tersebut melibatkan penambahan graduan PhD dalam bidang nanoteknologi kepada 250 orang pada tahun 2015.

Malah, pembangunan dan pengembangan teknologi tersebut juga pasti meningkatkan peluang kerjaya berkemahiran tinggi.

Ia juga mampu mengkomersialkan produk tempatan yang berpotensi tinggi seperti aerogel, tiub nano karbon dan nanocatalyst yang mana seratus peratus buatan negara bermula pada tahun 2012 dan 2013.

Penjanaan sektor ini dijangka memberikan pulangan RM100 juta hingga 150 juta dalam masa dua tahun tersebut dan RM300 juta pada tahun 2015.

Namun, di sebalik segala rancangan pengembangan teknologi tersebut, tidak ketinggalan penekanan yang perlu dilakukan dalam bidang akademik.

Pembudayaan dan pendidikan nanoteknologi dalam masyarakat negara ini perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kerajaan juga turut menyediakan Pelan Tindakan Program NanoMalaysia dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

Antaranya menaik taraf infrastruktur pusat kecemerlangan nanoteknologi sedia ada, merangka dan melaksanakan program.

Ia bagi membolehkan kemudahan dipusat kecemerlangan dibuka kepada universiti, institusi penyelidikan, usahawan teknologi dan penggiat industri.

Selain itu, kerajaan sedang giat menubuhkan Pusat NanoMalaysia dan NanoMalaysia Berhad (NanoMy) bagi aktiviti pengkomersialan dan penembusan pasaran bagi produk nanoteknologi Malaysia.

Jelas, nanoteknologi merupakan teknologi abad ke 21 yang mampu memberi kesan positif terhadap sosio ekonomi di peringkat tempatan mahupun global.

Justeru, pembangunan nanoteknologi di Malaysia perlu diberi perhatian dan diselaras bagi mendokong agenda kebangsaan.

Sektor tersebut bakal memberi sumbangan positif kepada negara dalam merancakkan lagi suasana ekonomi serta memacu Malaysia ke arah sebuah negara yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

- artikel sepenuhnya dari Utusan Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...