13.1.12

Mahkamah kita masih berdaulat dan bebas





Bukti mahkamah bebas





Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID
PENULIS ialah Penolong Pengarah di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan




Keputusan perbicaraan kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 telah pun diketahui.

Mahkamah Tinggi memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebaskan dan dilepaskan. Dalam membuat keputusan yang mengejutkan ramai pihak itu, Hakim Mohamad Zabidin membuat kesimpulan kedua-dua bukti, iaitu DNA dan oral-lisan tidak boleh mensabitkan kesalahan.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu jelas membuktikan bahawa mahkamah di negara ini tidak dipengaruhi oleh tekanan politik atau berada di bawah telunjuk kerajaan.

Mahkamah kita masih berdaulat dan bebas. Persepsi buruk yang dicipta pembangkang yang menuduh sistem kehakiman kita korup adalah satu tuduhan yang bermotif politik semata-mata.

Hakikatnya, merekalah yang sebenarnya telah mempolitikkan sistem keadilan di negara ini. Mereka membawa sistem keadilan negara ke jalan raya dengan memomokkan slogan 'rakyat hakim negara'. Ia persis slogan para revolusioner yang mahu berkuasa secara kekerasan dengan mengheret rakyat ke jalan raya bagi menjatuhkan kerajaan.

Pertuduhan liwatnya telah dipolitikkan dengan memberikan imej buruk kepada sistem kehakiman di negara ini. Ternyata dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah itu telah menafikan segala tuduhan karut marut pihak pembangkang itu.

Keputusan membebaskan Anwar juga membuktikan bahawa tuduhan konspirasi politik adalah tidak benar sama sekali. Sepatutnya selepas dibebaskan Anwar wajar memohon maaf kepada rakyat kerana mempolitikkan sistem keadilan di negara ini.

Namun, penulis yakin sekiranya keputusan mahkamah mendapati Anwar bersalah maka kecaman dan kritikan yang lebih buruk akan dihamburkan terhadap sistem kehakiman kita. Hakim akan dituduh "hakim neraka" dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula pasti akan dikutuk sebagai orang yang mempengaruhi keputusan mahkamah.

Yang pasti, mahkamah telah menjalankan peranannya untuk memberikan keadilan kepada kes terbabit.

Sama ada seseorang itu didapati bersalah atau sebaliknya maka itu adalah hasil daripada proses keadilan yang ditegakkan melalui prosiding mahkamah. Mahkamah dalam pengadilannya akan meneliti segala penghujahan pendakwa dan peguam bela, bahan bukti, keterangan saksi dan termasuk juga keterangan pakar.

Penyokong Anwar juga tidak dinafikan hak untuk berhimpun bagi menunjukkan sokongan terhadap pemimpin pujaan mereka. Pihak polis telah memberikan ruang untuk penyokong Anwar berkumpul di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Namun, para penyokong Anwar yang hadir masih membawa sepanduk sedangkan salah satu syarat yang ditetapkan oleh polis semasa berhimpun adalah tidak boleh membawa dan mempamerkan sebarang sepanduk atau banner.

Sebenarnya, kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang menyatakan perhimpunan 'Bebas Anwar 901' tidak terikat dengan larangan polis adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab sama sekali.

Tidak mungkin polis sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan awam tidak mengenakan apa-apa syarat terhadap perhimpunan terbabit.

Jika mereka tidak terikat kepada apa-apa syarat bermakna apa-apa sahaja mereka boleh lakukan termasuk berarak ke jalan raya (demonstrasi jalanan) sebaik sahaja keputusan Mahkamah Tinggi diketahui, apatah lagi sekiranya keputusan itu tidak memihak kepada mereka.

Hakikatnya, kesemua syarat-syarat yang ditetapkan polis itu adalah wajar dan munasabah. Ia tidak bercanggah sama sekali dengan hak asasi manusia.

Sepatutnya pemimpin Pakatan Rakyat yang sangat mengagungkan hak asasi manusia sedar bahawa di dalam Piagam Hak Asasi Manusia Sejagat (HAM 1948) juga ada menggariskan bahawa setiap orang hendaklah dikenakan had yang ditentukan undang-undang bagi tujuan menegakkan dan mengiktiraf hak dan kebebasan orang lain serta memenuhi keperluan sah untuk akhlak (moral), ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam sesebuah masyarakat demokrasi. Ini disebut dalam Artikel 29(2) piagam terbabit.

Yang nyata, piagam hak asasi itu turut menekankan kepentingan hak kolektif atau hak komuniti juga perlu diambil kira. Justeru, keegoan Azmin untuk tidak mahu terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan polis itu boleh dianggap sebagai satu provokasi awal terhadap pihak berkuasa.

Kedegilan seperti ini adalah manifestasi semangat "Khawarij" yang bersifat degil dan enggan mentaati pemerintah yang sah. Yang diutamakan mereka ialah nafsu dan agenda politik mereka.

sumber: Utusan

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...