22.1.12

Tahun Naga, memberikan rezeki yang melimpah ruah

Bawa rezeki melimpah ruah







TANGLUNG merah dalam pelbagai saiz dan bentuk semakin banyak digantung di rumah-rumah, gedung beli-belah dan pejabat-pejabat di sekitar Lembah Klang.

Semua itu menandakan rakyat Malaysia bersiap untuk meraikan satu lagi perayaan utama di negara ini iaitu Tahun Baru Cina atau Gong Xi Fa Chai.

Tahun ini ialah Tahun Naga Air iaitu haiwan kelima daripada 12 haiwan dalam zodiak Cina dan akan lahir pada 23 Januari. Naga itu merupakan lambang tersohor dalam mengecapi kejayaan dan kebahagiaan.

Masyarakat Cina percaya, tahun baharu ini akan membawa rezeki yang melimpah ruah kepada mereka yang dilahirkan pada Tahun Naga.

Individu yang dilahirkan pada Tahun Naga dipercayai akan mempunyai ciri-ciri positif, keusahawanan, artistik, inovatif, berkuasa, bertuah, bersemangat, intuitif, dan sifat negatifnya ialah angkuh dan cepat marah.

Seperti yang dipercayai oleh masyarakat Cina sejak turun-temurun, selain tanglung merah, warna merah juga harus menjadi tema hidup.

Bermula pada malam sebelum Tahun Baru Cina sehingga Chap Goh Mei, iaitu selama 15 hari ia dapat memberi jaminan tuah sepanjang tahun.

Dahulu, tanglung diperbuat daripada kertas merah nipis. Kemudian muncul tanglung yang diperbuat daripada kertas merah yang lebih tebal, dalam bentuk sfera atau memanjang serta menirus di hujung bawahnya.

Hari ini, terdapat tanglung yang diperbuat daripada kain corak bunga atau menggunakan kain broked tetapi masih warna merah.

"Menggantung tanglung di anjung hadapan rumah menjadi tradisi sejak zaman dahulu lagi. Saya telah menjualnya selama bertahun-tahun.

"Tanglung baharu diperbuat daripada kain broked merah nampak lebih mewah dan cantik. Anda boleh membeli sepasang pada harga RM78. Ia datang dalam pelbagai saiz iaitu sederhana dan besar serta dijual pada harga lebih RM30 sepasang khususnya yang berkualiti," kata pemilik bersama sebuah kedai kraf di SS14, Subang Jaya, Selangor, Susan Lim.

Lazimnya, menurut Lim, jualan aksesori Tahun Baru Cina termasuk bunga mei hua iaitu dahan pokok plum yang mekar yang kebanyakannya warna merah dan merah muda, reben satin merah dan tanglung, meningkat secara mendadak dua minggu sebelum ketibaan Gong Xi Fa Cai.

"Saya perlu menghias kedai lebih awal supaya dapat mempromosi elemen-elemen yang ada bagi menarik perhatian pelanggan saya. Para pelanggan boleh memilih barang hiasan mengikut kemampuan mereka," jelas Lim.

"Guna lebih banyak pakaian merah pada tahun naga. Bagi muda-mudi hari ini yang tidak berminat dengan warna merah, gunakan warna bertuah ini dalam bentuk pelengkap, seperti aksesori tali pinggang pada pakaian Tahun Baru," kata Eric Leong, pereka bentuk dalaman selebriti dan duta Dulux Colour baru-baru ini.

Bunga plum

Sementara itu, bunga juga mempunyai lambang tersendiri semasa tahun baharu. Mei hua dijual pada harga RM38 bagi sejambak kecil yang tingginya lebih sedikit daripada 1.5 meter.




SEKUMPULAN penari tradisional Cina mempersembahkan tarian khas untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina.


Bunga plum buatan ini dijual dalam bentuk tangkai dengan setiap tangkai mempunyai bunga berwarna merah, merah muda atau putih dijual pada harga RM4, sementara tangkai yang lebih besar dijual pada harga sekitar RM12.

"Pastikan terdapat banyak bunga pada hari sebelum Tahun Baru Cina, sebelum majlis makan malam keluarga. Apabila anda mempunyai rezeki yang banyak, anda akan tunjukkan dengan lebih banyak, ia satu petanda baik. Harapan untuk menyaksikan lebih banyak tuah sepanjang tahun meningkat lagi. Itulah kepercayaan moyang kami," kata Leong.

Apakah keistimewaan bunga ini? "Mei Hua merupakan bunga yang tahan lasak, ia tahan pada cuaca yang sejuk. Menyimpannya dalam rumah sebagai hiasan dikatakan dapat memberikan daya tahan kepada isi rumah," jelas Lim.

Seorang penjual barangan tangkal azimat di USJ11, Subang Jaya yang enggan namanya disiarkan berkata, poster gambar naga boleh didapati dalam dua saiz iaitu sederhana dan besar.

"Masing-masing dijual pada harga RM3 dan RM5. Menampalnya di permukaan luar pintu dikatakan akan membawa kesejahteraan kepada mereka yang tinggal di dalamnya.

"Saiz yang besar sesuai diletakkan di pintu hadapan sementara yang sederhana boleh ditampal di dalam," jelas peniaga ini sementara menunjukkan dua paket tangkal dalam saiz berlainan kepada seorang pelanggan wanita.

Terdapat juga pembeli tangkal-tangkal ini yang tidak percaya dengan amalan ini tetapi membelinya untuk menghiburkan anak-anak muda mereka kerana ia menceriakan lagi mood sambutan.

Makan malam

"Saya menampal tangkal-tangkal ini bagi tujuan hiasan sahaja. Ia membawa kegembiraan terutama apabila anda mempunyai anak-anak muda di rumah," kata Joanne Tan.

Menyambut kedatangan tuah bagi Tahun Baharu lazimnya bermula dua minggu sebelum kalendar baharu bermula dan seperti biasa Yee Sang (gaul untuk kemakmuran) iaitu menggaul campuran ikan mentah dan sayur-sayuran dalam pelbagai warna yang melambangkan kemewahan dan kesejahteraan.

Ia lazimnya diadakan oleh syarikat-syarikat korporat bagi petugas dan rakan, bukan sahaja untuk menjalin hubungan yang lebih baik, tetapi juga bagi menjamin produktiviti lebih besar untuk Tahun Naga 2012.

"Selain majlis makan malam keluarga dengan Yee Sang, saya juga membeli barangan makanan kering untuk dihadiahkan kepada warga emas, supaya ia boleh digunakan oleh mereka pada majlis makan malam sebelum Tahun Baharu.

"Saya juga membeli cendawan, kekapis dan tiram dan menghantarnya dalam kotak bersama paket merah (angpau) di atasnya,'' jelas Madam Lim, usia lewat 50-an semasa ditemui pada satu majlis jamuan Yee Sang baru-baru ini.




MEREKA yang menyimpan mei hua di dalam rumah boleh meningkatkan daya tahan kepada penghuninya.


Sementara itu, kepada Ngan Chea Khong, 62, dan isterinya, Tan Chu Chu, 53, dari Baling, Kedah yang mengusahakan nien kao atau juga dikenali sebagai kuih bakul menggunakan dua tungku kayu api untuk mengukus manisan yang diperbuat daripada tepung pulut itu bagi mengekalkan keaslian rasanya.

"Untuk mendapatkan kuih bakul yang berwarna kuning keemasan, ia perlu dikukus pada api yang sederhana selama 24 jam," katanya yang masih menggunakan daun pisang untuk mengekalkan aroma kuih tersebut.

Meskipun harga kuih bakul meningkat sejak beberapa tahun lalu hingga mencecah RM15 sekilogram, masyarakat Cina merasakan ia salah satu hidangan wajib untuk sambutan Tahun Baru Cina.

Ngan, menerima tempahan kuih bakul sejak dua bulan lalu. - Bernama

artikel dan gambar : Kosmo! Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...