28.3.12

Gred perkhidmatan penjawat awam patut disemak



Cuepacs mahu gred perkhidmatan turut disemak
28/03/2012 7:08pm



SHAH ALAM 28 Mac – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu Suruhanjaya Khas yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia supaya turut menyemak semula gred perkhidmatan awam di semua peringkat.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman hari ini berkata, semakan itu perlu bagi memastikan penjawat awam yang berjumlah 1.4 juta di negara ini akan mendapat manfaat sewajarnya daripada perkhidmatan yang mereka sumbangkan.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya pada 8 Mac lepas dan semasa acara itu Najib turut mengumumkan pembatalan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam dan pelaksanaan semula Skim Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Sambil menyambut baik penubuhan suruhanjaya khas berkenaan, Omar berkata, pihaknya telah mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan menerusi jawatankuasa bertindak yang diwujudkan Cuepacs sebelum ini untuk dibawa serta dibincangkan di peringkat suruhanjaya khas berkenaan.

Omar berkata demikian kepada para pemberita selepas menghadiri program Rapat 1Malaysia bersama Kesatuan Kakitangan Umum Universiti Teknologi Mara (KKUUiTM) di sini. - BERNAMA

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...