Iklan Nuff

5.4.12

Kebijaksanaan Rasulullah menawan Kota Khaibar

Strategi Rasulullah menawan Kota Khaibar
Susunan SITI AINIZA KAMSARI






Kota Khaibar terkenal kerana mempunyai sistem perbandaran yang terancang, lengkap dengan kubu-kubu pertahanan yang sangat hebat.



PERANG Khaibar tidak meletus di medan pertempuran yang menyaksikan kedua-dua belah pihak bermusuh saling menyerang antara satu sama lain.

Tetapi ia memerlukan pasukan tentera Islam menghampiri Kota Khaibar. Sebab itu keadaannya lebih sukar kerana mereka dihalang oleh sebuah kota yang kelilingnya terdapat benteng dan tembok yang kuat lagi kukuh.

Sebelum itu, dikatakan nama Khaibar diambil daripada nama pasangan adik-beradik Yahudi, iaitu Khaibar dan Yathrib yang melarikan diri ke Tanah Arab apabila penempatan Yahudi di Kanaan (Palestin) menjadi mangsa serangan dan ditakluk oleh sebuah kuasa besar, iaitu kerajaan Rom.

Sejak itu, Kota Khaibar terkenal kerana mempunyai sistem perbandaran yang terancang lengkap dengan kubu-kubu pertahanan yang sangat hebat.

Ia tidak sahaja dijadikan benteng menahan serangan musuh tetapi lengkap dengan tempat-tempat penyimpanan senjata, makanan dan perlindungan untuk orang awam.

Ia juga menjadi lokasi strategik bagi melancarkan serangan panah ke arah musuh yang cuba menghampiri kubu-kubu yang ada di dalam Kota Khaibar itu.

Stor penyimpanan makanan itu pula dikatakan dapat menampung keperluan penghuninya sehingga setahun terkepung dek pihak musuh.

Kawasan tanah mereka pula penuh dengan ladang-ladang gandum yang subur dan kebun-kebun yang mengandungi beribu-ribu pohon tamar.

Begitu banyak pohon tamar itu sehinggakan dikatakan baginda terpaksa menebang hampir 400 batang pohon tamar yang ditanam di hadapan kubu berhampiran pintu masuk ke Kubu Nai'im dalam Kota Khaibar.

Tindakan tersebut diambil selepas lebih dari lima hari mengepung kubu tersebut tetapi tidak tanda-tanda Yahudi Khaibar akan menyerah kalah.

Oleh kerana pohon tamar memberi makna yang besar kepada penduduk Khaibar, tindakan menebang bertujuan melemahkan semangat penduduk Yahudi apabila melihat pohon tamar kesayangan mereka yang sedang berbuah lebat dan masak ranum dan hanya menunggu masa untuk dipetik ditebang dan dimusnahkan.

Sebaik sahaja tentera Islam berada tidak jauh dari Kota Khaibar, Rasulullah tidak terus melulu melakukan serangan mengenangkan bukan mudah untuk merempuh dan menyerang masuk ke dalam kota.

Baginda terpaksa menunggu di luar kota dan mengadakan sekatan dan kepungan bagi memutuskan hubungan Khaibar dengan dunia luar.

Kali ini bantuan daripada tentera dari Arab Bani Ghatafan juga hanya tinggal separuh jalan apabila mereka memilih untuk pulang ke perkampungan mereka bagi memetik buah-buah tamar yang telah masak.

Penduduk Khaibar juga keluar beramai-ramai memetik buah-buah tamar mereka yang sedang masak ranum setelah menyangka tentera Islam tidak akan berani mendekati kota mereka.

Tetapi sebaik sahaja mereka berjalan menuju ke kebun-kebun tamar itu, alangkah terkejutnya penduduk Khaibar apabila mendapati tentera Islam rupa-rupanya sedang mara menuju ke arah mereka.

Apa lagi, keadaan terus bertukar menjadi huru hara dengan para petani Khaibar itu bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri sambil jeritan demi jeritan kedengaran memberitahu mengenai kehadiran tentera Islam.

"Muhamad dan pasukannya telah datang untuk menyerang kita! Islam datang menyerang! Mereka hendak menyerang Khaibar!

"Cepat, selamatkan diri masing-masing! Selamatkan diri semua! Cepat, lari! Lari! Segera masuk semula ke dalam Kota! Cepat! Cepat!" Teriak mereka.

Mereka dikejar oleh tentera Islam yang juga hendak mengambil kesempatan untuk masuk ke kota yang ketika itu pintu gerbangnya masih terbuka.

Pintu tersebut tidak segera ditutup bagi memberi peluang kepada penduduk Khaibar masuk menyelamatkan diri.

Rupa-rupanya dalam kota tersebut keadaannya berlapis-lapis dengan terdapatnya benteng-benteng dan kubu yang paling besar dikenali sebagai Kubu Nai'im.

Syahid pertama

Semua penduduk Khaibar akhirnya berjaya menyembunyikan diri mereka di dalam kubu tersebut namun mereka terkepung dengan kehadiran tentera Islam yang berjaya masuk ke dalam Kota Khaibar.

Walaupun dikepung, pihak Yahudi tetap mempertahankan diri dan kubu mereka daripada jatuh ke tangan Islam. Mereka terus menghujani tentera Islam dengan serangan anak panah tanpa henti.

Ia dibalas tentera Islam dengan serangan anak panah terhadap tentera Yahudi sehinggalah seorang tentera Islam, Mahmud bin Muslamah bertindak mengutip anak-anak panah daripada pihak musuh untuk diguna semula oleh tentera Islam.

Dengan melindungi dirinya menggunakan topi besi dan baju besi, Mahmud bertindak berani tanpa menghiraukan keselamatan diri. Namun ketika beliau berhenti untuk berehat, sebiji batu besar telah dijatuhkan oleh pihak musuh yang geram dengan perbuatannya mengumpulkan anak-anak panah itu. Mahmud mati akibat ditimpa batu besar itu.

Ini menjadikan Mahmud tentera Islam yang pertama mati syahid dalam Perang Khaibar itu.

Sehingga masuk hari ke enam keadaan semakin runcing dengan kebimbangan bekalan makanan di pihak tentera Islam semakin berkurangan.

Sudahlah usaha mereka memanjat untuk menawan benteng Kubu Nai'im tidak berjaya kerana temboknya yang tinggi dan licin, tentera Islam semakin berada dalam keadaan tertekan.

1 comment:

Anonymous said...

Great information. Lucky me I discovered your blog by chance (stumbleupon).
I have bookmarked it for later!

my web blog: Adf.ly Earnings Booster

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...