Iklan Nuff

17.5.12

Tuntutan kepada PM

     

CUEPACS, MTUC kemuka 4 tuntutan kepada PM
2012/05/17

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengemukakan empat tuntutan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi menjamin kebajikan pekerja di tujuh badan berkanun selepas mereka tamat perkhidmatan kelak.

Empat tuntutan itu - mewujudkan Skim Dana Pencen, memanjangkan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang diberi kepada sektor awam kepada tujuh agensi berkenaan, bayaran saguhati tamat perkhidmatan, dan penambahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syer majikan yang pelaksanaannya berbeza antara agensi-agensi berkenaan - akan dikemukakan kepada Najib dalam tempoh terdekat.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata agensi terbabit ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

"Tujuh agensi ini, dahulu di bawah sektor awam sepenuhnya, tetapi pada 1992, ia diasingkan untuk diurus tadbir secara autonomi atau mutlak.

"Kita memohon kepada kerajaan supaya mengkaji semula pengasingan itu supaya ia tidak ketinggalan dengan sektor awam dan masa depan pekerjanya terjamin selepas tamat perkhidmatan nanti," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Pekerja tujuh agensi berkenaan di Ibu pejabat Perkeso, di sini hari ini.

Omar berkata pihaknya turut berharap kerajaan tidak meminggirkan agensi-agensi itu dalam setiap penambahbaikan terhadap sektor awam.

CUEPACS juga berharap tujuh agensi itu akan mendapat pencen secara berkala, seperti yang telah dipertimbangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), jika ia tidak boleh mendapat pencen sepertimana sektor awam.
Beliau meminta langkah itu, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 120,000 pekerja sokongan, diselesaikan tahun ini setelah dikemukakan kepada kerajaan sejak 2009.

Mengenai nasib kira-kira 35,000 kakitangan kontrak di agensi-agensi kerajaan, Omar berkata Cuepacs meminta kerajaan supaya tidak menamatkan tempoh perkhidmatan mereka sebaliknya ditawarkan penyambungan kontrak jika tiada kekosongan jawatan untuk ditetapkan.

CUEPACS menerima banyak aduan daripada kakitangan kontrak bahawa kontrak mereka tidak disambung dan memohon jasa baik Perdana Menteri untuk menangani perkara itu dengan kadar segera.

Sementara itu, Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan pada sidang media sama berkata pihaknya akan meminta kerajaan mewujudkan satu mekanisme supaya ketujuh-tujuh badan berkanun itu mendapat faedah serupa, sama ada yang diperoleh oleh penjawat awam atau kakitangan swasta dan status mereka juga harus jelas.

Perkara itu masih belum mendapat maklum balas Perdana Menteri setelah ia dikemukakan bulan lalu.

"Kadang-kadang kita lihat faedah yang diperoleh kakitangan kerajaan, tidak semua kakitangan di badan berkanun dapat, dan pada masa yang sama, faedah-faedah yang diperoleh oleh sektor swasta juga mereka tidak dapat," katanya.

Mohd Khalid berkata mereka juga tidak mempunyai saluran untuk membuat aduan jika berlaku pertikaian antara pihak pentadbiran badan berkanun dengan pekerja berbanding penjawat lain. 

- BERNAMA


No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...