Iklan Nuff

25.5.12

Zikir dengan ikhlas



Zikir landasan mohon pertolongan sebenar
Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar ZAINI HUSIN


Khusyuk... jemaah yang hadir bersemangat mengikuti bacaan Zikir Istighasah meskipun semasa latihannya di dalam dewan masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

TERASA bagaikan berada di dataran Masjidil Haram, Mekah, perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi lokasi majlis Istighasah al-Kubra dibanjiri oleh umat Islam dengan berpakaian serba putih.

Masing-masing hadir membawa semangat dan niat yang ikhlas semata-mata untuk mengabdikan diri dan bermunajat kepada Allah SWT.

Meremang bulu roma mendengar kehebatan gema takbir, tahmid, tahlil dan bacaan ayat suci al-Quran yang dialunkan oleh lebih 5,000 umat Islam memuji kebesaran tuhan yang maha esa dan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Perhimpunan zikir besar-besaran yang julung kalinya diadakan di negara ini itu berjaya menghimpunkan umat Islam tidak kira keturunan, ideologi politik, warna kulit dan peringkat umur.

Peserta sanggup melawan nafsu dengan mengorbankan masa rehat, tenaga dan wang ringgit demi menghadiri majlis tersebut yang bermula seawal pukul 4 pagi - waktu ketika orang lain sedang enak dibuai mimpi.

Kelihatan peserta yang hadir bukan sahaja daripada sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, malah daripada seluruh pelosok tanah air untuk menyertai majlis yang penuh keberkatan itu.

Warga emas, kanak-kanak dan golongan kurang upaya turut bersemangat meraikan majlis dan sama-sama memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah.

Penganjuran Istighasah al-Kubra yang dipenuhi dengan pengisian kerohanian termasuk qiamullail, zikir munajat, ceramah dan tazkirah itu memberi peluang kepada orang ramai bermuhasabah diri, menyucikan hati dan memanjatkan hajat kepada Allah.

Di samping itu, ia turut membuktikan amalan Islam merupakan landasan terbaik bagi umat untuk memohon keamanan dan kesejahteraan negara serta menyatupadukan ummah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika ditemui berkata, zikir yang diucapkan dengan hati yang ikhlas untuk mengagungkan Allah dapat menyucikan hati dan boleh mendatangkan banyak kelebihan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram. (Ar-Ra'd : 28)

Menyucikan hati

"Kita digalakkan untuk berzikir mengingati Allah pada setiap masa, bukan sahaja ketika mengikuti program-program yang dianjurkan, tetapi di mana sahaja dalam apa jua keadaan.

"Sebagai contoh, dalam kehidupan seharian, kita banyak melihat kebesaran dan keindahan ciptaan Allah. Maka ucaplah subhanallah, setiap detik kita menghirup udara segar dan mengurniakan kesihatan, ucaplah kalimah syukur, alhamdulillah.

"Zikir yang diucap dengan perasaan yang ikhlas mampu menyucikan hati seseorang daripada sifat yang negatif serta menghapuskan dosa-dosa kecil," katanya ketika ditemui Mega pada majlis itu.

Majlis itu anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir Yang Di-Pertua Yadim, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir; Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali dan bekas Menteri Agama Republik Indonesia, Profesor Dr. Said Agil Husin Al Munawir.

Tambah Harussani, majlis perhimpunan zikir seperti itu juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi semangat ukhuwah silaturahim sesama umat Islam di negara ini yang dilihat semakin luntur.

"Jika kita lihat apa yang terjadi pada masa ini, ramai di kalangan umat Islam berpecah belah dan berlaku perbalahan di sana sini. Ini hanya akan merosakkan kekuatan institusi agama Islam itu sendiri.

"Maka dengan adanya majlis ini secara tidak langsung dapat mengumpulkan seluruh umat Islam tidak kira apa jua fahaman untuk sama-sama bermunajat dan memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya dikurniakan keamanan serta kesejahteraan kepada negara dan rakyat," jelasnya.

Setiap usaha yang dilakukan tidak mungkin akan tercapai jika tidak mendapat keizinan daripada Allah. Dalam ribuan jemaah yang hadir, pasti ada terselit seorang yang doanya diterima oleh Allah.

Menerusi penganjuran program itu diharap mampu mengekalkan keamanan negara dan menambah baik keharmonian rakyat serta negara dalam setiap aspek.

Beliau turut menasihatkan rakyat negara ini terutama umat Islam supaya mengelakkan diri daripada mengikuti atau menganjurkan perhimpunan yang tidak berfaedah dan boleh membawa kebinasaan kepada Malaysia.

"Sebagai umat Islam, kita perlu mengelakkan diri daripada mengikuti perhimpunan yang tidak berfaedah kerana ia hanya perbuatan yang sia-sia dan mendatangkan kemudaratan kepada negara serta orang ramai.

"Sebaliknya kita harus menganjur dan mengikuti perhimpunan yang memberikan kebaikan kepada negara dengan sama-sama memohon pertolongan dan keampunan daripada Allah SWT. Ini penting bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara daripada sebarang bencana dan huru-hara," katanya.

- Utusan

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...