Iklan Nuff

11.9.12

Pujian dari pakar luar terhadap PPP



Pakar luar puji
11/09/2012



Muhyiddin bersalaman dengan Man Ahn, sambil diperhatikan Pengarah Institut Pendidikan Kebangsaan Singapura, Prof Dr Lee Sing Kong, di Putrajaya, semalam.Panel bebas antrabangsa sependapat matlamat perubahan amat jelas, lebih sistematik

Putrajaya: Pakar pendidikan antarabangsa yakin Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2015 yang dibentangkan hari ini akan mencapai matlamat berdasarkan pendekatan sistematik.


Ambil kira pandangan rakyat

Selepas analisis menyeluruh, Panel Penilai Bebas Antarabangsa bagi Mengkaji Semula Sistem Pendidikan Negara itu berpendapat, matlamatnya amat jelas dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan negara dan mengambil kira pandangan rakyat bagi memastikan ia memenuhi aspirasi pendidikan serta pelajar.

Pengarah Institut Pendidikan Kebangsaan Singapura, Prof Dr Lee Sing Kong, berkata kajian sistem pendidikan Malaysia dilaksana dengan memahami kedudukannya sekarang, menganalisis data dan persekitaran serta hasil yang diingini menerusi pelaksanaan PPP.

“Melalui kajian ini, kita dapat lihat jurang yang perlu diisi dan saya berpendapat ia dijalankan secara sistematik dengan hasilnya dapat dipastikan dengan jelas.

“Ia bukan saja berasaskan kajian dalaman, sebaliknya membabitkan rundingan dengan profesional dan pelbagai pihak. Sekarang adalah masa merancang bagaimana kita mahu laksanakan supaya perubahan sistem ini mencapai sasaran.
“Pelaksanaan ini perlu terus dibincangkan serta diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran,” katanya selepas mesyuarat panel yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini semalam. Sing Kong ialah antara empat ahli panel itu.

Tiga lagi termasuk bekas Menteri Pendidikan Korea Selatan, Dr Byong Man Ahn; Ketua Indikator dan Bahagian Analisis, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Dr Andreas Schleicher dan Penasihat Khas Menteri Pendidikan Ontario, Kanada, Dr Michael Fullan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan laporan awal Kajian Semula Pendidikan hari ini. Laporan awal itu ditapis dan dirumus daripada lebih 7,000 syor yang dibincang bersama kira-kira 12,000 peserta hampir di setiap negeri melalui siri dialog kebangsaan sejak April lalu.

Sing Kong berkata, melalui siri perbincangan yang giat dijalankan di kalangan 11 panel penilai bebas itu termasuk tujuh ahli panel tempatan sejak lapan bulan lalu, mereka melihat bagaimana contoh sistem pendidikan berprestasi tinggi di negara lain dapat dilaksanakan di Malaysia.


Mutu guru


“Antara bidang penting adalah mutu guru dan kewibawaan kepemimpinan sekolah yang memberi sumbangan besar kepada pencapaian sistem pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Man Ahn menyifatkan PPP sebagai projek yang amat besar lagi terperinci dan projek seumpamanya tidak pernah dilaksanakan Korea Selatan sebelum ini.


Rangkumi seluruh aspek

“Saya pernah melakukan perubahan sistem pendidikan sebelum ini. Ada yang berjaya dan ada yang gagal, tapi saya perlu mengakui apa yang dilaksanakan negara ini sekarang amat besar lagi teliti kerana merangkumi seluruh aspek sistem pendidikan.

“Saya harap projek ini akan berjaya. Saya akan melihatnya dan amat gembira untuk memberi nasihat sekiranya diperlukan,” katanya.


INFO

Pelan Pembangunan Pendidikan

9 Bidang Keutamaan

Memartabatkan profesion perguruan

Meningkatkan kepemimpinan sekolah

Meningkatkan kualiti sekolah

Memantapkan standard kurikulum dan pentaksiran

Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa

Pembabitan ibu bapa, swasta dan sosial sebagai rakan kongsi

Meningkatkan kesediaan murid untuk pendidikan tinggi dan pasaran kerja

Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan sumber

Membina kemampuan dan keutamaan sistem penyampaian

- BH

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...