13.12.12

Penderitaan Yahya Sulong mendapat perhatian

Akhirnya penderitaan yang ditanggung oleh artis veteren yang juga seorang pelawak yang terkenal beberapa dekad yang lalu berhubung dengan tunggakan sewa rumahnya yang tertunggak menerima bantuan DBKL bagi menyelesaikannya.

Dulu kita gelak ketawa dengan lawaknya yang selamba di dalam filem mahupun drama dan rancangan hiburan. Setelah lapisan pelawak dan pelakon baru muncul kemunculan beliau di persada seni mula menyepi dan sudah pastilah meninggalkan kesan kepada kedudukan kewangannya juga.

Dengan bantuan yang diterima setelah pendedahan akan kesusahan yang ditanggungnya bersama isterinya adalah diharapkan sedikit sebanyak membantu dalam masa yang terdekat ini.


Yahya Sulong Dibantu Selesaikan Hutang Sewa Rumah
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI


Yahya Sulong (kiri) melahirkan rasa terharu apabila banyak pihak tampil menghulurkan bantuan. Foto MOHD AL QAYUM AZIZI.

KUALA LUMPUR: Hutang sewa rumah pelakon Datuk Yahya Sulong di Flat Sri Perak, Bandar Baru Sentul di sini berjumlah RM800 telah diselesaikan dengan bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Yahya, 84, berkata, pihak DBKL telah berkunjung ke rumahnya pada Selasa lalu selepasmStar Online menyiarkan penderitaan beliau bersama isteri Alisah Ali, 65, yang hilang punca kerana bimbang diarahkan keluar rumah akibat hutang tertunggak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak DBKL kerana sudi untuk membantu menyelesaikan semua hutang sewa rumah kami yang tertunggak selama lapan bulan ini.

"Mereka datang berjumpa kami Selasa lalu dan mengambil semua bil-bil yang berkaitan,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di rumahnya di sini pada Rabu.

Pada pertemuan tersebut, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menerusi presidennya iaitu Zed Zaidi turut hadir untuk menyerahkan sumbangan wang tunai bagi membantu meringankan beban kedua-dua mereka.

Artikel yang diterbitkan mStar Online pada Selasa lalu mengundang reaksi pelbagai pihak.

Selain Seniman, bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), telah menyatakan kesediaan membantu pasangan tersebut termasuk bantuan perubatan kepada Alisah yang menghidap kanser paru-paru.

Yahya, berkata, dia tidak menyangka masih ramai pihak yang bersimpati dengan nasib keluarganya ditambah pula kesihatannya yang tidak menentu.

"Saya anggap bantuan kewangan yang dihulurkan sebagai suatu rezeki daripada Allah dan tidak tahu bagaimana untuk membalas jasa mereka semua.

"Saya tidak pernah meminta-minta kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain tetapi sokongan dan keprihatinan mereka menyentuh hati saya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Alisah yang menghidap kanser paru-paru tahap empat berkata, walaupun sedih apabila berita kesusahan keluarganya disiarkan di akhbar namun mereka melihat kejadian tersebut mempunyai hikmah.

"Saya tidak suka meminta-minta apatah lagi menghebahkan masalah kami kepada orang lain.

Zed Zaidi (kiri) meluangkan masa melawat Yahya dan Alisah selain menghulurkan bantuan bagi meringankan beban pasangan itu.

"Namun saya melihat banyak hikmah yang kami peroleh kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah kami," jelasnya.

Sementara itu, Zed ketika ditemui berkata, selepas mendapat tahu masalah yang dihadapi Yahya, pihak Seniman telah mengambil tindakan segera bagi membantu pelakon itu.

"Semalam (Selasa) kami dapat tahu mengenai Yahya dan hari ini (Rabu) kita telah mengambil tindakan," katanya.

Tambah Zed, Seniman sedang merancang satu program khusus untuk membantu golongan artis yang mempunyai masalah selain sedang mendapatkan sokongan kerajaan bagi tujuan berkenaan.

Selama ini pasangan itu menampung hidup hasil daripada sumbangan wang bulanan sebanyak RM400 dari Baitulmal selain pencen arwah isteri Yahya yang terdahulu dalam jumlah yang sama.

Yahya dan Alisah yang berkahwin sejak 34 tahun lalu tidak dikurniakan anak. Ia merupakan perkahwinan kedua bagi Alisah dan keempat buat Yahya.

sumber : mStar Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...