23.3.14

MH370, terdapat panduan al-Quran yang diabaikan


Ibrah MH370
Oleh DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN

ALLAH SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa, menurunkan al-Quran sebagai petunjuk kehidupan manusia. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan baginda berperanan menjelaskan petunjuk yang terkandung dalam al-Quran. Manusia yang hidup berpandukan al-Quran dan as-sunnah Nabi Muhammad SAW adalah manusia yang berjaya mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. (rujuk al-Isra': 97)

Seluruh rakyat Malaysia sedang diuji oleh Allah SWT berkenaan isu kehilangan pesawat MH370. Pelbagai usaha dilakukan dan pelbagai berita disampaikan. Walau apapun tindakan yang dilakukan, al-Quran dan as-sunnah wajib menjadi panduan. Qabisah bin al-Mukhariq melaporkan, Rasulullah SAW bersabda: “Al-Quran itu memberi syafaat di hari akhirat kelak dan sumber kesuburan hati yang diakui. Sesiapa yang menjadikannya di hadapannya (mengikuti petunjuknya), maka al-Quran itu akan memandunya ke syurga. Sesiapa yang menjadikannya di belakangnya (mengingkari petunjuknya), maka al-Quran itu akan menghumbannya ke neraka." (riwayat Ibnu Hibban)

Dalam kerancakan masyarakat membicarakan isu MH370, terdapat panduan al-Quran yang diabaikan oleh kita sebagai umat Islam, iaitu dalam menerima, menilai dan mengesahkan sesuatu maklumat sebelum disebarkan. (rujuk al-Hujurat: 6)

Allah SWT mengarahkan kepada orang yang beriman, apabila mendapat sesuatu berita, maka hendaklah disiasat terlebih dahulu kebenarannya sebelum sebarang tindakan diambil. Ini bagi mengelakkan tindakan tersebut dibuat atas asas yang tidak betul, sehingga melahirkan akibat yang buruk. Umat Islam tidak selayaknya menjadi golongan penyebar berita palsu atau berita yang masih diragui kesahihannya, kerana ia hanya akan mengundang bencana dalam masyarakat.

Spekulasi

Terdapat pelbagai spekulasi diberikan tentang kehilangan MH370. Ada yang menjangkakan ia telah meletup, ada yang mengatakan ia terjunam jatuh ke dalam laut, ada yang beranggapan ia dirampas dan disembunyikan dan pelbagai spekulasi diberikan. Kehadiran pelbagai media menjadikan isu ini menjadi semakin kompleks.

Setiap media memaparkan pelbagai spekulasi, sehingga menjadikan masyarakat semakin bingung. Persoalan yang timbul, kenapa masyarakat kita dihidangkan dengan pelbagai berita yang masih belum disahkan kesahihannya. Banyak masa dihabiskan membicarakan pelbagai spekulasi. Apa manfaat spekulasi ini kepada ahli keluarga mangsa dan masyarakat umum?

Nabi Muhammad SAW telah memberikan panduan, umat Islam seharusnya hanya melakukan perkara yang mendatangkan manfaat dan menjauhi perkara yang sia-sia. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah SAW bersabda: Seorang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding seorang mukmin yang lemah. Pada setiap kebaikan maka lakukanlah apa-apa yang mendatangkan manfaat untuk kamu. Mintalah bantuan daripada Allah dan jangan sekali-kali kamu merasa lemah dan berputus asa. Jika kamu ditimpa dengan satu musibah, maka janganlah kamu berkata, Jika aku lakukan begini, maka sudah tentu kesannya begitu dan begini. Tetapi katakanlah, Segala-galanya telah ditentukan oleh Allah. Dia hanya lakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya ungkapan ‘kalau’ hanya akan membuka pintu gangguan syaitan. (riwayat Muslim)

Dosa besar

Allah SWT memberi amaran agar jangan membuat sebarangan ulasan, mungkin kita menyangka isu yang diulas adalah perkara biasa atau remeh tapi dosanya sangat besar di sisi Allah SWT. (rujuk al-Nur: 15)

Ulasan terhadap isu MH370 yang tidak bersandarkan data dan maklumat yang sahih hanya akan mengundang perbalahan antara anggota masyarakat. Satu pihak menuding jari kepada pihak lain, kononnya menyembunyikan fakta sebenar, pihak yang lain pula melaga-lagakan sesama umat Islam dengan mengemukakan spekulasi berdasarkan logik akal semata-mata, ada pula yang menganalisa isu ini dengan kaca mata kepentingan politik.

Yang lebih teruk, apabila ada orang Islam yang cuba melakukan spekulasi terhadap perbuatan Allah SWT, dengan mengemukakan analisa liar yang menghubungkan isu MH370 sebagai hukuman Allah kepada seseorang atau sesuatu isu yang sedang berlaku di Malaysia, seolah-olahnya penganalisis itu menjadi juru bicara Allah menyampaikan apa yang termaktub dalam Luh Mahfuz.

Umat Islam hendaklah menjaga lidah daripada menjadi penyebar fitnah atau pembawa berita palsu, kerana semua perbuatan dan perkataan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari Kiamat. (rujuk al-Isra': 36)

Pencarian pesawat MH370 dan para penumpangnya masih belum mendapat kata pemutus. Bagaimanakah keadaan mereka, adakah masih selamat? Persoalan demi persoalan timbul, pelbagai usaha telah dilakukan. Namun, jawapannya masih kabur.

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan dalam bukunya, Jami’ al-’ulum wa al-hikam: “Antara rahsia yang terkandung dalam setiap penderitaan itu ada kebahagiaan, setiap kesulitan ada kemudahan iaitu jika penderitaan yang ditanggung semakin menyakitkan, seseorang hamba Allah mula berputus asa daripada bergantung kepada makhluk, lantas hatinya hanya mengharap kepada Allah semata-mata, maka itulah hakikat tawakal kepada Allah. Tawakal itulah yang dituntut bagi setiap penyelesaian masalah.

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140320/ba_04/Ibrah-MH370

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...