24.3.14

Storm (Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia) sedia bantu mencari MH370


Bomba Malaysia tubuh Storm bantu usaha mencari MH370

KEPALA BATAS 24 Mac - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) telah menubuhkan pasukan khas yang dikenali sebagai Storm (Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia) bagi menghulurkan kerjasama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pasukan itu yang terdiri daripada 100 pegawai dan anggota pelbagai unit telah menjalani latihan khas dan kini dalam keadaan bersiap sedia untuk dikerahkan bagi operasi SAR.

"Pasukan yang terdiri daripada anggota unit udara, unit penyelam dan unit mencari serta menyelamat itu telah diberikan latihan khas dan kita bersiap sedia untuk memberi bantuan dari pelbagai aspek termasuk peralatan, kemahiran dan kepakaran.

"Ketika ini operasi tersebut dikendalikan beberapa pihak termasuk Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan pihak kami akan terus mengikuti perkembangan kehilangan pesawat setiap masa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM 2013 peringkat Wilayah Utara di sini hari ini yang sebanyak 142 pegawai dan anggota dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menerima sijil masing-masing.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah JBPM Pulau Pinang Azmi Tamat. - BERNAMA

sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140324/dn_38/Bomba-Malaysia-tubuh-Storm-bantu-usaha-mencari-MH370

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...