2.4.14

KD Lekiu sertai misi SAR MH370

KD Lekiu siap sedia
2014/04/02 - 07:57:26 AM Daripada M Thilinadan di Perth


Pegawai Laksamana Kapal KD Lekiu, Leftenan Komander Yusakmalizal Mohd Yusoff berbual dengan Komander Tentera Laut Diraja Australia, Brian Chase di Pangkalan Tentera Laut Diraja Australia di HMAS Stirling, Garden Islands. - Foto Effendy RashidTiga aset Malaysia sertai operasi cari MH370

KD Lekiu yang tiba di sini kelmarin, akan berlepas ke kawasan pencarian MH370 di Lautan Hindi, sama ada pagi ini atau esok.

Penyertaan kapal friget milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu menjadikan tiga aset Malaysia menyertai operasi mencari MH370 yang masuk hari ke-25, semalam.

Sabtu lalu, dua pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama 49 anggota dan pegawai tiba di sini untuk tujuan sama.


KD Lekiu kini berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Australia di HMAS Stirling, Garden Islands, kira-kira 50 kilometer dari sini.

Kapal itu akan menyertai sembilan kapal lain, termasuk enam dari China yang sudah berada di kawasan operasi baharu sejak tiga hari lalu.

Pegawai Pemerintahnya, Komander Jamsari Tahir, berkata KD Lekiu dari Skuadron 23 berpangkalan di Lumut bersama 160 pegawai dan anggota tiba di Garden Islands, jam 9 pagi kelmarin dan dijadualkan berlepas ke kawasan pencarian pagi ini, tertakluk kepada arahan.

KD Lekiu dijangka mengambil masa 72 jam untuk sampai ke lokasi MH370 dikatakan terjunam sebelum menerima arahan daripada kapal induk, HMAS Success bagi plot pencariannya.

Operasi berterusan

“Kita boleh menjalankan operasi secara berterusan selama 14 hari, bererti enam hari untuk perjalanan pergi balik ke Perth dan lapan hari di kawasan operasi.
Jika cuaca mengizinkan, kita boleh isi minyak dan tambah bekalan makanan di laut tanpa perlu ke pelabuhan,” katanya ketika ditemui di atas KD Lekiu, semalam.

Jamsari berkata, KD Lekiu sepanjang 106 meter dipilih kerana keupayaan belayar dalam keadaan cuaca yang mencabar, termasuk lautan bergelora dan kabus tebal.

Ditanya persiapan pasukannya, Jamsari berkata, anak kapal bersemangat tinggi untuk masuk kawasan pencarian dan yakin pasukan mencari pelbagai negara akan menemui sesuatu berkaitan MH370 dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang mengambil alih penyelarasan operasi mencari MH370 daripada Agensi Keselamatan dan Maritim Australia (AMSA) mulai semalam, memaklumkan 10 pesawat, termasuk dua C-130H Hercules milik Malaysia dan sembilan kapal menyertai operasi itu, semalam.

Kawasan pencarian dikecilkan

Semua sembilan kapal itu ditugaskan mencari di empat kawasan berlainan dalam lingkungan kawasan pencarian yang juga diperkecilkan daripada 319,000 kilometer persegi kepada 120,000 kilometer persegi di barat Perth, namun keadaan cuaca dilaporkan buruk semalam kerana kabus tebal yang mengurangkan jarak penglihatan.

Dalam pada itu, kapal Ocean Shield yang membawa bersama peralatan untuk mengesan kotak hitam, sudah berlepas dari Perth dan dijangka tiba di kawasan operasi esok.

sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KDLekiusiapsedia/Article/

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...