Iklan Nuff

6.4.14

MH370 : Operasi terbesar cari kotak hitam


GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan kapal HMAS Ocean Shield yang menunda peranti pengesan kotak hitam TPL.

PERTH - Empat minggu selepas kehilangan Penerbangan Malaysia MH370, para pencari melancarkan operasi terbesar di selatan Lautan Hindi semalam untuk cuba mencari kotak hitam pesawat sebelum baterinya kehabisan kuasa.

Sejumlah 10 pesawat tentera, tiga jet awam dan 11 kapal meronda kawasan seluas 217,000 kilometer (km) persegi di lokasi yang terletak sekitar 1,700 km ke barat daya bandar raya ini.

Pihak berkuasa percaya pesawat tersebut jatuh di lokasi tersebut pada 8 Mac lalu bersama 239 penumpang dan anak kapal.

"Walaupun kami belum menemui apa-apa dalam tempoh empat minggu ini, kami akan meneruskan pencarian kerana banyak objek dalam pesawat itu akan terapung," kata ketua agensi Australia yang menyelaras operasi tersebut, Ketua Marshal Udara (Bersara) Angus Houston.

"Pada akhirnya saya berpendapat sesuatu akan ditemui yang akan dapat membantu kami mengecilkan kawasan mencari," tambahnya.

Setakat ini, pihak berkuasa tidak menolak masalah mekanikal sebagai punca tragedi tetapi bukti-bukti termasuk kegagalan komunikasi menunjukkan haluan Penerbangan MH370 telah sengaja diubah sejauh beribu-ribu kilometer dari laluan asalnya.

Pada hari kejadian, penerbangan tersebut berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke kota raya Beijing di China.

Berpuluh-puluh penerbangan oleh pasukan bertindak antarabangsa setakat ini gagal mengesan pesawat tersebut manakala para penyiasat mengakui operasi mencari MH370 sukar kerana kekurangan data.

Pesawat Boeing 777 itu dikesan seketika oleh radar tentera ketika berada di perairan Malaysia manakala para penyiasat membuat rumusan MH370 terhempas di selatan Lautan Hindi berdasarkan isyarat elektronik atau ping pesawat yang dikesan satelit beberapa jam kemudian.

Dalam pada itu, peranti sonar yang dibawa oleh dua buah kapal dalam operasi mencari tersebut mungkin dapat membantu mencari kotak hitam dan perakam data yang menjadi kunci bagi merungkai misteri kehilangan penerbangan itu.

Kotak hitam pesawat dilengkapi isyarat lokasi yang memancarkan gelombang ping apabila berada di bawah air tetapi baterinya hanya dapat bertahan selama 30 hari.

Pihak berkuasa Australia menyatakan, peranti yang dinamakan Towed Pinger Locator (TPL) ditunda di belakang kapal perang HMAS Ocean Shield akan meninjau kawasan seluas 240 km bersama kapal kaji selidik Britain, HMS Echo.

Sebelum itu, pakar-pakar memberi amaran bahawa peranti TPL itu kurang berguna melainkan pasukan penyiasat dapat mengetahui dengan tepat lokasi pesawat tersebut terjatuh ke dalam laut.

Menurut mereka, TPL mempunyai jarak pengesanan terhad manakala ia ditunda secara perlahan oleh kapal Ocean Shield menyebabkan ia tidak dapat meliputi kawasan luas di laut dengan cepat.

"Apa yang kami lakukan adalah mencari berdasarkan anggaran terbaik mengenai laluan pesawat MH370," kata pegawai tentera laut Amerika Syarikat, Kapten Mark Matthews.

Britain turut menghantar kapal selam nuklear HMS Tireless yang memiliki keupayaan sonar manakala sebuah kapal frigat Malaysia turut dijangka tiba di lokasi pencarian semalam.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia berdepan kritikan terutamanya dari China yang tidak berpuas hati berhubung operasi mencari tersebut.

Kebanyakan daripada 227 penumpang pesawat Boeing 777 yang hilang itu merupakan warga China. - Reuters

sumber : Kosmo! Online

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...