2.4.14

UK hantar kapal selam cari MH370

Kapal selam UK sertai operasi di Lautan Hindi
Astro Awani| Kemas kini: April 02, 2014




KUALA LUMPUR: Kapal selam Tentera Laut Diraja Britain, HMS Tireless tiba di selatan Lautan Hindi untuk menyertai operasi mengesan pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Kapal selam itu akan disertai oleh sebuah kapal peninjau, HMS Echo yang akan membantu usaha mengesan kemungkinan serpihan yang boleh jadi ada kaitan dengan pesawat itu di permukaan laut.

Pengiriman HMS Tireless dan HMS Echo itu dimaklumkan oleh Setiausaha Pertahanan UK, Philip Hammond kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa.

"Ini adalah sumbangan daripada sahabat Malaysia yang sangat dihargai bukan saja oleh kita tetapi juga negara-negara lain yang menyertai operasi mencari MH370," katanya seperti dipetik oleh Bernama di Honolulu.

Hishammuddin berada di Hawaii untuk menghadiri Forum Pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat yang digelar oleh Setiausaha Pertahanan Amerika, Chuck Hagel.

Sementara itu, Hishammuddin melalui akaun Twitternya merakamkan rasa gembira dengan bantuan itu dan berkata Malaysia "tidak akan melupakannya sampai bila-bila."



Selain kerahan aset, UK juga mengirimkan bantuan kepakaran daripada beberapa jabatan kerajaan untuk membantu usaha merungkai misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu.

Empat pegawai tentera udaranya yang sedang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Australia dan Tentera Udara Diraja New Zealand juga terlibat aktif dalam operasi carian itu.

Sementara itu, penganalisis percaya Tentera Laut Amerika Syarikat juga mungkin sudah mengirimkan kapal selamnya tetapi seperti lazimnya, ia tidak mengumumkan pergerakan kapal selamnya itu.

"Nilai sebuah kapal selam ialah pada kemampuannya untuk (bergerak dengan) senyap dan tidak dikesan," kata Eric Wertheim, penganalisis dengan Institut Tentera Laut Amerika Syarikat seperti dipetik oleh majalah Foreign Policy.

Seperti kapal selam Britain, kapal selam Amerika juga boleh membantu mengimbas kawasan perairan di selatan Lautan Hindi untuk mengesan pesawat yang hilang itu. Sejauh mana ia boleh turun ke dasar laut

Pegawai kanan tentera laut Amerika yang dihubungi oleh majalah itu juga enggan menjelaskan apakah Amerika perlu mengirimkan kelengkapan tambahan dan berkata, bantuan setakat ini adalah memadai.

HMS Tireless merupakan sebahagian daripada armada kapal selam kelas Trafalgar yang dijana oleh kuasa nuklear. Ia direka untuk memburu kapal selam musuh semasa era Perang Dingin. Kapal selam ini membawa 18 anak kapal.

sumber : http://www.astroawani.com/news/show/kapal-selam-uk-sertai-operasi-di-lautan-hindi-33004

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...