30.5.14

Kelantan kaji kesesuaian premis niaga 24 jam


SALMAH MAT HUSAIN | 28 Mei 2014.

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengkaji kesesuaian premis perniagaan yang beroperasi sehingga 24 jam tanpa kawalan dibimbangi menjadi penyumbang kepada berlaku gejala sosial.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmod berkata, berdasar laporan pihak polis dan aktivis sosial mendapati premis perniagaan tanpa kawalan berlaku kejadian yang tidak diingini.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri akan mengadakan kajian khusus berhubung pelaksanaan kawalan tempoh premis perniagaan di Kelantan.

“Sekarang didapati ada premis perniagaan beroperasi berlarutan sehingga 24 jam seolah-olah tiada kawalan kerajaan negeri,” katanya pada persidangan media selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar berkata, hasil laporan yang diterima sebelum ini didapati terdapat beberapa perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) akan membuat kajian lanjut untuk melihat beberapa perkara terutamanya kesan perniagaan sehingga larut malam.

“Kajian itu bagi melihat waktu operasi perniagaan yang lebih sesuai. Di negara-negara maju waktu perniagaan sehingga jam 6 petang,” katanya.

Kata beliau kerajaan negeri akan mempertimbangkan jenis perniagaan yang boleh dibenarkan beroperasi sehingga larut malam dengan mengambil kira lokasi tertentu.

Antaranya premis perniagaan diambil kira dengan pergerakan bas ekspres kira-kira 70 buah sehari yang keluar masuk Kelantan bagi kemudahan penumpang.

“Bagaimanapun kita akan menerima pandangan dan teguran dari badan bukan kerajaan dan pihak berkaitan sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya. 

-HARAKAHDAILY 28/5/2014

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...