8.5.14

MH370: Waris harapkan berita gembira

Bapa kecewa tindakan pihak tertentu sebar teori, andaian

Kuala Lumpur: Selepas 60 hari pesawat MH370 hilang, waris penumpang mengharapkan ‘perkembangan baharu’ dalam misi pencariannya susulan keputusan panel pakar antarabangsa akan menilai semula semua data digunakan mereka sejak 8 Mac lalu.

Selamat Omar, 60, berkata dua bulan adalah tempoh yang sangat lama bagi beliau yang sentiasa mengikuti perkembangan terbaharu mengenai pesawat dinaiki anaknya, Khairul Amri, 29.


Kami berharap sesuatu yang menggembirakan diumum esok (hari ini) hasil perbincangan Malaysia, Australia dan China, cuma kami kecewa apabila terlalu banyak teori dan andaian dibuat sehingga memberi harapan kepada waris” Selamat Omar, Waris penumpang MH370
Hargai usaha kerajaan

“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang membantu terutama kerajaan yang masih meneruskan pencarian pesawat itu. Kami (waris) juga terharu dengan pelawaan membawa kami ke Perth (Australia) sekiranya ada penemuan berkaitan kehilangan itu.

“Kami berharap sesuatu yang menggembirakan diumum esok (hari ini) hasil perbincangan Malaysia, Australia dan China, cuma kami kecewa apabila banyak teori dan andaian dibuat sehingga memberi harapan kepada waris.

“Setiap perkembangan yang dimaklumkan memberi bayangan seolah-olah pesawat itu sangat hampir untuk ditemui,” katanya kepada BH, semalam.
Kelmarin, mesyuarat tiga pihak membabitkan Malaysia, Australia dan China memutuskan panel pakar antarabangsa akan bertemu di Canberra, hari ini, bagi menilai semula semua data dan satelit digunakan untuk mencari MH370 sejak ia hilang pada 8 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu, mereka juga bersetuju waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 akan diterbangkan ke Perth sebaik sebarang serpihan berkaitan pesawat itu ditemui dan disahkan.

Kenyataan itu turut menyebut semua menteri yang menyertai mesyuarat berkenaan bersetuju MAS akan bertanggungjawab bagi urusan perjalanan mereka, termasuk
penerbangan, penginapan, pengangkutan dan urusan kemasukan ke Australia.

Mesyuarat tiga pihak dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss disertai Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang.

Kehidupan terjejas

Sementara itu, Selamat mengakui kehidupannya terjejas dengan kehilangan anaknya yang selama ini banyak membantunya dari segi perbelanjaan bulanan.

“Soal pembayaran pampasan itu perkara lain, saya sedikit terkilan apabila tidak ada lagi panggilan daripada MAS bertanyakan khabar,” katanya yang kini tinggal bersama isteri dan anaknya berusia lapan tahun.

Selamat turut terkilan apabila terpaksa menanggung sendiri perbelanjaannya dari Bera, Pahang ke Hotel Royale Chulan di sini, termasuk penginapan di hotel bajet sebelum perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang yang juga Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada 20 April lalu.

sumber : BH Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...