9.5.14

Ranking Fifa: Malaysia turun tiga anak tangga



FAM

KEPUTUSAN seri tanpa jaringan menentang Filipina pada perlawanan persahabatan pada 27 April lepas menyebabkan skuad negara jatuh tiga anak tangga dalam ranking terbaru bola sepak dunia.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) hari ini, skuad kebangsaan bimbingan pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee berada pada kedudukan ke-145 dunia berbanding 142 pada April.

Skuad Harimau Malaya berada di tangga 154 pada bulan Januari, 150 (Februari) dan 141 pada Mac.

Kedudukan itu meletakkan skuad kebangsaan setanding dengan beberapa pasukan seperti Lesotho (141), Belize (144), Krygyzstan (146), Singapura dan India (147) serta Puerto Rico (149).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia turun satu anak tangga untuk berada di tangga keempat di belakang Vietnam (116), Filipina (140) dan Thailand (143).

Di peringkat Asia, Malaysia turut mengalami penurunan satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-23 daripada 46 negara.

Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,460 mata.

Jerman dan Portugal turut mengekalkan kedudukan sebagai pasukan kedua dan ketiga terbaik apabila masing-masing mengutip 1,340 dan 1,245 mata.

Kedudukan ranking Fifa itu melibatkan 209 negara. - Bernama

sumber : Sinar Harian Online

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...