6.6.14

JKM cari ibu kandung bayi ditinggalkan di hospital

Bayi yang ditinggalkan oleh ibu kandung selepas dilahirkan di Hospital Serdang.

SEPANG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sepang sedang mencari waris dan ibu kandung seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di wad bersalin Hospital Serdang, 18 Mei lalu.

Wanita berkenaan melahirkan bayinya pada 10 Mei dan menghilangkan diri beberapa hari kemudian.

Pegawai Pelindung JKM Daerah Sepang, Zainal Abidin Amin berkata, pihak hospital memaklumkan bayi itu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan khas (Penyakit Kuning).

Bayi itu kini, berada dalam keadaan sihat dan dijaga pihak hospital setelah pentadbiran hospital mendapati ibu kandungnya yang dipercayai warga Indonesia dalam lingkungan umur 30-an itu menghilangkan diri dari wad bersalin.

Menurutnya, ibu kandung bayi berkenaan hadir ke hospital berkenaan tanpa membawa dokumen pengenalan diri dan dalam keadaan kecemasan untuk melahirkan anak.

“Sehingga kini, ibu kandung bayi itu tidak menuntut anaknya dan bayi itu kini ditempatkan sementara di institusi perlindungan.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan ibu kandung serta keluarganya diharap dapat membantu pihak JKM bagi tujuan penyerahan dan penempatan bayi itu,” katanya.

Beliau berkata, jika tiada anggota keluarga yang menuntutnya, bayi itu akan diserah kepada institusi di bawah JKM bagi perlindungan dan pemeliharaan sewajarnya.

Orang ramai yang mengenali atau mengetahui maklumat berkaitan ibu bayi itu boleh menghubungi JKM di talian 03-87065763/1026/5764 (Shazlin Adila Mohd Salleh atau Zainal Abidin Amin) untuk tindakan susulan.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...