16.8.14

Wanita bukan punca Dr Maza menolak Wan Azizah jadi MB tapi atas sebab lain

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata walaupun tidak setuju Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai menteri besar, beliau juga tidak setuju tafsiran ustaz bahawa wanita tidak boleh menjadi MB menurut Islam.
Gambar dari The Malaysian Insider


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata, beliau tidak bersetuju Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dipilih sebagai menteri besar Selangor bukan kerana beliau wanita tetapi kerana sebab-sebab lain.

Ada beberapa sebab lain untuk beliau tidak menjadi pilihan.

Beliau juga tidak setuju tafsiran sesetengah ustaz bahawa wanita tidak boleh menjadi MB menurut Islam, bahkan mereka kata dalam semua urusan.

Tulisannya ini dalam blog DrMaza.com juga menyebut walaupun lelaki lebih afdal atas beberapa keadaan, namun mengharamkan wanita memegang jawatan menteri besar perlu dinilai semula.

The Malaysian Insider juga memetik pernyataan beliau lagi berkenaan hadis Rasulullah yang menyelar kaum wanita untuk diangkat sebagai pemimpin perlu dilihat dalam konteks yang sebenarnya dan tidak boleh disandarkan secara umum.

Bekas mufti Perlis itu berkata pandangan sesetengah ulama yang merujuk hadis “Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik wanita mengurus urusan mereka" secara umum akan memberi sekatan kepada wanita terlibat dalam kepimpinan organisasi secara keseluruhannya.

Semalam, sebuah blog Pena Minang menerangkan secara terperinci mengapa wanita tidak sesuai untuk diangkat sebagai pemimpin menerusi perspektif Islam.

Hujah yang diutarakan oleh M Afifuddin menerusi portal itu turut menyandarkan kepada hadis riwayat Al-Bukhari berkenaan dan memberikan pandangan secara menyeluruh mengenai perspektif wanita sebagai pemimpin.

Asri berkata hadis yang dijadikan hujah itu mempunyai teks dan konteksnya yang tersendiri iaitu isu anak perempuan Kisra Parsi yang menjadi maharani.

Katanya, Abu Bakrah juga menggunakan hadis ini untuk menolak kepimpinan isteri Rasulullah, Siti Aishah dalam isu membantah pembunuh Uthman Al-Affan di zaman pemerintahan khalifah Ali Ibni Abi Talib.

Beliau berhujah bahawa jika hadis ini dianggap terpakai secara umumnya, wanita bukan sahaja tidak boleh jadi MB, bahkan pengetua, ketua pejabat, pengarah, exco, senator, menteri dan seumpamanya juga tidak boleh.

Al-Quran dalam surah Al-Naml dalam penceritaannya memuji Ratu Saba atau dalam riwayat Yahudi dengan nama Balqis.

Menurutnya lagi bahawa kebijaksanaannya mengatasi menteri lelaki kabinet kerajaannya. Hasil kebijaksanaan itu membawanya beriman bersama Nabi Sulaiman. Ia bukti kejayaan wanita.

Begitu juga Umar Al-Khattab juga pernah melantik Syifa binti Abdillah sebagai menteri yang mengurus pasar di zamannya.

Akhirnya beliau menutup hujahnya dengan pernyataan bahawa banyak juga wanita dalam dunia ini menjadi pemimpin lebih baik dari sebahagian lelaki.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...