22.9.14

Impian terlaksana agenda Mizz Nina

Mizz Nina

AQMAR MUSTAZA, FOTO: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
22 September 2014


PENGHIJRAHAN imej Mizz Nina sebaik pulang daripada mengerjakan ibadah haji pada Oktober 2013, sememangnya mengejutkan ramai. Apatah lagi, tidak perlu menunggu lama atau membuat sebarang pengumuman, Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 34, perlahan-lahan bertukar imej.

Lebih membanggakan lagi, transformasi Ratu Hip Hop ini tidaklah hanya terletak pada imejnya semata-mata, sebaliknya ia turut mencakupi aspek muzik dan karier seninya. Biarpun mengambil keputusan untuk berehat panjang dan hanya akan menyanyi di depan wanita sahaja selepas ini, isteri kepada vokalis Hujan, Noh, turut mempunyai agenda baharu iaitu membuka butik Muslimah.

Ternyata, darah seni yang mengalir di dalam tubuhnya tidak hanya kepada industri hiburan semata-mata, tetapi juga kepada dunia fesyen.

“Saya rasa inilah masa yang baik untuk saya berehat panjang daripada nyanyian. Buat masa ini, saya mahu beri fokus sepenuhnya kepada perniagaan saya. Jadi, boleh juga dikatakan akan tinggalkan dunia nyanyian buat masa ini. Sampai bila saya tak pasti. Lagipun saya mahu menyanyi di hadapan penonton wanita sahaja selepas ini,” katanya.


Mizz Nina beri tumpuan pada Madeena

“Alhamdulillah, sudah lama saya impikan untuk membuka butik sendiri dan hari ini (Sabtu), ALLAH SWT telah mengizinkan segalanya. Saya rasa bertuah dengan pembukaan butik Madeena,” kata Nina dalam nada teruja sebaik ditanya media mengenai perasaannya selepas pelancaran butik dan kafe miliknya.

Ujarnya, dia sudah lama mengimpikan untuk membuka butik tersebut apatah lagi selepas melihat sambutan hangat terhadap jenama tersebut menerusi perniagaan atas talian sebelum ini. Tambahnya, selepas merancang untuk membuka butik tersebut kira-kira hampir dua tahun yang lalu, segala-galanya bagai dipermudahkan.

“Sebelum ini saya hanya menjual menerusi laman web, madeena.my dan fashionvalet.com. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Madeena menyediakan jubah wanita, abaya, hijab, ada juga jaket, skirt panjang yang sesuai dengan fesyen terkini dan paling penting, menutup aurat.

“Setakat ini, kami juga dapat banyak undangan untuk sertai bazar dan juga pertunjukan fesyen seperti KL Fashion Week. Saya bersyukur kerana saya mempunyai satu tema yang sangat bekerja keras dan mempunyai pereka fesyen yang memahami apa yang saya mahu,” katanya yang cuba menjual koleksi berlainan di laman web dan butik.

Memilih membuka butiknya di Heritage Lane, Empire Damansara, Damansara Perdana, Nina menjelaskan, dia jatuh cinta dengan lokasi dan konsep yang diketengahkan di situ.

“Saya akui tempat ini masih baru, tapi saya suka dengan suasananya, seperti pusat beli-belah di luar negara, santai dan eksklusif. Pada mulanya saya merancang membuka butik saya di sebuah lokasi di Kota Damansara, tetapi selepas seorang rakan memperkenalkan lokasi ini pada saya, saya tidak berfikir panjang untuk mendapat lot kedai di sini,” katanya.

Tambah Nina, dek kerana perniagaan butiknya baru bermula, dia akan memberi tumpuan dan menghabiskan banyak masa di butiknya itu.

“Masih banyak yang perlu saya buat di butik ini, Insya-ALLAH, saya akan lebih kerap berada di butik. Jadi pada sesiapa yang mahu melihat koleksi, boleh datang ke butik saya,” katanya.

Tidak hanya terarah kepada fesyen semata-mata, Nina berkata, dia juga turut mengeluarkan beberapa produk lain seperti wangian.

”Buat masa ini saya keluarkan wangian dalam botol kecil sebagai percubaan, jika mendapat sambutan, saya akan mengeluarkannya dalam botol besar pula,” katanya yang tidak merancang untuk mengeluarkan pakaian lelaki, namun merancang untuk mengeluarkan pakaian bagi kanak-kanak.

Ilham dari Madinah

Ditanya mengenai jenama terdahulu yang berkonsepkan urban iaitu Mizz Demeanor, Nina menjelaskan, dia sudah pun menutup jenama itu kerana mahu menumpukan pada Medeena.

“Dari dulu saya suka kalau nama yang ada M.D. Dalam perkataan Medeena ada M dan D. Saya mendapat ilham tersebut ketika menunaikan haji dan saya gabungkan perkataan Madinah dan “deen”, membawa maksud Islam.

“Saya rasa lebih baik fokus pada satu jenama sahaja dan saya nampak Madeena mempunyai peluang perniagaan yang besar, kerana tidak banyak butik Muslimah ada,” katanya.

Nina berkata, dia juga ingin mendidik wanita Islam untuk tampil menutup aurat, namun masih lagi bergaya stailo.

“Macam sekarang, apa yang saya pakai, saya rasa sesuai dan selesa. Ada yang kata, walaupun saya berhijab, saya tetap nampak stailo,” katanya.

Peminat yang tak bertudung juga suka melihat penampilan saya, mereka tinggalkan komen yang positif di Instagram.

“Jadi begitu juga dengan orang di luar sana, walaupun mereka berpakaian menutup aurat, mereka masih boleh bergaya tanpa masalah,” katanya.


Pendirian Nina

Sementara itu, berkongsi mengenai karier seninya, Nina berkata, dia tidak akan menyesal untuk memperlahankan karier seninya dan menyedari perubahan yang sedang dilakukan itu sememangnya memerlukan satu pengorbanan besar.

“Sebelum ini, perjalanan kehidupan saya lebih terarah kepada aktiviti duniawi. Saya alpa dengan kehidupan dunia. Ketika itu, saya tidak fikir langsung apa akan terjadi pada masa hadapan. Saya beranggapan akan ada banyak masa untuk berubah.

“Tapi saya lupa, mati akan terjadi pada bila-bila masa. Tidak kira usia muda mahupun tua,” katanya.

Nina berkata, dia juga tidak ada idea untuk menghasilkan lagu baru, biarpun sebelum ini ada merancang untuk menukar konsep muziknya kepada lebih bersifat Islamik bersesuaian dengan imejnya yang kini berhijab.

“Idea saya tidak seperti Noh, dia mudah sahaja mendapat idea untuk menghasilkan lagu baru. Tapi saya tidak kisah, biarlah buat masa ini, saya akan beri tumpuan pada perniagaan ini dulu,” ujarnya.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...