Iklan Nuff

10.10.14

Bajet: Bonus setengah bulan atau minimum RM500 untuk penjawat awam


KUALA LUMPUR 10 Okt. - Bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 bakal dinikmati kira-kira 1.5 juta penjawat awam pada Januari depan, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pesara kerajaan pula diberi bantuan khas sebanyak RM250.

"Pemberian bonus ini akan dibayar pada Januari 2015," katanya ketika membentangkan "Bajet 2015:Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Perdana Menteri berharap pemberian bonus itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan penjawat awam, terutama kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan, kelak.

Pada Julai lepas, kerajaan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Bayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.

Bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam pula, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menambah baik 252 lagi skim perkhidmatan sedia ada.

Ketika membentangkan Bajet 2014 tahun lepas, Najib telah mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan awam.

Najib berkata kerajaan juga bersetuju memberi bantuan bulanan RM300 seorang bagi menghargai khidmat pegawai dan petugas kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), JPNIN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Seranta Felda, yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun dan telah tamat perkhidmatan kontrak mengikut umur persaraan wajib.

"Inisiatif ini akan memanfaatkan 1,655 individu," katanya.- BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141010/dn_40/Bajet-Bonus-setengah-bulan-atau-minimum-RM500-untuk-penjawat-awam#ixzz3FkkKh6s9
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...