24.10.14

I want to touch al-Quran berjaya




SUNGAI PETANI – Di sebalik kontroversi program I want to touch a dog, Gagasan Sukarelawan Anak Muda Islam Malaysia (Lawan) mengambil inisiatif menganjurkan I want to touch al-Quran di Taman Jubli Perak petang kelmarin.

Penasihatnya, Mohd Amin Ismail berkata, walaupun ia dijalankan secara spontan, sambutan itu diterima baik apabila menerima kunjungan antara 80 dan 100 orang dalam tempoh sejam.

Menurutnya, pendekatan menggunakan sukarelawan yang mendekati kelompok kecil pengunjung taman rekreasi itu berhasil apabila mereka sudi meluangkan masa mengikuti acara dakwah itu.

“Kita bahagikan sukarelawan kepada beberapa kumpulan yang kemudian mendekati pengunjung untuk sama-sama mendengar kelebihan al-Quran, sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW dan bala bencana diturunkan ALLAH SWT,” katanya.

Tidak dinafikan, katanya, ada sebilangan kecil yang menolak untuk bersama, tetapi pihaknya tidak melakukan paksaan sebaliknya memberi kesedaran agar golongan itu dibuka hati untuk terus mendekati ajaran Islam sebenar.

“Ada sesetengah respons mendakwa kami kolot apabila membawa al-Quran ke taman rekreasi.

"Tetapi, itulah sebahagian daripada cabaran kecil yang perlu ditempuhi dalam usaha berdakwah,” katanya.

Mohd Amin berkata, seramai 20 sukarelawan terlibat terdiri daripada tenaga pengajar dan juga mahasiswa.

Pada masa sama, katanya, remaja belasan tahun juga turut serta menjadi sebahagian sukarelawan bertujuan menyebarkan dakwah bukan sahaja kepada orang Islam tetapi bukan Islam yang turut mendengar.

Katanya, edisi kedua I want to touch al-Quran akan dijalankan di Muzium Padi Gunung Keriang 25 Oktober ini sempena karnival yang bakal berlangsung dan program itu juga akan diperluaskan di beberapa kawasan lain.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...