17.10.14

Ihsan insani Azmil Mustapha


AZMIL bersama rakan artis, Noor Kumalasari yang bertemu pada majlis pernikahan Aliff Omar Ali, baru-baru ini. Kedua-dua mereka kini tidak lagi aktif dalam bidang seni.

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar unit foto UMMB


ALI SETAN ibarat ikon perfileman era 80-an yang dilakonkan wataknya oleh pelakon serba boleh Azmil Mustapha. Hampir 30 tahun lamanya, nama karakter tersebut terus melekat dalam diri personaliti itu yang kini telah lebih 10 tahun meninggalkan dunia glamor hiburan tanah air.

Kini, pada usia 62 tahun, Azmil yang telah bersara sepenuhnya daripada bidang lakonan dan kembali menetap di Malaysia setelah lebih 10 tahun hidup bermusafir di pelbagai negara merentasi beberapa benua demi menuntut ilmu Allah.

Memulakan siri jelajahnya ke Syria sekitar tahun 2006, sehinggalah ke beberapa negara lain termasuk Mesir, Jordan, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Lubnan, England, Ireland, Sepanyol, Amerika Syarikat, China, Brunei, Jepun dan banyak lagi, aktor itu menghela nafas lega apabila niatnya untuk mempelajari serta mendalami ilmu agama dimakbulkan oleh-Nya.

Dalam pertemuan secara kebetulan pada majlis perkahwinan Aliff Omar, anak kepada Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini di Shah Alam, baru-baru ini, kesempatan itu digunakan untuk bertegur sapa memandangkan artis veteran itu sekian lama menyepi daripada sebarang perkhabaran berita.

Ditanya bagaimanakah kehidupannya kini setelah kembali menetap di negara sendiri, dia menjawab bahawa ia tidak jauh berbeza seperti sebelum ini dek kerana tanggungjawab sebagai umat Islam dalam memenuhkan ilmu di dada digalas selagi hayat masih ada.

Terus istiqamah

Menurut Azmil, peribahasa Islam menyarankan agar setiap umatnya menuntut ilmu hingga ke negeri China dan ilmu itu seluas lautan, takkan habis seumur hidup manusia di muka bumi ini.

“Sebab itulah saya terus istiqamah dalam hal ini. Selagi hidup, saya mahu teruskan apa yang telah dimulakan dan ia takkan berakhir. Terlalu banyak ilmu di dalam dunia ini yang boleh dipelajari.

“Bahkan ilmu keagamaan itu sendiri luas skopnya untuk dikaji dan didalami. Walaupun sudah lebih 10 tahun menjelajah ke serata dunia untuk menimba pelbagai pengalaman dan pengetahuan, saya masih belum puas dan merasakan masih cetek lagi dari sudut pemahaman yang sebenar.

“Insya-Allah, jika ada umur yang panjang serta dikurniakan tubuh badan yang sihat serta berkemampuan, saya mahu lagi meneruskan kembara ilmu ini. Mengembara tidak semestinya perlu ke luar negara, di Malaysia juga boleh melakukannya," katanya yang tidak pernah jemu untuk belajar.

Tambahnya, keinginannya untuk

pergi ke luar negara masih menebal

tetapi disebabkan rasa tanggungjawab terhadap anak-anaknya, dia membuat keputusan untuk terus menetap di sini.

Azmil berkata, sebagai seorang bapa, anak-anak adalah anugerah dan amanah Allah untuk dijaga dengan baik. Sebab itulah dia pulang ke Malaysia untuk melunaskan kewajipannya, tambahan pula dia bergelar bapa tunggal kepada empat daripada lima anaknya.

“Sebelum ini mereka mengikut saya menetap di Damsyik, Syria tetapi atas faktor keselamatan, saya bawa mereka pulang ke sini. Walaupun mereka sudah besar panjang, tetapi saya tidak boleh lepas tangan membiarkan mereka begitu sahaja. Saya memilih untuk berada dekat dengan mereka supaya senang jika ada apa-apa yang berlaku," ujar bapa kepada Shamira (hasil perkahwinan pertama) serta Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd. Bazli Zhafri dan Nur Alia Iman (perkahwinan kedua) itu.

Digelar ustaz

Dalam pada itu, lantaran status dan imejnya, ada yang menggelarnya ustaz, malah tidak kurang juga ada yang menganggapnya ulama, Azmil menyatakan bahawa itu adalah gelaran yang diberikan oleh orang di sekelilingnya.

Hakikatnya, bukan dia sendiri yang mengangkat martabatnya hingga ke tahap itu kerana sedar akan kekurangan dirinya berbanding ulama sebenar yang selayaknya mendapat pengiktirafan sebegitu.

Menurut pelakon yang memulakan karier lakonannya menerusi filem Mekanik itu, dia cuma aktif dalam memberikan ceramah-ceramah atau tazkirah agama mengikut kemampuannya dan pengalamannya sahaja, itu pun jika mendapat undangan.

“Apabila saya menghadiri majlis-majlis seumpama itu acap kali di samping menyampaikan tazkirah, gelaran itu makin lama terbit daripada mulut hadirin yang hadir secara tidak langsung.

“Takkanlah orang dah panggil saya nak larang. Asalkan ia satu panggilan yang baik dan tidak menjatuhkan maruah, tiada masalah untuk kita menerima dengan keterbukaan minda, tetapi perlu berhati-hati supaya tidak riak dan takbur.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20141014/hi_05/Ihsan-insani-Azmil-Mustapha#ixzz3GJhB9vnD

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...