Iklan Nuff

19.11.14

RON95: Kerajaan belum putus perubahan harga - Hasan Malek



DATUK Seri Hasan Malek menaiki bas ketika mengadakan lawatan kerja di PETRONAS Penapisan Melaka di Sungai Udang di sini, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, berkata kerajaan belum membuat keputusan berhubung harga petrol RON95 walaupun harga RON97 turun kepada RM2.55 seliter.

Beliau berkata, keputusan itu bergantung kepada keadaan semasa termasuk melihat hasil mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan yang dibuat kerajaan akan mengambil kira kepentingan rakyat di negara ini.

"Sama ada ia (RON95) akan diturunkan, ini bergantung kepada keadaan semasa...jadi kalau memerlukan kita buat keputusan sama ada popular atau tidak popular, kita tunggulah pada masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di PETRONAS Penapisan Melaka di Sungai Udang di sini, hari ini.

Harga jualan runcit petrol RON97 di seluruh negara turun 20 sen seliter kepada RM2.55 seliter daripada RM2.75 seliter berkuat kuasa tengah malam tadi.

Harga runcit RON97 ditentukan oleh 'apungan terurus' dan harga akan berubah mengikut pasaran.

Dalam perkembangan lain, Hasan berkata pihaknya sedang mengkaji untuk memperluaskan penggunaan diesel Euro 5 ke seluruh negara berikutan respons positif daripada pengusaha dan pemilik lori dengan pengenalan penggunaan bahan api itu di sekitar Johor Baharu baru-baru ini.

Beliau berkata, penggunaan bahan api itu bukan sahaja membantu pemilik dan pemandu lori Malaysia daripada dikenakan denda berikutan peraturan ketat pihak berkuasa Singapura berhubung pelepasan asap diesel, malah ia menyumbang kepada alam sekitar yang lebih baik.

Diesel Euro 5 mula dilancarkan oleh Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) pada Rabu lepas membabitkan empat stesen minyak miliknya di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Pagoh Arah Utara dan Selatan, Tebrau serta Pasir Gudang.

- BERNAMA

No comments:

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...