3.9.15

Bai’ah: Segera rujuk mahkamah syariah


MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD

KOTA BHARU 1 Sept. - Wakil rakyat Pas negeri ini yang menyertai Parti Pekerja Malaysia (Parti Pekerja) dinasihatkan segera merujuk status perkahwinan di Mahkamah Syariah berikutan terdapat bai’ah cerai talak tiga yang dilafazkan mereka sebelum ini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, dalam perkara berkaitan kemusykilan status perkahwinan seumpama itu, Mahkamah Syariah merupakan institusi paling tepat untuk dirujuk oleh wakil-wakil rakyat berkenaan.

“Saya tidak dapat beri pandangan berhubung perkara ini kerana saya sendiri tidak mengetahui apa yang dilafazkan mereka. Cuma adalah lebih baik mereka merujuk Mahkamah Syariah secepat mungkin.

“Di mahkamah, hakim akan meneliti perkara ini secara mendalam, dia boleh tengok dan siasat kandungan bai’ah sebenar serta ambil kira pelbagai aspek sebelum buat keputusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang merupakan serpihan Pas telah mengambil alih Parti Pekerja untuk bergerak sebagai sebuah parti politik.

Pengambilalihan tersebut menyebabkan 10 wakil rakyat Pas iaitu lima Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada dalam senarai kepemimpinan Parti Pekerja, terbatal keahlian dalam Pas secara automatik.

Setakat ini wakil rakyat dari negeri ini yang menyertai Parti Pekerja seperti diumumkan semalam adalah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli.

Semua wakil rakyat Pas di negeri ini dikatakan pernah melafazkan bai’ah akan jatuh talak tiga terhadap isteri jika mengkhianati Pas tanpa melepaskan jawatan wakil rakyat yang disandang.

Mohamad Shukri dalam pada itu berkata, memandangkan isu lafaz bai’ah wakil rakyat Pas bersifat subjektif, ramai ilmuwan serta pakar agama membuat kenyataan berlainan sehingga mengundang persepsi negatif ma­syarakat.

“Bagi satu kes, ada banyak kenya­taan dikeluarkan pelbagai pi­hak menyebabkan rakyat nampak perkara ini bercanggah antara satu sama lain.

“Sebenarnya adalah lebih baik kita kumpul pandangan berkaitan perkara ini secara berkumpulan dalam satu muzakarah,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/bai-8217-ah-segera-rujuk-mahkamah-syariah-1.130781#sthash.ltlHGdye.dpuf

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...