12.9.15

Jerebu: Orang ramai perlu ambil langkah berjaga


Gambar hiasan.

12 SEPTEMBER 2015


SERI MANJUNG - Orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan situasi jerebu di beberapa daerah di negeri ini terutamanya di Seri Manjung yang semakin membimbangkan, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelak masalah kesihatan lebih serius berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.

"Seperti yang kita sedia maklum, keadaan jerebu berpunca daripada pembakaran terbuka dari negara jiran. Seri Manjung merupakan kawasan di pesisir pantai menyebabkan pergerakan angin membawa jerebu ke kawasan ini.

"Sekiranya keadaan sudah sampai tahap bahaya, kemungkinan pentadbiran sekolah perlu menutup sementara sesi persekolahan. Namun sehingga kini, saya tidak menerima apa-apa maklumat daripada Bahagian Keselamatan Negeri Perak mengenai tindakan yang perlu dilakukan," katanya kepada pemberita hari ini.

Mengikut laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, kawasan Seri Manjung merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat dengan bacaan 111 pada pukul 11 pagi, manakala SK Jalan Pegoh, Ipoh (97), Jalan Tasek, Ipoh (91) dan Tanjung Malim (72).

Sehubungan itu, Zambry menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelak terdedah kepada jerebu.

"Saya berharap perkara ini mendapat kerjasama semua pihak. Saya difahamkan negara jiran sedang berusaha untuk memadam kebakaran yang berlaku di sana," katanya.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Terdahulu, Zambry menghadiri acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat Daerah Manjung di Pejabat Daerah dan Tanah Manjung di sini.

Sebanyak 49 kontinjen daripada agensi dan jabatan kerajaan serta swasta, sekolah dan pasukan beruniform menyertai acara tersebut. - Bernama

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...