16.9.15

Kren tumbang: Keluarga terima sumbangan RM40,000



14 SEPTEMBER 2015


PASIR PUTEH - Setiap keluarga jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah pada Jumaat lepas, akan menerima sebanyak RM40,000 dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak RM20,000 disumbangkan oleh Tabung Haji (TH) dan RM20,000 lagi sumbangan insurans hayat Syarikat Takaful Malaysia Berhad.

"Sumbangan itu akan disampaikan dalam temp oh terdekat kepada semua waris (mangsa) oleh pegawai TH di rumah mangsa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM40,000 kepada keluarga jemaah haji yang terkorban Munah Jusoh, 74, di Kampung Bukit Kecik, Cherang Ruku di sini, hari ini.

Sumbangan itu diterima oleh anak Munah, Che Will Che Muda, 41, bagi pihak keluarganya yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman.

Asyraf Wajdi berkata, TH yang beroperasi di Makkah sedang mengesan dua lagi jemaah yang dilaporkan hilang iaitu Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah.

Beliau berharap anggota keluarga jemaah yang terkorban bersabar dan bersyukur kerana mangsa meninggal di kawasan yang paling suci bagi Islam dan akan dikebumikan di kawasan perkuburan para syuhadah.

Empat lagi yang disahkan terkorban ialah Rusiah Suar, 56, yang berasal dari Sungkai, Perak; Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan) dan Zainun Taha, 69, dari Ampang Selangor.

Sementara itu, Che Will ketika ditemui pada majlis itu berkata, beliau akan menyerahkan wang sumbangan kepada bapanya Che Muda Che Tahir, 76, sekembalinya ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.

Beliau berkata, mulai malam ini pihaknya akan mengadakan majlis tahlil selama seminggu bagi kesejahteraan roh ibunya Munah. -- BERNAMA

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...