25.10.15

Lapan jam naik motor demi Fastaqim


Gambar Mohd Hafiz yang menjadi viral di media sosial kerana kegigihannya menunggang motosikal secara bersendirian ke Kota Bharu


JAMILAH HAMZAH
24 OKTOBER 2015


KULIM - Seorang pemuda berusia 20 tahun sanggup menunggang sendirian selama lapan jam untuk menyertai Himpunan Fastaqim, di Kota Bharu Kelantan, baru-baru ini.

Gambarnya yang sedang menaiki motosikal bersama sebotol petrol yang diletakkan di dalam raga juga telah menjadi viral dan mendapat pujian daripada pengikut alam maya Facebook.

Anak sulong daripada lima beradik itu, Mohd Hafiz Yuserin berkata sepanjang perjalanannya dari Sungai Kob, Kulim ke Kota Bharu tiga stesen minyak menjadi tempat melepaskan lelah dan isi tangki motosikalnya.

“Saya keluar rumah pukul 8 pagi, dan singgah di satu stesen minyak di kawasan Kulim untuk mengisi petrol, dan meneruskan perjalanan ke Grik sebelum singgah di satu lagi stesen minyak.

“Kemudian saya meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dan sebelum tiba di sana saya singgah lagi di satu stesen minyak untuk mengisi petrol,” katanya.

Katanya mengimbau kembali detik bersejarah dalam hidupnya, keputusan untuk menghadiri Himpunan Fastaqim itu adalah kerana semangat untuk turut serta dalam himpunan berkenaan.

“Bila saya tanya kawan-kawan di kumpulan Whatsapp Alternative Riding Club (ARC) mereka semua tunggang motosikal kuasa tinggi.

“Tapi atas semangat saya nekad untuk pergi ke sana biarpun seorang diri,” katanya.

Mohd Hafiz yang merupakan seorang penuntut berkata, hanya berbekalkan wang RM100 dia meneruskan niat itu namun pernah terfikir untuk tidak meneruskan perjalanan.

“Saya memang pergi dan bertawakal saja, tapi saya fikir juga kalau dalam perjalanan itu tak jumpa sesiapa saya nak patah balik pulang ke rumah.

“Tapi Alhamdulillah, sepanjang perjalanan saya melalui Grik untuk ke Kelantan banyak kenderaan yang melepasi saya membunyikan hon dan melaungkan kata semangat,” katanya.

Tambahnya, botol petrol yang diletakkan di dalam raga itu juga dikutip di tepi jalan sebagai persediaan sekiranya kehabisan petrol.

Katanya, dia tiba di sana kira-kira pukul 4 petang dan walaupun bercadang mahu pulang terus selepas habis acara tersebut namun rakan yang lain menghalang niatnya itu.

“Pada mulanya saya nak pulang juga malam itu, tapi atas nasihat rakan-rakan saya bermalam di situ bersama rakan lain, dan esoknya saya pulang berkonvoi bersama rakan-rakan lain,” katanya.

No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...