4.6.17

Negara perlukan 'pemandu' baharu: Pas


Tuan Ibrahim Tuan Man

Muhammad Shamsul Abd Ghani
4 Jun 2017

SHAH ALAM - Pas berpandangan negara memerlukan 'pemandu' baharu bagi memastikan negara dipandu ke arah jalan yang lurus.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana menurut hemat mereka, pemandu sedia ada ketika ini sengaja mengekalkan rakyat dalam keadaan sakit.

Malah katanya, pemandu itu juga pada masa yang sama berlakon menjadi doktor tunggal yang dapat memberikan panadol menyebabkan rakyat terpaksa bergantung padanya.

"Itulah kaitan sebenar antara GST dan BR1M. Kita mengakui bahawa kepimpinan negara yang diterajui oleh Umno-BN adalah punca kepada masalah negara.

"Namun, perkara yang lebih penting pada waktu ini ialah membantu rakyat bagi memahami situasi yang berlaku dalam negara kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Tuan Ibrahim lagi, rakyat memerlukan pemandu baharu yang bukan sahaja tahu jalan yang ingin dilalui, tetapi juga turut memahami jalan mana yang selamat bagi rakyatnya di dunia dan akhirat.

"Pemandu ini tidak hanya sibuk membina dunia, tapi juga sibuk membina akhirat bagi negara dan rakyatnya," katanya.

Justeru, ujarnya lagi, pemandu yang baharu mesti juga bertindak mengikut panduan al-Quran dan hadis.

"Pas telah mengutarakan kerajaan teknokrat sebagai penyelesaian. Kerajaan teknokrat adalah satu langkah ke hadapan bagi memberi peluang kepada tokoh dan cendekiawan negara menerajui hala tuju baharu dan pentadbiran negara manakala parti dan ahli politik menjadi wadah perubahan tersebut," katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Tuan Ibrahim berkata, maksud kerajaan teknokrat ialah sebuah sistem pemerintahan yakni kuasa parti politik terhadap negara hanya terhad untuk melantik kalangan profesional sebagai eksekutif pentadbir negara bermula daripada Perdana Menteri hingga ke peringkat terbawah.

"Sebelum ini, pemimpin parti politik yang biasa menjawat jawatan PM dan menteri. Tetapi idea kerajaan teknokrat ini meletakkan penjawat tersebut berdasarkan kelulusan akademik tertentu yang tidak terlibat dengan pilihan raya.

"Kuasa politik yang didapati melalui pilihan raya hanyalah sekadar kuasa untuk melantik siapa yang sesuai di kalangan profesional untuk mentadbir negara," katanya.

Seperti Budaya Politik Matang Sejahtera, Pas katanya akan berusaha melanjutkan idea kerajaan teknokrat ini sebagai satu model pentadbiran untuk negara.


No comments:

Iklan Nuff

SKUAD My J SG SIPUT Headline Animator

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...